Wednesday, May 11, 2011

MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

-Usman Awang

Sumber: http://www.liriklagu.com/imnogman/UsmanAwang_Puisi_F.html

Friday, May 6, 2011

Selamat Hari Merdeka

faisal merdeka 1

Selamat Hari Merdeka kepada seluruh mahasiswa dan rakyat Malaysia. Hayatilah kemerdekaan dengan nilai-nilai kemerdekaan yang digariskan oleh Islam. Itulah kemerdekaan yang sebenar.


Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Warna Warni Konvokesyen 2009

Terbang tinggi di angkasa raya


Bersama emak dan ayah




Aizul teman semasa di 5th




Shafiq Azfar wira pro M di fakulti Alam Bina semasa tahun saya bertanding



Pro Mahasiswa, kenangan manis semasa di kampus




Izat dan Zaidi tersenyum girang



Hakimi, teman sejak sekolah menengah lagi serta Khairuddin teman serumah




Wednesday, May 4, 2011

Mahasiswa tuntut 5 perkara dalam PR Permatang Pauh


Bersama rakan-rakan mahasiswa di Pulau Pinang

Kira-kira 500 mahasiswa dari pelbagai universiti seluruh negara telah berhimpun di Permatang Pauh sempena dengan pilihanraya kecil yang akan berlangsung pada 26 Ogos ini. Himpunan tersebut bertujuan memberikan mesej kepada rakyat berkenaan tuntutan mahasiswa kepada pemimpin parti politik yang bertanding dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Pengerusi National Coalation Movement (NESCAM), saudara Haafizuddin Abirerah yang berpeluang berucap di pentas Barisan Nasional bersama-sama dengan Dato' Seri Syed Hamid Albar mengulangi gesaan mahasiswa agar pilihanraya kali ini dilaksanakan dengan adil dan saksama. Ini kerana, selaku golongan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik, agenda yang diperjuangkan mahasiswa adalah jelas menjadi mata dan telinga masyarakat dan berjuang berasaskan politik nilai. Tetapi selepas itu, wakil daripada BN mengeluarkan perkataan "stupid" kepada mahasiswa kerana tuntutan mereka cenderung kepada memilih kerajaan yang telus dan adil.


Di hadapan rumah Dato' Arif Shah

Kemudiaanya tuntutan ini dibacakan juga bersama Dato Seri Anwar Ibrahim di atas pentas Parti Keadilan Rakyat didalam ceramah umum beliau. Dato' Seri Anwar Ibrahim menyambut baik tuntutan yang dinyatakan oleh mahasiswa ini.



Berhenti sebentar dihadapan Banner bakal PM Malaysia ke-6.

Di dalam bacaan memorandum ini, mahasiswa membuat 5 tuntutan kepada calon-calon yang bertanding. Ini meliputi aspek Politik, Ekonomi, Sosial, Pendidikan dan Hak Asasi Manusia.

Dari aspek politik, mahasiswa menuntut supaya Pilihan Raya diadakan secara bersih dan mengikut lunas-lunas demokrasi yang sebenar dan adil. Selain itu, kebebasan bersuara diberi kepada mahasiswa dan rakyat.

Dari aspek Ekonomi pula, Mahasiswa menuntut supaya dilaksanakan pengurusan ekonomi yang tersusun dan tidak menganiayai masyarakat bawahan. Selain itu, unsure-unsur penyelewengan hendaklah dibebaskan daripada wujud di dalam pengurusan ekonomi ini.

Dari aspek social pula, mahasiswa menuntut supaya kemiskinan tegar dibasmi, kebajikan rakyat dijaga secara serius dan perkhidmatan kesihatan secara percuma dihospital kerajaan mahupun swasta.

Dari aspek pendidikan pula, mahasiswa meminta supaya diberikan pendidikan percuma dan kebebasan akademik kepada para pelajar dan pensyarah.

Dari sudut hak asasi pula, mahasiswa meminta supaya dimansuhkan AUKU dan memberikan kebebasan media.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Tuesday, May 3, 2011

Azzam Ku


Oleh:Khairul Amilin

Azzam Ku

Aku bersumpah wahai diri
Masuklah engkau ke medan ini
Atau kupaksakan dirimu
Bila semua orang berteriak “Maju“
Mengapa masih juga membenci surga !!!!!

Sudah lama hidupmu dalam tenang
Jiwa,.. oh jiwa…..
Kalaupun tak terbunuh di jalan ini
Dirimu akan mati jua
Inilah jalan keabadian
Yang paling sempurna
Lakukanlah, kau akan bahagia
Elakanlah, kau akan celaka

Abdullah bin Ruwahah – saat perang Uhud ---

Impian Tercapai Melihat Kedah dibawah kepimpinan Ulama

Dato' Seri Mahdzir Khalid selaku ketua pembangkang bersalam dengan Ustaz Azizan Abd Razak selaku menteri Besar Kedah.



Baru-baru ini saya ada menulis tentang cita-cita untuk bermenteri besar seorang agamawan. Alhamdulillah akhirnya tercapai hajat saya. Kira-kira jam 1 pagi saya mendapat sms bahawa kerajaan Islam akan dibentuk di Kedah.

Walaupun kawasan saya membuang undi berpihak kepada pembangkang (BN sebagai pembangkang di Kedah), namun begitu saya bersyukur kemenangan pakatan (Barisan Rakyat) BR berjaya membentuk kerajaan dengan kerjasama PAS dan PKR. PAS memenangi 16 kerusi, diikuti PKR 4, DAP 1 dan BEBAS 1. Manakala parti pembangkang iaitu BN hanya meraih 14 kerusi.

Tidak sia-sia kiranya, usaha yang dilakukan oleh para bloggers untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat jelata. Walaupun diasak dan diganyang lunyai oleh media utama termasuk TV dan akhbar, namun media alternatif tetap menjadi pilihan hati pengundi pada kali ini. Blog-blog dan laman web menjadi sumber maklumat sehingga menyebabkan rakyat celik daripada terus tertipu oleh kerajaan BN.

Rakyat nampaknya semakin tidak percaya kepada "suara-suara" utama kerajaan kerana banyak kekeliruan yang ditonjolkan. Saya tertarik dengan kata-kata Dr Anuar Zaini, pengerusi BERNAMA. Beliau menyatakan bahawa media-media utama seperti TV 1 & TV 3 terlalu lembab sehingga menyebabkan rakyat semakin mual. Sebagai contoh, malam pengiraan undi ketika beliau bercakap di studio TV3 masih banyak keputusan berpihak kepada kerajaan BN. Namun begitu semasa beliau keluar ke tandas, pemandunya memberitahu bahawa 5 negeri telah jatuh ke tangan Barisan Rakyat (BR).

Saya sendiri merasakan perangkap yang dipasang oleh BN tidak mengena dan memakan diri sendiri. Keputusan SPR membatalkan penggunaan dakwat menjadikan rakyat lebih simpati kepada pakatan BR. Hal ini kerana, jelas di fikiran rakyat bahawa SPR sendiri mahu melakukan penipuan.Aksi yang gelisah yang ditampilkan oleh Pengerusi SPR ketika pengumuman kerajaan baru BN, jelas menunjukkan beliau tidak dapat menerima kemenangan parti pembangkang.

Semoga kerajaan PAS Kedah dapat mengorak langkah untuk memimpin dengan baik. Kemenangan ini perlu diisi dengan sebaiknya kerana ianya adalah amanah Allah dan tanggungjawab kita bersama selaku Muslim.



"Tahniah Kerajaan PAS Kedah.. Syabas kepada yang bergelar YB"

Kais Pagi, Makan Pagi

Belum reda ribut, taufan pula yang menjelma. Si nelayan yang menanti untuk turun mencari rezki di laut kehampaan. Kepalanya ligat berfikir. Mahu ke laut, nyawa jadi taruhan. Jika menanti redanya ribut, sudah tentu dapurnya tidak berasap. Si nelayan tua menjadi serba salah. Apakah yang harus dia lakukan. Dia tidak sanggup melihat anak-anaknya yang kecil menangis minta di isi perut.

Itulah realiti yang selalu dihadapi oleh rakyat kelas bawahan. Bagi golongan atasan mungkin perkara ini di lihat dalam kaca mata yang berbeza. Bagi mereka wang itu adalah satu perkara yang mudah. Tetapi bagi golongan kelas bawahan, yang rata-ratanya miskin dan berpendapatan sederhana soal keewangan sering menjadi masalah utama. Bahkan mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk mendapatkan wang bagi membesarkan anak-anak mereka.

Kenapa saya membawa situasi di atas? Sudah tentu sahabat-sahabat dapat menerka. Kadang-kadang saya merenung sendirian memikirkan nasib golongan bawahan ini. Ini kerana saya sendiri lahir daripada golongan yang berpendapatan senderhana. Ibarat kais pagi, makan pagi. Kais petang, makan petang.

Di kala itu pendapatan ayah sekitar RM100 sebulan untuk menampung kehidupan kami 4 beranak. Hidangan dirumah sekadar cukup untuk mengenyangkan perut. Mujur ketika itu saya dan kak tidak banyak karenah. Ikan tamban kering masin menjadi juadah istimewa. Jika mahu merasa makan ayam, ayah akan membeli kaki ayam di pasar untuk kami sekeluarga. Asalkan ayam, walaupun sekadar kaki ayam saya dan kakak sudah ketawa girang. Bukan mudah untuk makan binatang bergelar “ayam”. Mujur masih ada makanan yang boleh di makan. Sekurang-kurangnya tidak kebuluran.

Ada dikalangan sahabat-sahabat saya, sebaik sahaja masuk wang pinjaman PTPTN mereka akan menghantar wang tersebut kepada keluarga mereka di kampung. Bila disoal mengapa, jawapannya wang tersebut digunakan untuk perbelanjaan harian dan sekolah adik-adik mereka. Tidak dapat saya gambarkan, betapa mulianya hati sahabat saya ini. Mengikat perut untuk kepentingan dan masa depan keluarganya.

Sebab itulah, saya tidak hairan apabila terdapat ramai dikalangan mahasiswa UM yang gagal untuk menduduki peperiksaan akibat bebanan hutang yang melebihi RM 500. Rata-ratanya adalah Melayu beragama Islam. Sebangsa dengan saya. Memang benar ada di kalangan mereka yang menyalahgunakan wang tersebut untuk berfoya-foya. Namun begitu masih ada dikalangan mereka yang kurang bernasib baik. Wang mereka digunakan untuk membantu keluarga mereka. Sebagai seorang sahabat, selami hati sahabat-sahabat kita ini. Kepada sahabat-sahabat yang belum memahami, renung-renungkanlah.

Sunday, May 1, 2011

Mengapa Wajib Mengundi Calon Bukan Islam?


Calon yang mewakili mahasiswa kampus diibaratkan seperti mereka yang bermain bola sepak. Dalam erti kata yang lain, mereka bergerak dan berperanan secara berkumpulan. Segala pertimbangannya juga bukanlah berasaskan pertimbangan peribadi, tetapi bersandarkan kepada ‘fatwa’ dan kesepakatan bersama dalam kumpulan yang diwakilinya.

Dalam konteks pilihanraya di universiti-universiti, calon-calon Kumpulan A misalnya merupakan mereka yang mewakili gabungan beberapa persatuan pelajar yang mahu menegakkan keadilan dan kesaksamaan, serta mereka yang berusaha memperjuangkan hak dan kebajikan mahasiswa menurut Syariat Islam, juga undang-undang negara. Golongan ini menentang sebarang penyelewengan, korupsi, penafian hak dan sebarang ketidakadilan serta kezaliman yang berlaku di dalam dan di luar kampus. Sementara Kumpulan B terdiri daripada mereka yang bersekongkol dengan kezaliman serta bekerjasama melakukan penyelewengan, di mana mereka turut menghantar calon bagi mewakili kumpulan mereka untuk bertanding dalam pilihanraya kampus.

Maka, kelebihan personaliti seseorang calon hanya mewakili sebahagian kecil sahaja daripada kelayakan dirinya untuk dinilai oleh pengundi. Kelebihan personaliti, integriti dan kualiti seseorang calon adalah merupakan urusan kumpulan yang diwakilinya untuk meneliti, dan akhirnya meletakkan hanya yang terbaik sebagai calon. Ada pun bagi pengundi, mereka harus memahami bahawa menghantar wakil untuk bertanding dalam pilihanraya bukanlah seperti menghantar pemain badminton, tetapi pasukan bola yang akan bermain di dalam satu pasukan.
Maka jangan hanya menilai peribadi calon, tetapi tumpukan kepada pasukan yang diwakilinya.
Jika anda menyokong ISLAM, bermakna anda menyokong PRINSIP. Islam sebagai prinsip menjulang keadilan, ketelusan, komitmen kepada perjanjian dan amanah, iaitu nilai-nilai yang didukung bukan sahaja di atas nama Islam, tetapi boleh juga tanpa nama Islam.

Akan tetapi jika anda menyokong MUSLIM, maka anda mempertimbangkan identiti calon, dan bukan prinsip serta integritinya. Jika anda mengundi seorang calon hanya kerana dia itu MUSLIM… anda tidak berlaku adil, anda pengamal ASABIYYAH.

“Rasulullah SAW ditanya, apakah dianggap ‘Asabiyyah jika seseorang itu mengasihi kaumnya? Baginda SAW menjawab, “TIDAK, AKAN TETAPI APA YANG DIANGGAP SEBAGAI ‘ASABIYYAH ITU IALAH APABILA SESEORANG ITU MENOLONG KAUMNYA ATAS KEZALIMAN!” [Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, hadith Wathilah bin al-Asqa']

Sama ada seseorang itu diundi kerana dirinya seorang Melayu, atau semata-mata dirinya seorang Muslim, sedangkan pengundian itu bakal mengekalkan kezaliman pasukan yang diwakilinya ke atas sekalian rakyat, maka pemilihan itu adalah ‘ASABIYYAH, tidak mungkin sama sekali boleh dilihat sebagai suatu pilihan yang disandarkan kepada mana-mana prinsip Islam.

Islam menjulang keadilan dan menentang kezaliman. Keadilan harus dipertahankan, biar pun dengan mempertahankan seorang bukan Muslim. Kezaliman mesti dibanteras, biar pun pelakunya adalah seorang Muslim, hatta bapa atau anakmu sendiri.


KEADILAN UNTUK SEMUA

Prinsip Islam tidak mengenal Muslim atau bukan Muslim. Apa yang dipertahankan dan dijulang adalah keadilan. Pilihanraya adalah proses terpenting untuk membersihkan negara daripada keangkuhan kuasa yang sudah lama bertahan, dan sewenang-wenangnya melakukan kezaliman dan penindasan.

Daripada Anas Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “BANTULAH SAUDARA KAMU, SAMA ADA DIA ITU ZALIM ATAU DIZALIMI.” Para sahabat berkata, “wahai Rasulullah, kami pasti membantu orang yang dizalimi ini, tetapi bagaimana pula kami boleh mambantu orang yang zalim?” Baginda S.A.W. menjawab, “CEGAHLAH SI ZALIM ITU DARI TERUS MELAKUKANNYA” (Hadith riwayat al-Bukhari)


TOLONG MEREKA YANG DIZALIMI

Jika anda mahu membantu sekalian yang dizalimi sama ada di dalam tahanan ISA, yang dituduh tanpa kesalahan, yang menjadi mangsa penipuan, penindasan, tekanan ekonomi, politik dan sosial, MAKA BUATLAH PILIHAN YANG BETUL DENGAN MENYOKONG ISLAM, BUKANNYA MUSLIM. Sokonglah pasukan yang memperjuangkan keadilan, ketelusan, dan kebajikan sekalian rakyat tanpa memilih bangsa dan agama.


TOLONG MEREKA YANG ZALIM

Jika anda mahu benar-benar membantu sekalian yang zalim dan bongkak selama ini, hentikan mereka dari terus menang dan berpeluang meneruskan kezaliman.


TOLONG KEZALIMAN

Akan tetapi, jika anda memilih Muslim dan non Muslim yang zalim atau menambahkan kekuatan pasukan yang zalim, untuk terus melakukan kezaliman, “ucapkanlah selamat tinggal kepada umat yang pasti binasa itu!”

Bila kalian mendapati keadaan di mana umatku takut untuk berkata kepada orang zalim, “Wahai zalim”, maka kamu telah diucapkan selamat tinggal daripada mereka (H.R. Ahmad)


-Idea penulisan ini diambil daripada artikel Ustaz Hasrizal atau lebih dikenali sebagai 'Abu Saif', dan diolah mengikut keperluan kampus untuk menjawab SMS palsu terhadap info SMS berbunyi: "Manakah lebih baik daripada mengundi orang bukan Islam mewakili Kumpulan A, berbanding mengundi orang Islam Kumpulan B."