Tuesday, October 12, 2010

Hadis Berkenaan Ashabul Ukhdud

Haddab bin Khalid menceritakan kepada kami daripada Hammad bin Salamah daripada Tsabit bin Abdul Rahman bin Abu Laila daripada Suhaib bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Pada zaman sebelum kamu, ada seorang raja yang mempunyai seorang ahli sihir. Apabila ahli sihir tersebut telah tua, dia berkata kepada raja, "usiaku telah lanjut, berilah kepadaku seorang ghulam yang dapat aku ajarkan kepadanya ilmu sihir." Maka diberikan kepadanya seorang ghulam untuk diajarkan ilmu sihir kepadanya. Dalam perjalanan menuju kepada ahli sihir terdapat seorang rahib. Maka ghulam bertemu dengannya, mendengar pengajarannya dan tertarik dengannya. Setiap kali ghulam mendatangi ahli sihir, dia akan melalui rahib dan bertemu dengannya. Apabila dia mendatangi ahli sihir, maka dia dipukul. Lalu dia mengadu perkara tersebut kepada rahib.
Rahib menjawab, “apabila kamu takut kepada ahli sihir, maka katakanlah, keluargaku menyebabkan aku terlewat. Apabila kamu takut kepada keluargamu, maka jawablah ahli sihir menyebabkan aku pulang lewat.” Keadaan tersebut berterusan sehiggalah pada suatu hari dia bertemu dengan seekor binatang besar yang menghalang perjalanan orang ramai. Ketika itu, ghulam tersebut berkata, “pada hari ini aku akan mengetahui adakah ahli sihir yang lebih afdhal ataupun rahib yang lebih afdhal.” Maka dia mengambil seketul batu lalu berdoa,”Ya Allah, sekiranya urusan rahib lebih Kamu sukai daripada urusan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai dapat lalu lalang.” Dia pun melontarnya, maka binatang tersebut mati dan orang ramai dapat lalu lalang.

Lalu dia menceritakan perkara tersebut kepada rahib. Maka rahib berkata, “Wahai anakku, kamu pada hari ini adalah lebih afdhal daripadaku. Sesungguhnya aku melihat bahawa urusanmu telah sampai pada satu peringkat. Kamu akan diuji. Sekiranya kamu diuji, janganlah kamu menceritakan tentang aku”. Ghulam tersebut mempunyai kebolehan mengubati penyakit buta semenjak lahir, sopak dan dia juga mengubati pelbagai lagi penyakit.

Seorang pembesar diraja yang sentiasa bersama raja telah mendengar kisah kebolehan ghulam. Beliau adalah seorang buta. Lalu beliau mendatanginya dengan membawa hadiah yang banyak. Beliau berkata, “semua yang aku kumpulkan ini adalah untuk kamu sekiranya kamu dapat menyembuhkan aku.” Ghulam menjawab, “aku tidak boleh menyembuhkan seseorang pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah. Apabila kamu beriman kepada-Nya, aku akan berdoa kepada-Nya, maka Dia akan menyembuhkan kamu.” Lalu beliau beriman, maka Allah menyembuhkan penyakitnya. Kemudian beliau mendatangi majlis raja. Beliau duduk di sisi raja sebagaimana sebelumnya. Raja berkata kepadanya, “wahai fulan, siapakah yang telah mengembalikan penglihatanmu?” Beliau menjawab, “Tuhanku.” Raja bertanya lagi, “adakah kamu mempunyai tuhan selainku?”
Beliau menjawab, “tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.” Beliau terus menerus diseksa sehinggalah beliau menceritakan tentang ghulam. Maka ghulam pun dibawa mengadap. Raja berkata kepadanya, “wahai anakku, sesungguhnya sihir kamu telah sampai ke peringkat dapat menyembuhkan penyakit buta, sopak dan pelbagai lagi yang kamu lakukan.” Ghulam menjawab, “aku tidak boleh menyembuhkan sesiapa pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah.” Maka dia pun diseksa. Dia terus-menerus diseksa sehinggalah dia menceritakan tentang rahib. Maka rahib dipanggil lalu dikatakan kepadanya, “tinggalkan agamamu.” Rahib enggan berbuat demikian lalu dibawa gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua.

Kemudian dibawa pembesar diraja dan dikatakan kepadanya, “Tinggalkan agamamu.” Dia enggan lalu diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua. Selepas itu ghulam dibawa dan dikatakan kepadanya, “tinggalkan agamamu.” Dia enggan lalu dia diserahkan kepada sekumpulan tentera raja. Raja berkata, “pergilah kamu semua membawa ke bukit sekian-sekian. Dakilah ia. Apabila kamu sampai kemuncaknya, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak, maka campakkanlah dia. Mereka pergi membawanya dan mendaki bukit tersebut.
Ghulam pun berdoa, “Ya Allah, selamatkanlah aku dengan cara apa jua yang kamu sukai.” Lalu bukit bergoncang dan mereka semua jatuh. Ghulam pun pulang untuk menemui raja. Rja berkata kepadanya, “apa yang telah dilakukan oleh kawan-kawan kamu?” Ghulam menjawab, “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.” Lalu dia dihantar kepada sekumpulan tentera yang lain. Raja berkata, “pergilah kamu semua membawanya ke sampan. Bawalah dia ke tengah lautan, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak, campakkan dia ke laut. Maka mereka pergi membawa ghulam lalu dia berdoa, “Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai.” Maka sampan pun terbalik dan mereka semua tenggelam. Ghulam pun pulang untuk menemui raja. Raja berkata kepadanya, “apakah yang dilakukan oleh kawan-kawan kamu?” Dia menjawab, “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.”

Kemudian dia berkata kepada raja, “sesungguhnya kamu tidak boleh membunuh aku sehingga kamu melakukan apa yang aku suruh.” Raja berkata apakah dia?” Ghulam menjawab, “kamu kumpulkan orang ramai di suatu kawasan lapang dan kamu salibkan aku pada sebatang pokok. Kemudian kamu ambil anak panahku daripada bekasnya, dan letakkan pada busarnya. Selepas itu sebutlah, “dengan nama Allah, Tuhan ghulam dan panahlah aku. Sekiranya kamu melakukan yang demikian, kamu boleh membunuhku.” Maka raja pun mengumpulkan orang ramai di suatu kawasan lapang,menyalibnya pada sebatang pokok, kemudian mengambil anak panah kepunyaan ghulam daripada bekasnya dan meletakkan pada busarnya.
Selepas itu raja berkata, “dengan nama Allah, Tuhan ghulam,” sambil melepaskan anak panah menuju sasarannya.anak panah tersebut kena pada bahagian di antara mata dan telinga ghulam lalu dia meletakkan tangannya pada tempat panahan dan meninggal. Orang ramai pun berkata, “Kami beriman dengan tuhan ghulam. Kami beriman dengan tuhan ghulam. Kami beriman dengan tuhan ghulam.” Maka raja pun datang dan dikatakan kepadanya, “apakah tuanku tidak melihat apa yang tuanku takuti.
Sesungguhnya, demi Allah! Ia telah menimpa tuanku. Orang ramai semuanya telah beriman.” Lalu raja memerintahkan supaya digalikan parit dan dinyalakan api. Raja berkata, “sesipa yang tidak kembali kepada agama asalnya, maka humbankan dia ke dalamnya.” Mereka pun melaksanakan perintahnya sehinggalah datang giliran seorang perempuan dengan membawa bayinya. Dia berhenti kerana takut untuk terjun ke dalam api. Lalu bayinya berkata, “wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya ibu berada di atas kebenaran.”

Friday, October 8, 2010

Doa Tok Guru


"Wahai Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepadamu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadamua yang menyampaikan kami ke syurgamu, dan berilah dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia."

"Wahai tuhan kami berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami.Dan janganlah engkau jadikan bencana bagi kami dalam ugama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya dami dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami."

"Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungna dengan nur kesucian engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat jalal engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik." "Wahai tuhan kami, engkaulah penolong kami, maka kepada engkau kami mohon pertolongna. Wahai tuhan kami, engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada engkaulah kami pohon selamat. Wahai tuhan bagilah kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia."

"Dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksamu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada tuhan bagi kami melainkan engkau demi kebesaran wajah engkau dan kemuliaan kesucian engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari engkau wahai tuhan yang maha pemurah."

"Wahai Tuhan sama ada engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan kamu menundukkan mereka seperti seperti kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun kamu lipat balik rancnagan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri , dan kamu hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi, Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungna dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu."

"Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungna kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat emngubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian."

Thursday, October 7, 2010

Hanya Ingin Mengingatkan ...


Kubur Setiap Hari Menyeru Manusia Sebanyak Lima (5) Kali ...

1. Aku rumah yang terpencil,maka kamu akan senang dengan selalu
membaca Al-Quran.
2. Aku rumah yang gelap,maka terangilah aku dengan selalu solat
malam.
3. Aku rumah penuh dengan tanah dan debu,bawalah amal soleh yang
menjadi hamparan.
4. Aku rumah ular berbisa,maka bawalah amalan Bismillah sebagai
penawar.
5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir,maka banyaklah bacaan
"Laa ilahaillallah, Muhammadar Rasulullah", supaya kamu dapat
jawapan kepadanya.

Lima Jenis Racun dan Lima Penawarnya .....

1. Dunia itu racun,zuhud itu ubatnya.
2. Harta itu racun,zakat itu ubatnya.
3. Perkataan yang sia-sia itu racun,zikir itu ubatnya.
4. Seluruh umur itu racun,taat itu ubatnya.
5. Seluruh tahun itu racun,Ramadhan itu ubatnya.


Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

Ada 4 di pandang sebagai ibu ", iaitu :

1. Ibu dari segala UBAT adalah SEDIKIT MAKAN.
2. Ibu dari segala ADAB adalah SEDIKIT BERBICARA.
3. Ibu dari segala IBADAT adalah TAKUT BUAT DOSA.
4. Ibu dari segala CITA CITA adalah SABAR.

Berpesan-pesanlah kepada kebenaran dan kesabaran.
Beberapa kata renungan dari Qur'an :

Orang Yang Tidak Melakukan Solat:

Subuh : Dijauhkan cahaya muka yang bersinar
Zuhor : Tidak diberikan berkah dalam rezekinya
Asar : Dijauhkan dari kesihatan/kekuatan
Maghrib : Tidak diberi santunan oleh anak-anaknya.
Isyak : Dijauhkan kedamaian dalam tidurnya

Taqwa Asas Menjadi Pemimpin


Gambar penembak tepat yang merancang membunuh Obama


Selepas dikejutkan dengan kesalahan cetakan kertas undi yang mengandungi nama Barrack Osama, kini timbul pula isu baru iaitu perancangan membunuh “bakal” Presiden Amerika Syarikat ini. Tatkala beliau meraih sokongan padu daripada penduduk AS, terdapat segelintir kecil masyarakat kulit putih AS yang prejudis terhadap beliau hanya kerana beliau berasal daripada masyarakat kulit hitam.

Kehadiran Obama di dalam kancah politik AS, menyaksikan majoriti masyarakat AS menerima pemimpin muda yang berwawasan ini. Beliau merupakan seorang pemimpin yang berwawasan dan mempunyai karismatik yang hebat. Di hormati dan di geruni lawan.

Daripada ancaman ini, kita boleh melihat bahawa masyarakat AS yang mengaku bahawa merekalah pendokong demokrasi dunia tetapi masih lagi bermain dengan sentimen perkauman. Mereka menghentam Islam secara terang-terangan dengan melabelkan Islam sebagai pengganas, tetapi mereka tidak pernah menghayati apakah isi kandungan Islam yang sebenarnya.

Sebagai contoh, di dalam memilih kepimpinan. Islam tidak pernah menjadikan warna kulit sebagai ukuran. Bahkan pernah disebut di dalam hadis bahawa, sekiranya seorang hamba kulit hitam yang tebal bibirnya, dan rompong hidungnya sekalipun pun menjadi pemimpin maka wajib ke atas rakyat untuk mentaatinya.

Islam meletakkan syarat taqwa yang paling utama di dalam memilih pemimpin. Bukan sahaja di dalam urusan kepimpinan,bahkan di dalam setiap urusan kehidupan taqwa itu menjadi persoalan utama kepada umat Islam. Biarpun setinggi mana pangkatnya, begudang-gudang hartanya. Tetapi sekiranya kufur kepada Allah, maka darjatnya lebih rendah lagi daripada haiwan ternakkan.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


Monday, October 4, 2010

Makanan Kafe APIUM mahal?

Petang tadi ada seorang sahabat saya mendekati saya sambil berseloroh, “Ha, ni wakil fakulti. Macam mana ni harga makanan mahal?”. Sudah ramai mahasiswa APIUM yang menemui saya turut meluahkan rasa sedemikian. Harga makanan yang dijual kepada mahasiswa tidak konsisten.

Sebagai contoh, saya sendiri mengalaminya. Pagi semalam saya dan Syahir sempat bersarapan di Kafe APIUM. Pada awalnya saya mengambil koew teow sebagai hidangan dan diikuti oleh Syahir. Apa yang dipelikkan oleh saya adalah koew teow yang dimakan oleh saya jauh lebih mahal sebanyak RM 0.50. Saya kehairanan kerana jumlah dan jenis makanan yang diambil sama sahaja dengan Syahir.

Yang menimbulkan persoalan dalam kalangan mahasiswa adalah, mengapakah harga makanan di Kafe APIUM jauh lebih mahal daripada Kafe Kolej Kediama ke-12. Hal demikian kerana, masing-masing berniaga di dalam kawasan Universiti yang rata-ratanya menjual makanan dengan harga yang sederhana, sesuai dengan sebahagian besar para pelajar yang hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN yang tidak seberapa.

Sekiranya mendapat semuanya mendapat tajaan biasiswa, sudah tentu mereka tidak mengeluh kerana jumlah tajaan bagi biasiswa KPM, JPA dan MAWIP naik sehingga mencecah angka RM 6000 bagi setiap semester. Namun begitu, bagi yang bergantung harap dengan pinjaman PTPTN mereka hanya menerima sekitar RM 3*** sebulan.

Di tambah lagi dengan bebanan kenaikkan harga minyak menyebabkan mahasiswa sedikit sebanyak terpaksa menanggung derita yang semakin dirasai ini. Inilah yang dikatakan kenaikkan berantai kesan daripada kenaikkan harga minyak bulan lepas.

Kepada rakan-rakan yang mengharapkan tindakan dari kami, insya Allah dalam masa yang terdekat kami akan cuba berusaha membuat survey dan mengusulkan perkara ini kepada pihak pentadbiran. Namun begitu, sekiranya tidak berjaya, barulah kita menjalan jalan penyelesaian yang lain.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Saturday, October 2, 2010

Naib Canselor "Gedung Membeli Belah"

Selepas Prof Dato' Razali Bin Agus pergi, kini giliran Datin Seri Rosmah Binti Mansor pula

Nantikan apakah yang bakal berlaku selepas ini. Dahulu Dato' Naib Canselor digugurkan. Adakah selepas desakan daripada pemuda Pakatan Rakyat, Canselor pula akan digugurkan? Hujah mengatakan bahawa Canselor baru ini merupakan "Gedung Membeli Belah" bukannya "Gedung Ilmu" agak mencuit hati orang yang mendengarnya.