Tuesday, April 12, 2011

Bersama Dr Asri, Mufti Perlis


Semalam, Selasa 10 Jun 2008 saya bersama rakan-rakan PMIUM sempat bertemu dengan Dr Asri Zainul Abidin yang merupakan mufti Perlis. Di dalam pertemuan tersebut kami sempat berbincang dengan masalah yang timbul daripada pinjaman PTPTN dan isu-isu berkaitan dengan kemahasiswaan. Kami merentas perjalanan sejauh 400 km lebih menuju ke utara semata-mata mahu mendapatkan pandangan dengan beliau seterusnya membuat jemputan secara rasmi sebagai forum di dalam program HEWI yang akan diadakan pada bulan Ogos akan datang. Melalui perkongsian dua hala ini, pelbagai input yang telah kami perolehi


Pimpinan PMIUM sesi 08/09 bergambar bersama Dr Asri


Bersoal jawab berkenaan isu PTPTN dan isu Mahasiswa Islam


Sedang menantikan Dr Asri di dalam bilik mahkamah syariah

Monday, April 11, 2011

Cetusan Pak Rae


Semalam saya sempat melayari laman blog terbaru Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya Dr Azrae Bin Hj Idris. Walaupun kewujudan ini agak terlewat berbanding anak-anak buahnya, namun begitu kewujudan blog ini mendahului TNC Hep daripada kampus-kampus lain.

Sebagai “pemantau” kepada aktiviti pelajar, kewujudan blog ini amat bermakna kerana segala buah fikiran dan cadangan yang beliau akan kemukakan kepada para pelajar dapat dilayari terus didalam laman blog beliau. Segala respon daripada para pelajar akan terus disampaikan kepada beliau. Jika sebelum ini, Perdana Mail menjadi tempat beliau meluahkan rasa, namun begitu ianya kurang berkesan kerana tidak semua pelajar cakna dengan Perdana Mail mereka.

Kepada Ayahanda Dr Azrae, semoga terus tegar dalam menulis. Semoga usaha yang dilakukan ini akan memberikan manfaat kepada mahasiswa baru di Universiti ternama ini. Mungkin selepas ini akan menyusul pula blog Naib Canselor. (^^,). Untuk Melayari blog ayahanda TNC, Dr Azrae KLIK DI SINI

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Tuesday, April 5, 2011

Ranking Universiti dan Budaya Intelektualisme

Oleh:Mohd Faisal B Mustaffa
Baru-baru ini, Times Higher Education Supplement (THES) tidak menyenaraikan walau satu pun universiti di Malaysia dalam ranking 200 universiti terbaik dunia 2007. Ini merupakan satu kekecewaan yang amat besar buat negara Malaysia yang menjadikan minda kelas pertama sebagai salah satu teras utama Misi Nasional yang terkandung dalam matlamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Kaedah ranking ini dibuat oleh Ququarelli-Symmonds (QS), sebuah syarikat swasta British bagi pihak THES. Beberapa pihak kelihatan menggunakan alasan dengan menyalahkan kaedah yang diguna pakai oleh institusi ini menyebabkan ranking hampir keseluruhan universiti yang tersenarai dalam 20 universiti terbaik dunia juga berubah. Namun menurut THES, kaedah tersebut diubah untuk menjadikan kajian mereka lebih tepat. Justeru, siapa yang harus dipersalahkan di atas kemerosotan pencapaian universiti-universiti kita, khasnya Universiti Malaya yang pernah menduduki ranking ke 89 daripada 100 universiti terbaik dunia pada tahun 2004? Adakah kita perlu menyalahkan Naib-naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan para pentadbir universiti? Atau adakah mahasiswa sendiri yang perlu dipersalahkan? Sekarang, usahlah kita saling menuding jari menyalahkan di antara satu sama lain, tetapi ayuhlah bersama-sama mencari jalan untuk menaikkan kembali imej universiti kita, khasnya Universiti Malaya yang pernah tersohor dengan jolokannya sebagai ‘Universiti Perdana.’

Mempergiatkan usaha penyelidikan oleh para pensyarah dan mahasiswa amat perlu bagi menaikkan semula ranking Universiti Malaya. Seandainya banyak penemuan yang berjaya diperolehi melalui kajian dan penyelidikan, ini akan membantu untuk membina, mempertahankan dan memperkembangkan peradaban negara, kerana kekukuhan sesuatu peradaban sangat bergantung pada kekuatan golongan intelektualnya. Sebagai contoh, kewujudan ‘Darul Hikmah’ pada zaman Abbasiyah merupakan satu usaha dalam mendukung budaya intelektualisme pada masa itu, begitu juga ‘A House of Medicine’ di Itali pada zaman Renaissance yang merupakan penganjur program berunsurkan intelektualisme dan ia sanggup menderma kepada pelbagai pihak yang berusaha mewujudkan persekitaran dan institusi intelektualisme. Dalam hal ini, di Malaysia perlu diwujudkan satu badan intelektual sebegini, yang mana akan berperanan sebagai pembiaya bagi sesuatu kajian penyelidikan dan kegiatan intelektualisme lainnya. Ini merupakan satu langkah yang harus diambil dan diteliti oleh kerajaan.

Selain itu, setiap orang daripada kita, sama ada para pentadbir universiti dan mahasiswa haruslah mempunyai pemikiran strategik dan berpandangan jauh. Dengan demikian, setiap satu agenda yang akan direncanakan merupakan pecahan bahagian daripada kerangka gagasan besar yang bertujuan untuk memantapkan nilai tinggi yang ada dalam peradaban. Dalam sejarah peradaban Islam, barisan tokoh besar Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan lain-lain merupakan golongan intelektual yang bertanggungjawab menerapkan nilai Islam yang tinggi dalam kehidupan bagi memastikan kelangsungan masyarakat Muslim pada setiap zaman. Ini merupakan salah satu peranan atau usaha yang harus dititikberatkan oleh golongan terpelajar, iaitu menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam masyarakat.

Jika disoroti mekanisme yang pernah digunakan oleh Imam Al-Ghazali dan intelektual Islam seangkatan dengannya dalam memantapkan peradaban Islam, mereka telah menggunakan kaedah penulisan, iaitu dengan menghasilkan karya-karya agung dan muktabar, serta mereka terkenal sebagai penulis yang prolifik. Ini adalah kerana hasil penulisan atau himpunan karya besar merupakan ‘senjata utama’ untuk berdepan dengan realiti cabaran luar, seperti penularan pengaruh ideologi dan budaya Barat. Keadaan inilah yang sepatutnya dicontohi oleh golongan intelektual kita demi membangunkan dan memajukan kembali keunggulan universiti dalam negara. Inilah antara beberapa usaha dan peranan yang harus dimainkan oleh pihak kerajaan, para pentadbir universiti dan mahasiswa untuk meningkatkan peradaban bermula pada peringkat universiti, seterusnya ke dalam masyarakat dan negara. Dengan demikian, pasti universiti-universiti di Malaysia akan mampu bersaing dengan universiti-universiti luar serta dapat merampas kedudukan di antara 200 universiti terbaik dunia.

Untuk akhirnya, selamat bercuti diucapkan kepada semua mahasiswa APIUM yang telah selesai menduduki peperiksaan semester. Isilah masa cuti dengan sebarang aktiviti bermanfaat yang mampu memberi faedah kepada diri dan keluarga, khususnya. Tidak dilupakan kepada pasangan mahasiswa yang telah dan akan diijabkabulkan dalam masa terdekat ini. Selamat pengantin baru diucapkan, dengan harapan jodoh berpanjangan dan berkekalan.

Sekian.

Monday, April 4, 2011

Tiada kenaikan yuran pelajar Akademi Pengajian Islam UM



Alhamdulillah, itulah kalimah yang sewajarnya diucapkan atas ketidaknaikkan yuran APIUM. Pihak UM sendiri memberi jaminan kepada seluruh mahasiswa APIUM didalam hal ini. Kepada mahasiswa APIUM semoga terus berjuang untuk mencapai kejayaan. Di sini saya sertakan artikel daripada berita harian yang terkini . klik sini

Tiada kenaikan yuran pelajar Akademi Pengajian Islam UM

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) hari ini menjelaskan bahawa tiada kenaikan yuran pengajian dilaksanakan bagi penuntut Akademi Pengajian Islam universiti itu.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, berkata apa yang berlaku sekarang adalah satu proses mendapatkan maklum balas daripada penuntut Akademi Pengajian Islam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tabloid hari ini yang melaporkan bahawa cadangan kenaikan yuran sebanyak 75 peratus meresahkan penuntut apabila Akademi Pengajian Islam mengeluarkan pekeliling semakan semula kadar yuran berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Sebarang perubahan pada yuran, jika dilaksanakan, adalah selepas perbincangan dan maklum balas daripada penuntut dan Pengurusan universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa Universiti Malaya sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan penuntut dan pihak pengurusan Akademi Pengajian Islam akan selalu mengadakan pertemuan dengan penuntut dari semasa ke semasa. - Bernama

Panji Islam


Panji Islam kujunjung kibarmu
Akan kupasak di puncak tertinggi
Simbol mulia syiar yang kubawa
Dasar agama Rasul tercinta.

Akan kudaki mehnah duniawi
Biar tersungkur bangkit berdiri
Demi panji yang kugenggam ini
Dijerlus duri syurga kan menanti.

Derap langkahku selaju cita
Kencang tingkahku menggapai jaya
Haruman kasturi mengacah sukma
Mimpi syahid igauan di mata.

Panah busurku dilumur wahyu
Pedang dilangir sabda Junjungan
Mara langkahku menuju medan
Menjulang panji siaga di tangan.

Panji Islam kita tegakkan
Meski diancam zaman-berzaman
Tetap teguh berkibar megah
Kental kukuh janji-Mu Allah.

Terus dijunjung panji mulia
Biar dirempuh badai gelora
Tradisi kita pejuang agama
Demi Islam kan terus ku bela.

Sunday, April 3, 2011

Aku Tidak Mengerti


Dalam kabut asap

Yang termuntah daripada corong-corong ekzos

Meresap ke rongga dada

Aku tidak mengerti

Mengapa harus membayar lebih

Dalam sebuah negara yang kaya minyak?


Ketika enak menelan

Rezeki sehari-hari

Berlauk telur dengan sedikit sayur

Meneguk segelas air kosong

Dalam sebuah negara berinflasi rendah

Aku tidak mengerti

Mengapa harus kais pagi makan pagi

Kais petang makan petang?


Tidurku pada dinihari

Berlapikkan tilam usang dan berbantal kusam

Dingin menyapa dihembus kipas tua, menunggu ajal tiba

Aku tidak mengerti

Kos rumah yang tinggi

Dengan gaji sekadar mencukupi

Aku hanya mampu bermimpi

Mempunyai rumah milik sendiri.


Segala-galanya

Membuat aku tambah tidak mengerti

Mengapa harus begini?