Monday, January 10, 2011

Koleksi Gambar Menarik













Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) sebagai Pelindung terhadap Hak Asasi Wanita

Merenung sejenak sejarah bangsa Arab era jahiliyah sebelum perutusan Rasulullah S.A.W. ke muka bumi ini, ternyata zahirlah pelbagai kelompangan dan cacamarba yang menunjangi kehidupan mereka pada ketika itu. Arak menjadi minuman wajib sehari-hari, judi, zina, riba, eksploitasi perniagaan dan kekuasaan oleh puak yang lebih berkuasa dan berpengaruh, penindasan terhadap wanita, malah perkara paling kejam iaitu menanam anak perempuan hidup-hidup merupakan kebiasaan yang hanya dipandang sebelah mata tanpa mengundang sebarang rasa untuk membela. Semua akur pada sistem yang mendasari cara hidup mereka pada masa tersebut. Inilah dia sejarah. Bukti yang merakam titik permulaan penindasan atau diskriminasi terhadap wanita.

Apakah itu diskriminasi? Diskriminasi boleh diertikan sebagai layanan tidak adil kepada seseorang atau kelompok berdasarkan prejudis, iaitu sangkaan buruk, sama ada disebabkan oleh perbezaan kelas, bangsa, gender, atau kategori-kategori selainnya. Ruang untuk berlaku diskriminasi mencakupi perlbagai aspek, antaranya ialah perundangan, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan kerjaya.

Melihat kepada situasi semasa yang berlaku pada hari ini, terdapat pelbagai golongan yang sering melaungkan isu kesamarataan hak asasi bagi wanita. Di Malaysia, antara badan atau pertubuhan yang memperjuangkan hak asasi berkaitan wanita adalah seperti Sister In Islam. Munculnya golongan-golongan ini adalah disebabkan mereka beranggapan bahawa hak mereka telah dinafikan atau ditindas oleh pihak yang berkuasa, atau mereka mahu membuka mata Kerajaan terhadap peluang-peluang yang sepatutnya mereka miliki, sebagaimana yang diterima oleh golongan lelaki.

Hakikatnya, diskriminasi terhadap wanita timbul kerana ia sudah mendarah daging dalam masyarakat sejak sekian lama, bukan sahaja dalam masyarakat Melayu, tetapi juga dalam masyarakat India, Cina dan bangsa-bangsa lain. Keadaan ini pastinya umpama garam yang sudah larut di dalam air, kerana ia sudah sebati dalam kehidupan bermasyarakat dan akan dianggap janggal sekiranya menyalahi. Sebagai contoh, wanita dianggap lemah dari aspek pemikiran, pendirian dan kekuatan fizikal. Kerana itu, wanita pada zaman dahulu tidak dibenarkan bersekolah tinggi kerana asasnya tetap sama; akan masuk ke ceruk dapur juga. Akibatnya, berlakulah masalah buta huruf dalam kalangan wanita sehingga menyebabkan mereka ketinggalan dalam perkembangan dunia hari ini.

Dalam sesetengah kebudayaan, ibu bapa melakukan keganasan terhadap alat kelamin anak-anak gadis mereka sebagai suatu amalan wajib berlandaskan kepercayaan atau pegangan tertentu. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh UNICEF, lebih daripada 130 juta wanita serta anak-anak gadis yang melalui kehidupan mereka kini telah menghadapi salah satu bentuk kecederaan atau kerosakan pada alat kelamin (FGM/C) mereka, dan ini boleh membawa akibat buruk kepada kesihatan, termasuklah kegagalan untuk sembuh sepenuhnya, meningkatkan peluang untuk dijangkiti HIV, masalah-masalah ketika melahirkan anak, penyakit-penyakit jangkitan kelamin dan juga gangguan pada saluran air kencing. Ini merupakan salah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita yang didorong oleh faktor kebudayaan atau kepercayaan.

Diskriminasi terhadap wanita yang berleluasa akhirnya menyebabkan muncul golongan yang memperjuangkan hak berasaskan gender yang melampau, seperti Feminisme Liberal, hatta mereka sanggup membidas hukum syarak dan menganggapnya sebagai sekatan terhadap hak-hak wanita. Contohnya, di Malaysia sendiri terdapat golongan seperti ini yang tidak menyetujui perihal pelaksanaan Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia kerana beranggapan ianya tidak memberikan keadilan dan kesaksamaan kepada wanita dari aspek poligami, perceraian, harta sepencarian dan sebagainya lagi.

Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) merupakan undang-undang yang wajar bagi melindungi hak-hak asasi manusia dan kebebasan asas wanita. Perjanjian tersebut telah diangkat oleh Perhimpunan Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1979. Ianya berkuatkuasa penggunaannya pada 3 September 1981. Manakala penerimaannya di Malaysia adalah pada pada 5 Julai 1995 dimana terdapat beberapa bahagian isi kandungannya yang di reservasikan kerana didapaiti bercanggah dengan hukum Syarak dan sebahagiannya bercanggah dengan perlembagaan negara kita.

Berdasarkan percanggahan tersebut, Malaysia telah membuat reservasi ke atas lima Artikel iaitu Artikel 2(f), 5(a), 7(b), 9 dan 16. Seterusnya, pada 1998, kerajaan menarik balik reservasi ke atas Artikel 2(f), 9(1), 16(b),(d),(e) dan (h). Dengan penarikan balik reservasi ke atas beberapa artikel tersebut, kini hanya tinggal Artikel 5(a), 7(b), 9(2),16 1(a),(c), (f) dan (g) dan 16 (2) yang masih dikekalkan reservasi ke atasnya. Namun begitu, di peringkat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), mereka masih meneliti dan mengkaji supaya kerajaaan menarik balik reservasi ini.

Artikel 5 yang dikatakan bercanggah dengan perlembagaan negara kita di mana ianya berkaitan dengan hak kewarganegaraan seorang wanita yang berkahwin dengan lelaki asing. Di mana melalui CEDAW ianya menuntut supaya secara automatik wanita tersebut menjadi warganegara suaminya. Namun begitu, menurut perlembagaan persekutuan, seseorang rakyat Malaysia dilarang memegang dua kewarganegaraan. Ini menunjukkan bahawa, seseorang wanita asing yang berkahwin dengan rakyat negara ini tidak boleh menjadi warganegara melainkan dengan permohonan dan dia tidak menjadi warganegara mana-mana selepas itu.

Di dalam artikel 16, ianya adalah di sebabkan bercanggah dengan hukum syarak. Antaranya berkaitan dengan hak samarata di dalam perkahwinan dan sebagainya. Di dalam Islam, ianya berbeza dengan di barat dimana hak perkahwinan dan perceraian itu terletak di tangan suami. Misalnya di Amerika Syarikat, seseorang isteri itu boleh menceraikan suaminya dengan membuat permohonan di mahkamah. Hal ini jelas bercanggah dengan Islam di mana kuasa untuk mentalakkan isteri hanya pada suami.

CEDAW menjelaskan tentang hak-hak khusus yang tidak boleh dibeza-bezakan berdasarkan umur, jantina, kelas ekonomi atau kewarganegaraan. Menerusi CEDAW ini, hak asasi wanita lebih dijamin terpelihara, meskipun terdapat beberapa perkara di dalamnya yang menyalahi dan bertentangan dengan konsep Islam. Antaranya ialah dari sudut falsafahnya yang kebaratan, di mana ia terlalu mengutamakan konsep individualisme, sehingga mengenepikan agama, adat dan kebudayaan.

Namun, terdapat kebaikan-kebaikannya yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam, khususnya wanita Islam sebagai perisai terhadap pencerobohan hak asasi wanita, selagi mana ia tidak bertentangan dengan konsep ajaran Islam. Islam adalah agama universal, di mana ia menerima setiap yang baik untuk diadaptasikan dalam ajaran agama Islam. Antara kandungan yang dipersetujui dalam CEDAW ialah setiap negara yang mengesahkan Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) mestilah mengambil langkah untuk mencegah segala bentuk perdagangan wanita dan pelacuran, hak wanita yang saksama dalam menerima peluang pendidikan tanpa diskriminasi jantina atau agama, keadilan dalam bidang pekerjaan dalam aspek penilaian kualiti kerja dan juga penggajian untuk kerja yang sama nilai.

Oleh itu, Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) perlulah dinilai dan dilihat secara baik untuk manfaat bersama, bukannya dengan menolak terus prinsip dan dasar di dalamnya. Sesungguhnya Islam tidak pernah mengajar penganutnya untuk berfikiran cetek dan menghukum tanpa usul periksa. Asasnya ialah setiap perkara yang tidak bercanggahan dengan Islam boleh diambil dan diaplikasikan, sementara yang buruk atau bertentangan hendaklah dijauhi dan ditinggalkan. Ia tidak seperti rukun iman; wajib ambil semua, sebaliknya jika ada satu yang ditolak, maka terbatallah imannya.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com



Kem Nilai Rakyat dalam solat bersama Bank Rakyat, Kuching




Hotel Continantial, Kuching
12-14 Jun 2009

Sunday, January 9, 2011

Bonda Soup Corner '08

Sempena Festival Konvokesyen Universiti Malaya (FESKUM) yang bermula pada 4 hingga 10 Ogos 2008, Universiti Malaya telah membuka sewaan tapak jualan untuk orang ramai, sama ada daripada kalangan pelajar ataupun pihak luar.


Justeru, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) tidak ketinggalan untuk bersama-sama merebut peluang meneroka ke alam keusahawanan ini dengan membuka sebuah gerai makanan dan minuman yang diberi julukan “Bonda Soup Corner (BSC) ‘08.” Bonda Soup Corner (BSC) merupakan warisan tahun demi tahun dalam menghidangkan makanan aneka sup berdasarkan resipi turun-temurun, seperti bihun sup, mi sup, kue tiau sup, nasi air, nasi ayam, di samping makanan-makanan panas, umpamanya nasi paprik, nasi goreng kampung serta rojak, di samping sajian aneka minuman yang menyegarkan tekak.

Daripada aspek sambutan, Bonda Soup Corner (BSC) ’08 boleh dikatakan berjaya memikat hati pelanggan untuk berkunjung ke situ kerana keadaan gerainya yang kondusif, meskipun sedikit jauh daripada gerai-gerai yang lain. Gerai yang dibuka seawal 7.00 pagi hingga 12.00 malam itu tidak pernah keputusan pelanggan yang datang dari dalam dan luar kampus.

Tenaga penggerak kepada Bonda Soup Corner (BSC) terdiri daripada para pelajar yang saling bekerjasama dalam memastikan Bonda Soup Corner terus-terusan menjadi pilihan di hati pelanggan. Malah, kebanyakan pelanggan yang menjamu selera di sini ialah mereka yang merupakan pelanggan tetap Bonda Soup Corner (BSC) saban tahun. Ternyata, layanan yang ceria dan mesra mampu memikat hati pelanggan untuk terus menghirup juadah sup di Bonda Soup Corner (BSC).

Pada hari terakhir Festival Konvokesyen Universiti Malaya (FESKUM), iaitu 10 Ogos 2008, Bonda Soup Corner (BSC) tidak lagi beroperasi untuk perkhidmatan pelanggan. Hari tersebut diisi untuk mengemas segala peralatan dan barang-barang sebagai tanda berakhirnya Bonda Soup Corner (BSC) pada tahun ini. Seterusnya, majlis penutup diadakan pada petang hari dengan mengadakan sedikit jamuan untuk setiap Ahli Jawatankuasa (AJK) dan para sukarelawan yang bertungkus-lumus dalam menjayakan Bonda Soup Corner (BSC) pada tahun ini.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


Saturday, January 8, 2011

Protes terhadap PROTES yang memualkan

Sejak awal lagi saya menjangkakan api kemarahan rakyat akan timbul dalam kalangan rakyat yang hadir dalam PROTES di Stadium Kelana Jaya semalam. Di sebabkan saya telah mendapat berita awal bahawa konsep perhimpunan PROTES berubah daripada rapat umum menjadi “ekspo hiburan”, membuatkan diri sejak awal lagi menunjukkan protes terhadap PROTES dengan tidak mengambil bahagian di dalam protes yang diadakan ini.

Saya agak kesal dengan tindakan penganjur yang mempermain-mainkan hati rakyat apabila secara terang-terangan melakukan penipuan. Hebahan melalui web-web dan blog-blog, mewara-warakan bahawa perhimpunan PROTES adalah untuk menunjukkan protes terhadap harga minyak melalui himpunan sejuta rakyat, tetapi perlaksanaannya adalah berbeza.

Melalui konsep ala-ala fun-fair ini, himpunan PROTES ini dianggap sebagai perhimpunan yang cukup memualkan dan sesetengah pihak sebagai menggelarkannya perhimpunan “bacul”. Di tambah pula dengan aksi penyanyi yang menunjukkan bontotnya kearah penonton menyebabkan para hadirin pada hari itu terasa diri mereka dihina.

Sekiranya sebelum ini, ustaz-ustaz yang bersemangat dalam siri-siri demonstrasi secara terbuka mengkritik konsert sure heboh kerana melalaikan, kali ini PROTES juga menyajikan perkara sedemikian rupa kepada mereka. Tercatatlah di dalam sejarah bahawa ustaz-ustaz ini juga ditipu oleh Jawatankuasa PROTES.

Seharusnya himpunan ini lebih berjaya dan bermakna daripada Himpunan BERSIH. Suka diingatkan bahawa, mahasiswa dan rakyat bukannya golongan yang anti hiburan. Namun begitu, disebabkan himpunan yang diadakan untuk memperjuangkan isu rakyat, maka ianya perlulah dilakukan secara serius. Bukan hanya bekerja sekadar melepaskan batuk ditangga, kemudiannya masing-masing mahu mendapat nama hasil daripada publisiti murahan tersebut.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Friday, January 7, 2011

AUKU: Mahasiswa Aspirasi sudah mula bersuara


Sejak kerajaan memalu gendang mahu meminda AUKU, banyak pihak yang memberi respon positif. Mahasiswa samaada berlatar belakangkan Pro-Mahasiswa mahupun Aspirasi sudah mula menunjukkan mereka mual dengan kongkongan AUKU. Bagi mereka AUKU seperti jeriji besi yang menghalang mereka daripada bersuara dengan bebas dan sukar untuk menampilakn idealisme mereka sebagai seorang mahasiswa.

Bagi golongan yang sekian lama sudah mengambil berat berkenaan isu AUKU, sudah lama diwujudkan GMA (Gerakan Mansuhkan Auku) dan kemudiannya di tukar kepada GMMA (Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku). Perjuangan mereka dianggap sia-sia oleh sesetengah pihak kerana tuntutan yang dibuat tidak pernah membuahkan hasil. Sekadar berdemonstrasi dan menyerahkan memorandum. Hasilnya tetap sama, tiada sebarang perubahan.

Selepas pihak kerajaan merespon untuk memansuhkan AUKU, golongan yang dulunya memuja AUKU kini sudah mula berani bersuara. Ternyata membisunya mereka selama ini kerana mereka takutkan AUKU. Bagi mereka AUKU ini umpama kitab suatu ajaran agama yang harus ditaati. Sekiranya dilanggar akan terkena tulah yang berupa sekatan ataupun apa sahaja hukuman yang diberikan oleh pihak Universiti.

Saya bawakan beberapa petikan daripada pemimpin Aspirasi daripada beberapa kampus yang menyatakan bahawa mereka sendiri kurang senang dengan AUKU. Sebelum hanya golongan Pro-Mahasiswa sahaja yang berani bersuara. Sebelum ini kebanyakkan daripada mereka akan menjadi pendokong yang padu kepada dasar yang ditetapkan berkaitan dengan mahasiswa disebabkan idealisme perjuangan mahasiswa mereka dimatikan oleh AUKU.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Zaid Mohd Idrus yang merupakan sahabat serpejuangan di Kolej Islam Sultan Alam Shah, berkata ”disamping hasrat kerajaan mahu melihat mahasiswa yang lebih berketrampilan dan cemerlang dalam akademik, hak pelajar berpolitik tidak boleh disekat. Bila kita memperkatakan hal berpolitik, ia hak semua rakyat lebih-lebih lagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas,”

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, berkata pembabitan pelajar dalam politik tidak dapat dielakkan. Dalam akhbar yang kami baca setiap hari pun begitu banyak mengetengahkan mengenai politik, justeru apa yang berlaku sekurang-kurangnya membuatkan kami mahu mengambil tahu mengenai perkembangan semasa dan tidak terlalu terkongkong dengan tanggungjawab sebagai pelajar.

Saya mengucapkan tahniah kepada YDP MPP daripada UKM dan YDP UPM. Keberanian kalian berdua dalam menyatakan pendirian berkaitan hal ini amat saya puji. Saya merasakan pandangan kedua-dua YDP MPP ini memberi signal bahawa mahasiswa Aspirasi pun sudah sedar berkenaan hak mereka. Ternyata pandangan kedua-dua Presiden ini lebih menonjolkan prinsip mereka sebagai seorang pemimpin mahasiswa yang memperjuangkan hak mahasiswa.

Kepada YDP MPP lain yang masih lena dibuai mimpi, bangunlah segera untuk menyatakan pendirian berkaitan isu AUKU ini. Bersama-samalah kita bergabung untuk menyatakan pendirian supaya halangan jeriji AUKU ini terus terkubur di dalam kamus kehidupan mahasiswa.

Wednesday, January 5, 2011

Suara mendayu mengingati Illahi



Al-Fatihah kepada arwah Ust Asri Ibrahim yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.

Tuesday, January 4, 2011

Istiadat Konvokesyen 2009

Raja Dr Nazrin Shah memberi skroll ijazah

Terima Kasih Tuanku....


Huh..selesai..

Sunday, January 2, 2011

Gunakan sistem penilaian universiti di sekolah

SAYA menyokong penuh tulisan Faisal Mustaffa – Padah ghairah budaya ‘A’ yang tersiar di ruangan ini pada 18 Januari 2007. Sudah tiba masanya sistem pendidikan kita tidak hanya ditekankan kepada soal mengejar ‘A’ kerana ia hanya menjadikan pelajar tertekan, terkongkong dan tidak berupaya untuk menjadi lebih kritis. Saya merasakan ukuran kecemerlangan bukanlah sesuatu yang hanya boleh ditakrifkan melalui deretan ‘A’ yang tertera dalam slip peperiksaan atau rekod kemajuan pelajar.

Kecemerlangan mempunyai ukuran yang relatif dan subjektif sifatnya. Tidak bermakna seorang pelajar yang gagal mendapat ‘A’ merupakan pelajar yang kurang cemerlang dan tidak pula bermakna seorang pelajar yang mempunyai belasan ‘A’ boleh dinobatkan sebagai yang terbaik.

Kalau Ali mendapat ‘A’ dalam mana beliau merupakan anak orang berada dan dikelilingi dengan sokongan material dan kemudahan pembelajaran yang lengkap, ia mungkin berbeza dengan Abu yang mendapat ‘B’ dalam keadaan keluarganya yang susah, belajar di sekolah pedalaman dan terkebelakang daripada segala kemudahan seperti yang dinikmati Ali.

Puas dipaparkan bagaimana objektif sistem pendidikan negara haruslah bermatlamatkan untuk melahirkan insan yang seimbang dari setiap aspek.

Walaupun tidak mungkin matlamat ini dapat dicapai keseluruhannya memandangkan sifat kita sebagai manusia yang kekal mempunyai kelemahan dan kekurangan, namun keghairahan menjadikan ‘A’ sebagai kayu pengukur utama perlu diperbetulkan.

Saya bersetuju dengan pandangan Faisal Mustaffa bahawa asas atau landasan yang paling perlu ditekankan ialah keperluan melihat semula ‘keupayaan sebenar’ pelajar oleh ibu bapa.

Tidak mendapat banyak atau jejeran ‘A’ bukanlah bermakna seseorang pelajar itu tidak bijak. Tidak menghairankan apabila sesuatu keputusan rasmi peperiksaan utama diumumkan, yang sering dipaparkan ialah pelajar yang mempunyai bilangan ‘A’ yang paling banyak.

Tidak ada salahnya dengan pengiktirafan dan publisiti yang diberikan. Namun ia sudah menjurus kepada kecenderungan yang tidak sihat. Jika sudah sampai tahap terdapatnya pelajar yang membunuh diri kerana gagal mengejar ‘A’, ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan.

Ibu bapa dan pelajar harus ingat bahawa ia bukanlah ‘pengakhiran dunia’. Mengambil contoh diri sendiri, saya bukanlah pelajar yang cemerlang sewaktu di alam persekolahan malah merupakan antara pelajar ‘bermasalah’ baik dari segi pengajian dan kenakalan.

Namun kerana kesedaran dan keupayaan yang datang beransur-ansur, saya berjaya menjadi pelajar terbaik (pengiktirafan yang saya sendiri sangsikan kerana saya tetap menganggap ada yang lebih baik daripada saya) di peringkat diploma, ijazah pertama dan seterusnya kini berpeluang menyambung pengajian di universiti luar negara.


Terkejut

Hampir semua guru, rakan dan saudara mara terkejut dengan apa yang saya capai. Antara sebab utama yang boleh saya simpulkan ialah tidak wujudnya paksaan dan sikap menekan ibu bapa saya dalam setiap peringkat pengajian yang saya lalui.

Biarlah kecemerlangan itu bersikap realistik.

Tidak cemerlang di alam persekolahan tidak perlu dijadikan satu premis atau kebimbangan bahawa masa depan seseorang pelajar akan kekal sedemikian sehingga ke peringkat universiti atau berkerjaya. Tanyalah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah gagal dalam subjek pengajian perubatannya? Adakah kegagalan itu pernah memberi kesan kepada sumbangan dan keupayaannya setelah memimpin negara? Saya kerap diberitahu oleh beberapa sarjana bahawa tidak semua pelajar cemerlang berjaya mengekalkan prestasinya di universiti.

Sehubungan itu, saya menyeru agar sistem penggredan persekolahan dapat diperhalusi semula bagi mencerminkan keupayaan sebenar pelajar dan agar pelajar yang mendapat kurang ‘A’ tidak berasa demoralized. Mungkin kita boleh mengadaptasikan sistem penilaian universiti di mana pelajar dinilai secara berterusan melalui pelbagai kaedah penilaian.

Walaupun peperiksaan dan kokurikulum masih memainkan peranan penting, ia haruslah dilengkapkan dengan kaedah penilaian lain seperti penulisan esei, diskusi berkumpulan, pembentangan dan kerja lapangan yang semuanya diambil kira dalam penggredan akhir.

Sememangnya saya mengakui tidak ada kaedah untuk menilai kecemerlangan mutlak seseorang pelajar. Namun saya berpandangan sistem penggredan yang ada mungkin dapat diperbaiki agar stigma budaya ‘A’ ini tidak terus menekan pelajar dan ibu bapa.

– ISMARIAH ZAINAL ABIDIN,

University of Sheffield,

United Kingdom.

Saturday, January 1, 2011

Pengguguran Janin di Malaysia Suatu Barah




Oleh: Mohd Faisal Bin Mustaffa

Pengguguran janin tidak berdosa semakin mudah dilakukan, terutama dengan kecanggihan perubatan moden pada alaf ini. Ia bukan sahaja boleh dilakukan melalui pembedahan, malah dengan penggunaan bahan kimia seperti pil-pil kontraseptif, alat intro-urine dan sebagainya. Di Malaysia, ia berlaku bagai barah yang bernanah dan merebak ke dalam masyarakat. Secara purata, pengguguran kandungan di seluruh dunia dianggarkan melibatkan 50 juta kes setiap tahun, iaitu sebanyak 30 juta melakukannya secara sah, sementara 20 juta lagi dibuat secara 'haram'.

Baru-baru ini kita didedahkan dengan kegiatan menjual pil 'cuci benih' yang dilakukan oleh klinik-klinik bersalin swasta di ibu negara bagi memudahkan proses menggugurkan janin. Dengan hanya membayar RM 50, seseorang itu boleh membeli sehingga enam biji pil dan perlu dimakan dalam masa tiga hari sebelum dapat melihat kesannya. Malah, ia boleh dilakukan sendirian di rumah tanpa perlu mendapatkan khidmat doktor, serta tidak menyakitkan. Pil tersebut boleh menyebabkan goncangan pada rahim dan kandungan boleh terjejas dengan mudah.

Pengguguran janin yang berleluasa lazimnya dilakukan oleh wanita-wanita yang hamil di luar nikah bagi mengelakkan kandungan mereka diketahui umum dan mengakibatkan maruah tercalar. Selain itu, ia turut dilakukan oleh wanita-wanita yang sudah berkahwin, tetapi belum bersedia menimang cahaya mata dengan alasan ingin membina karier terlebih dahulu, atau bimbang dengan bebanan hidup yang akan bertambah.

Menurut Ketua Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Dr Zainul Rashid Mohd Razi berkata, pengguguran janin boleh memberikan implikasi yang besar kepada pelakunya. Antaranya, boleh menyebabkan jangkitan kuman pada saluran peranakan, selain berpotensi mengalami pendarahan di dalam perut yang boleh menyebabkan wanita tersebut pengsan atau maut. Di samping itu, wanita tersebut juga sukar untuk mengandung lagi kerana proses pengguguran yang dialami sebelum ini boleh mengakibatkan usus dan rahim melekat, selain saluran ovari tersumbat. Sekalipun dia hamil, dia mungkin mengalami kehamilan di luar rahim. Sekiranya tidak, wanita tersebut juga berisiko mengalami kemandulan, di samping memberi kesan pada mental dan emosi setelah mendirikan rumah tangga. Apabila usia semakin meningkat, dia mungkin mengalami masalah psikologi seperti kemurungan lantaran asyik memikirkan kandungan yang pernah digugurkan itu.

Selain implikasi-implikasi tersebut, masyarakat kita seharusnya sedar bahawa pengguguran janin merupakan suatu dosa besar yang dilaknat Allah, kerana ia melibatkan nyawa manusia lain. Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata, walau sebesar mana pun janin dalam perut ibu, jika sudah mempunyai anggota badan atau bernyawa, menggugurknnya tetap berdosa besar (haram). Malah di dalam surah al-Isra' ayat 31, Allah berfirman, bermaksud: 'Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu.'

Dari segi undang-undang di Malaysia pula, pengguguran anak merupakan satu jenayah. Mengikut Seksyen 312, Kanun Keseksaan, orang yang menggugurkan anak boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. Sebaliknya, jika wanita itu mengandung anak sudah bersifat, dia boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Kesimpulannya, pengguguran janin merupakan satu jenayah yang mesti dibendung.

Sebagai anggota masyarakat, kita seharusnya peka dengan keadaan ini dan berusaha meningkatkan kesedaran terhadapnya dalam kalangan masyarakat setempat. Pengamal-pengamal perubatan juga sepatutnya mempunyai integriti dan tidak hanya memikirkan soal keuntungan.