Sunday, June 12, 2011

Dakwah dan Ukhuwwah era persekolahan

Sudah lama rasanya tidak berceloteh di ruangan maya ini. Hal ini kerana saya lebih menumpukan kepada artikel berbentuk respon kepada majalah-majalah dan akhbar-akhbar. Tambahan pula selepas menubuhkan PERSADA, komitmen yang sedia ada semakin bertambah. Berbanding sebelum ini, focus utama hanyalah kepada gerak kerja di dalam kampus. Namun begitu pada pagi ini terdetik hati untuk menulis sesuatu.

Saya mula mengenali erti berjemaah sejak berada di bangku sekolah lagi. Ketika itu saya masih berada di bumi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK). Kesedaran untuk berjuang ini timbul selepas saya bersama Idriss, menghadiri Perhimpunan Pelajar Islam Kedah (PPIK) yang di adakan pada 1-3 Jun 2003. Ketika itu, Ustaz Mahmud Zaim Bin Musa (murabbi pertama saya sehingga hari ini), membawa kami berdua ke program tersebut.

Selepas pulang daripada PPIK, kami mula menyusun gerak kerja di sekolah secara tersusun. Walaupun masih di tahap sekolah menengah, namun begitu kami berani melakukan ijtihad baru dalam melakukan reform terhadap tarbiah di SMKAK. Di samping itu, agenda perubahan ini di bantu oleh sahabat-sahabat seperti Hakimi, Asyraf dan beberapa orang adik-adik junior.

Ketika itu, saya masih ingat bagaimana susah payahnya bersama dengan Idriss mengusrahkankan adik-adik melalui liqa yang diadakan setiap petang bagi membolehkan peninggalan kami dibumi SMKAK diwarisi oleh generasi pelapis yang mempu mengembalikan kegemilangan SMKAK. Siang malam asyik bersama memikirkan bagaimanakah harus kami lakukan bagi melahirkan pelapis yang boleh meneruskan agenda Islam di bumi SMKAK.

Proksi Badan Pendidikan Islam (kini BADAR), kami pergunakan sebaiknya. Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja program-program yang kami jalankan. Akibat terlalu “laju”, menyebabkan golongan muslimat kurang senang dengan kami kerana kebanyakkan gerak kerja yang kami lakukan tidak dimaklumkan kepada guru penasihat. Bukannya tidak mahu diberitahu, tetapi memandangkan kami terpaksa berhadapan dengan karenah yang memungkinkan program yang kami cadangkan tidak dapat dijalankan. Oleh itu, kami berijtihad menggunakan konsep “Buat dahulu, kemudian beritahu”.

Ketika itu, saya berasa cukup senang hati untuk melaksanakan gerak kerja Islam. Walaupun terdapat rakan-rakan yang “menentang”, namun begitu pada hari ini merekalah antara rakan-rakan karib saya. Tetapi sahabat seusrah yang kekal untuk merencanakan gerak kerja, sejak zaman sekolah sehingga hari ini hanyalah semata-mata Idriss seorang kekal bersama saya ke sana ke sini apabila pulang ke Kedah.

Selepas masuk ke Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), saya berjumpa lagi dengan rakan-rakan baru yang sekapal. Walaupun agak berat hati berpisah dengan Idriss yang terpilih ke Darul Quran, namun begitu hati sedikit terubat kerana di bumi waqafan inilah saya mula “di tarbiah” sebagai abna’ al-harakah. Peluang menjadi anak usrah akh Azam Bahador, menjadikan saya lebih mengenali erti perjuangan Islam Ini. Terima kasih akh Azam yang menjadi murabbi saya yang kedua di dalam berjemaah. Antara rakan-rakan yang bersama dengan saya ketika itu semuanya berjiwa mahu menjadi seorang syuhada’. Azuan, Aji, Taufik, yang kini berada dibumi anbiya. Sayu hati mengingati mereka kerana saya juga mengidamkan untuk menjadi al-azharian seperti mereka.

Manakala Hakimi, Malek dan Habib masing-masing menuntut di dalam negara. Di akhir sesi pengajian, kami bertekad di dalam hati untuk reunion kembali pada tarikh 20-02-2020. Mungkin ketika itu ramai yang sudah meninggal dunia, namun begitu pertemuan tersebut adalah semata-mata mahu melihat kembali sejauh manakah keberjayaan kami semua. Adakah menjadi insan yang berjaya atau sebaliknya. Penafsiran berjaya di sini adalah, Berjaya menundukkan nafsu untuk menjadi ahli gerakkan yang indhibat. Doakan kami semua mampu menjadi hamba Allah yang bertaqwa.


Bersambung lagi….Ukhuwwah di Universiti

Saturday, June 11, 2011

Sejarah Penyertaan PMIUM dalam Pilihanraya Kampus

Oleh:Zainulfaqar Yaakob

“Hikmah (kebijaksanaan) itu adalah barang ciciran orang-orang mukmin. Barang siapa menjumpainya, maka ambillah ia (hikmah tersebut)…” || al-Hadith

Sejarah Awal Siasah Mahasiswa
Sejarah siasah mahasiswa Universiti Malaya bermula sejak mahasiswa kenal pertubuhan atau Union. Pertubuhan paling awal wujud di Universiti Malaya Kuala Lumpur adalah University of Malaya Student Union (UMSU) atau Pertubuhan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM); pada tahun 1958. Pengerusi UMSU telah disandang oleh Gurnam Singh manakala V. Selvaratnam dilantik sebagai Setiausaha.

Penubuhan UMSU ini bertitik tolak pada kecenderungan mahasiswa dalam kerja-kerja atau aktiviti non-academic. Seluruh mahasiswa UM secara implisit ditakrifkan sebagai ahli UMSU sendiri. Realiti ini bertitik tolak pada beberapa faktor. Antaranya, termasuk bilangan mahasiswa UM pada ketika itu sendiri dalam angka yang sangat kecil; sudah pasti pastisipasi mereka sangat diperlukan oleh pertubuhan.

Sila rujuk The Constitution of The University of Malaya, Syeksyen 48 (1); yang berbunyi:-

“…semua pelajar-pelajar yang multriculated mestilah menjadi anggota persatuan pelajar…” (The Universiti of Malaya Calender 1963-64, h.29)

Walaupun demikian, kondisi siasah mahasiswa melalui wadah UMSU ini masih pada tahap mentah. Aktiviti-aktiviti mereka lebih dikenal sebagai extra-mural activities.

Sesi akademik 1962/63 telah menyaksikan kemasukan mahasiswa freshes ke UM dalam angka yang sangat besar; 1 341 orang. Tradisi keahlian secara autamatik sebagaimana yang ditatacarakan oleh UMSU ini meletakkan UMSU sebagai pertubuhan yang istimewa dan berposisi strategik; bukan sahaja dalam memelihara kebajikan mahasiswa, malah menggerakan arus siasah kampus dan nasional.

Kondisi ini mendorong beberapa kelompok mahasiswa yang sudah berpertubuhan cuba untuk menjadikan UMSU ini sebagai vehicle dalam menyalurkan hasrat siasah mereka kepada masyarakat kampus. (Muhammad Abu Bakar, 1973:31-32)

Kelab Sosialis UM (KSUM) merupakan antara komuniti mahasiswa berpertubuhan awal yang dilihat mendominasi siasah mahasiswa di UM. Dominasi KSUM ini berpunca oleh vokalisme para pemimpin pertubuhan tersebut terutama pasca pengenalan Spekers’ Corner di UM pada 25 Mei 1966. (Muhammad Abu Bakar, Op.Cit.:31)

Pada pandangan Penulis, era 1960an menyaksikan dominasi siasah UM oleh UMSU ini mirip pada idealisme KSUM sendiri.

Pertubuhan Bahasa Melayu UM (PBMUM) turut mendominasi siasah UM sejak sesi akademik 1965/66. Tanda aras dominasi siasah tersebut dilihat pada siri pertandingan hebat kerusi Yang Dipertua pertubuhan tersebut.

Transisi kepemimpinan PBMUM ini membawa pertubuhan tersebut mula menggarap cita-cita yang bersifat nasional seperti isu bahasa Melayu, kebudayaan nasional hatta isu-isu yang melibatkan INTEGRITI pihak kerajaan. (Muhammad Abu Bakar, Op.Cit.:36-37)

Sesuatu yang menarik, dominasi siasah PBMUM ini tidak melalui UMSU, sebaliknya melalui pertubuhan PBMUM sendiri. Selain itu, PBMUM juga mempunyai ciri-ciri asasi pertubuhan mahasiswa yang vokal sebagaimana KSUM; seperti anti-establishment, pressure group, catalyst dan sebagainya kepada pihak pentadbiran kampus dan kerajaan Malaysia walaupun KSUM dan PBMUM mempunyai premis idealisme yang sangat berbeza.

Posisi PMIUM sekitar era 1960 lebih dilihat sebagai “orang kuat” kepada PBMUM dalam banyak perkara. Soal kepemimpinan sehinggalah soalan menentukan lanskap siasah pertubuhan tersebut di kampus dilihat selari dengan apa yang diperjuangankan oleh PBMUM.

Menurut Profesor Emeritus Dr. Khoo Key Kim sebagaimana berikut:-

“…PBMUM disokong oleh PMIUM, memperjuangkan isu bahasa dan kebudayaan Melayu…budaya Melayu seharusnya dijadikan sebagai budaya nasional…” (Abdul Razaq Ahmad, 2005: 10)

Tranformasi Dakwah Islamiyyah PMIUM
Dalam bacaan peribadi penulis, PMIUM sekitar era 1950an hingga penghujung 1960 juga seperti pertubuhan-pertubuhan biasa mahasiswa. PMIUM dilihat satu-satunya pertubuhan berlatarbelakang Islam dan menjadi agen dakwah Islamiyyah di kampus.

Dakwah Islamiyyah oleh PMIUM ini boleh dilihat dalam beberapa periodisasi. Pertama, dikenal sebagai tahap permulaan. Dan kedua adalah tahap kebangkitan.

Pada tahap pertama ini, aktiviti dakwah PMIUM dilakukan tidak di atas entiti PMIUM sendiri secara nyata; atau PMIUM dilihat menerima pengaruh luar (pertubuhan lain). Sebagai contoh, pengenalan idea faham Islam yang dilakukan Syed Muhammad Naquib al-Attas sekembalinya beliau ke UM sebagai tenaga pengajar di Akademi Pengajian Melayu pada tahun 1964.

DSAISdr. Anwar Ibrahim (kini Dato’ Seri) juga merupakan public fegure PMIUM yang mengikuti usrah di pejabat atau kediaman al-Attas. (rujuk Mohd Ridhwan Alias, 2004:t.h). Buktinya, DSAI sendiri pernah menjadi Jawatankuasa PMIUM sesi akademik 1967/68 (Mohd Nasir Mohd Nawi, 1992:lampiran).

Pada tahap ini, wacana ilmiah dilakukan atas pentas Usrah, kuliah-kuliah Maghrib di surau kolej kediaman UM dan di luar kampus. Aktiviti dakwah Islamiyyah oleh PMIUM ini digerakkan atas dasar kefahaman kerana kefahaman ini akan membawa kepada keyakinan dan iltizam kepada komuniti mahasiswa Islam untuk hidup berdasarkan neraca Islam dan menjadikan PMIUM itu sendiri sebagai wadah dakwah Islamiyyah di kampus UM.

Antara sumbangan besar PMIUM pada tahap ini termasuk perlancaran Projek Penyelidikan Kepercayaan Agama Dalam Masyarakat Melayu pada tahun 1967. Projek ini menjadi antara faktor sampingan pada pembokaran krisis sosio-ekonomi umat Islam Melayu di Malaysia; dan menjadi faktor sampingan pada tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. (rujuk 30 Tahun, PMIUM Meniti Liku-Liku Perjuangan, 1986: 10 DAN Junaidah Abu Bakar, 1993:16-19)

Pada tahap kedua, PMIUM mula mendominasi dakwah Islam kampus secara convensional atas entiti mereka sendiri. dominasi dakwah Islamiyyah melalui PMIUM ini lebih ketara apabila PMIUM secara rasmi menyertai Jawatankuasa Orientasi (JKO) pada sesi akademik 1971/72.

Peluang tersebut telah digarapkan oleh PMIUM demi memastikan idea faham Islam sampai kepada seluruh freshes muslim UM. Pelbagai aktiviti dakwah Islamiyyah dilakukan di kampus pada ketika itu. Antaranya, seruan solat berjamaah, kuliah Maghrib-Subuh hatta Sambutan Maulid ar-Rasul secara mega di DTC; dan sebagainya.

Dari sudut lain, dominasi dakwah Islamiyyah oleh PMIUM turut berlaku pada sesi akademik 1972/73 di bawah kepemimpinan Sdr. Siddiq Fadhil (kini Dr.) dengan wawasan “Tradisi Mencabar”.

Isu campurtangan AS dalam Perang Arab-Israil mengakibatkan mahasiswa melancarkan demontrasi aman di Kedutaan AS pada 16 Oktober 1973; sebagai suatu masej dakwah kepada kezaliman AS-Israel.

Pada 29 Jun 1974, PMIUM telah melancarkan Demontrasi “Konvensyen Ball” kerana aktiviti tersebut sangat bertentangan dengan lunas-lunas Islam. Penentangan tersebut dianggap batu permulaan Perang Dingin (Cold War) antara PMIUM dengan PMUM (dulu dikenali sebagai UMSU). (Mohd Nasir Mohd Nawi, 1992: 145-147)

Oleh kerana aktivisme dakwah PMIUM merentasi etniksiti dan representasi fakulti sendiri dalam rupa plural, pihak pentadbiran UM melihat dominasi siasah Islamiyyah PMIUM tersebut semakin ampuh. Natijahnya, PMIUM telah dinafikan hak menyertai JKO pada sesi akademik 1975/1976 sehingga 2 sesi akademik seterusnya.

Ijtihad Menyertai PRK
Sesuatu yang menarik sekitar penghujung era 1970an ini, PMIUM telah berijtihad menyertai Pilihanraya Kampus (PRK) pada sesi akademik 1977/78. Ijtihad ini demi mendominasi PMUM melalui pendekatan siasah Islamiyyah. (Samin Ongki, 1990:70-71)

Pada pandangan Penulis, tidak sempurnah tuntutan dakwah yang wajib tersebut kecuali memerlukan kepada kuasa (melalui dominasi PMUM sendiri), maka mendominasi PMIUM itu sendiri menjadi tuntutan wajib. Maa la yutimmu al-wajib illa bihi fahuabi al-wajib (tidak sempurna sesuatu kewajipan itu kecuali memerlukan kepada sesuatu perkara, maka perkara itu juga menjadi tuntutan wajib)

Demi dakwah Islamiyyah juga, PMIUM juga telah mengenakan tekanan berupa memorandum bantahan kepada Hal Ehwal Pelajar (HEP). Hasilnya, PMIUM dijemput semula menyertai JKO pada sesi akademik 1978/79. Namun, selepas sesi akademik tersebut, pihak HEP tidak lagi menjemput PMIUM atas representasi PMIUM sendiri. (Samin Ongki, 1990:70-71)

Dalam PRK sesi akademik tersebut menyaksikan PMIUM gagal menang majoriti. Kekalahan ini berlanjutan sehingga sesi akademik 1979/80. Tanggal 24 Julai 1981 (sesi akademik 1980/81) menyaksikan Islamic Group berjaya mendominasi PMUM. Sdr. Ahmad Shabery Cheek, public fegure PMIUM telah diberi mandat menjadi Yang Dipertua PMUM.

Tahun tersebut juga menyaksikan Minggu Haluan Siswa (MHS) subur dengan aktiviti-aktiviti yang menjunjung tinggi keilmuan dan nilai-nilai Islam itu sendiri. PMIUM menunaikan tuntutan dakwah Islamiyyah melalui body PMUM sendiri secara conventional. (Mohamad Ridhwan Alias, 2004:t.h)

Antara sumbangan dakwah Islamiyyah lain oleh PMIUM melalui PMUM adalah program tradisi PMUM yang sarat dengan unsur maksiat seperti “Konvensyen Ball”, acara perjudian, Pestaria Kebajikan dan sebagainya tidak lagi dianjurkan oleh PMUM sesi akademik tersebut.
Pada pandangan Penulis, PMIUM cuba menjadikan PMUM sebagai vehicle demi memastikan idea faham Islam ini terus subur di kampus khususnya melalui partisipasi mereka dalam JKO. Penulis juga melihat bahawa penyertaan PMIUM dalam PRK sendiri hanya bertujuan mengembalikan semula konsesi dakwah Islamiyyah di kampus melalui pendekatan siasah Islamiyyah; yang sebelum ini boleh dilakukan tanpa sekatan HEP.
karim kene pukulPengalaman PMIUM menyertai PRK dasawarsa ini menyaksikan pelbagai transisi siasah Islamiyyah. PMIUM pernah memboikot PRK pada sesi akademik 1983/84 di bawah kepemimpinan Sdr. Muhammad Husin; sesi akademik 1988/89 di bawah kepemimpinan Sdr. Mohd Yusof Abdullah; dan sesi akademik 2004/2005 di bawah kepemimpinan Sdr. Muhd Ramadhan Fitri Elias. (Mohd Khoirol Anuar Mat Zuki, wawancara secara bebas)
Keputusan memboikot PRK dalam ketiga-tiga sesi akademik ini bertitik-tolak pada sikap double standert HEP dan perjalanan PRK yang tidak demokratik. (rujuk Samin Ongki, 1990: 70-70; Mohd Nasir Mohd Nawi, 1992: 155; dan Zainulfaqar Yaacob, 2006:128-130)

Selain itu, tranformasi siasah Islamiyyah oleh PMIUM juga menyaksikan pengenalan damaged system oleh PMIUM dengan menghantar lebih 30 calon perwakilan untuk kerusi umum MPMUM (dulu dikenali sebagai UMSU atau PMUM). Ijtihad siasah Islamiyyah ini demi memberi suatu signal kepada pentadbiran UM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan PM hatta masyarakat berhubung penyelewengan dan anti-demokratik sepanjang berlangsungnya PRK UM pada ketika itu; sudah berada pada aras yang tenat.

Sesi akademik 2007/2008 sekali lagi bakal menyaksikan ijtihad siasah Islamiyyah oleh PMIUM demi memastikan dakwah Islam di kampus terus subur. Penulis melihat, ijtihad terbaik bagi zaman ini seharusnya dilakukan pada zaman ini. PMIUM seharusnya berani berijtihad dalam lapangan siasah Islamiyyah dan dakwah Islamiyyah dalam pusing akhir menjelang PRK kini; kerana ijtihad tersebut lebih hampir atau menepati keperluan massa dewasa ini sendiri.

Bagi Penulis, ijtihad thuquti dan kontemporari oleh PMIUM adakah masih melihat penyertaan PRK kali ini bermatlamat mendominasikan kuasa (MPMUM) demi merumputkan dakwah Islamiyyah di mayapada kampus Universiti Malaya KL itu sendiri; atau lebih daripada itu. Disiplin sejarah tidak lama lagi bakal menemukan jawapan tersebut.–END

Friday, June 10, 2011

Denai Sejarah


Denai sejarah telah merakam
Lencun baju yang dibasahi keringat
Bukti setianya para pahlawan
Membasuh kembali kesucian bangsa yang telah ternoda.

Lalu
Tumpah darah yang menitis diresap bumi
Menyaksi sebuah pengorbanan berepisod duka
Demi membawa siri bahagia buat bangsa
Pada suatu masa.

Lalu,
Suara tangisan pun memecah
Bila kalbu dirodok pilu
Melihat insan pejuang ditikam kaku.

Maka,
Nilaian apakah merdeka di hati kita?

-Selamat Hari Merdeka ke-51!

Monday, June 6, 2011

Buang Kolej : Elak sebelum terkena

Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah (KK12)

Semalam sewaktu sedang menjawab kertas Sistem Pentadbiran Islam saya menerima sms daripada sahabat saya Izzat Amin. Kandungan sms beliau berbunyi “Ramai budak AI kena buang kolej. Apa kita nak buat. Bagi ana no En Apandi”. Hanya hanya sempat membalas sms beliau untuk memberikan no hp En Apandi sahaja tanpa bertanya panjang kerana di sebelah petang saya akan berhadapan dengan kertas Qawaid Tafsir pula.

Petang tadi saya sempat berborak dengan seorang sahabat, dia meluahkan isu ramai pelajar Akademi Pengajian Islam (APIUM) yang dibuang kolej. Inilah isu saban tahun yang tidak pernah selesai. Para pelajar APIUM sering menjadi mangsa pihak yang kurang senang dengan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Mereka melabelkan pelajar APIUM sebagai “budak” PMIUM.

Saya juga merupakan salah seorang mangsa buangan kolej. Ketika itu saya berada disemester kedua tahun yang pertama. Bukan hendak diungkit, tetapi saya tetap merasakan ianya merupakan satu kezaliman terhadap diri saya. Jika diikutkan hati sememangnya saya sendiri tidak gemar untuk tinggal di kolej, namun apabila memikirkan tanggungjawab dakwah untuk menggerakkan Balai Islam KK5, saya gagahi juga untuk mengisi borang KK5. Harapan senior-senior Balai Islam sendiri mahukan sahabat-sahabat APIUM terus tinggal di kolej.

Jika diikutkan dari segi kos, tinggal diluar lebih jimat. Yuran kolej sahaja RM 1400 lebih. Berbanding tinggal diluar, sewa rumah hanya sekitar RM 600 satu semester. Tapi itu bukan halangan yang besar untuk tinggal di kolej. Matlamat untuk berdakwahlah menyebabkan ramai dikalangan pelajar APIUM untuk terus tinggal di kolej kediaman, bukannya untuk merasai kesenangan.

Alasan utama yang sering digunakan kononnya pelajar APIUM tidak aktif program kolej. Saya berani katakan ini suatu penipuan sebab itu hanyalah alasan semata-mata. Saya merupakan Johan pertandingan Manifestasi Puisi dan menjadi pemuisi terbaik dalam Festival Seni 2 yang lalu. Saya pernah mendapat anugerah bintang harapan daripada pihak kolej.Saya juga terlibat sebagai ketua Unit Dakwah Balai Islam KK5, namun semua itu diketepikan kerana label sebagai budak PMIUM itu lebih kuat. Bagi mereka apa sahaja usaha pembersihan pelajar APIUM di KK5 harus dilakukan kerana pada tahun tersebut GAGASAN menang besar di KK5. Usaha mereka berjaya. Kemasukkan sesi baru yang lepas menyaksikan tiada seorang pun pelajar baru APIUM yang ditempatkan di KK5.

Kemasukkan pelajar disekat bermakna KK5 bakal pupus dengan pelajar APIUM. Namun mujur masih ada sahabat-sahabat PALAPES yang ditempatkan disitu. Mereka juga merupakan penggerak dakwah. Tetapi saya merasa bimbang kerana PALAPES kebanyakkannya merupakan pelajar lelaki. Bagaimana nasib pelajar wanita apabila keluarnya generasi yang sedia ada, sudah tentu tiada generasi pelapis daie muslimat daripada APIUM.

Sahabat-sahabat di Kolej 8, Kolej 11, dan Kolej 12 juga mengalami nasib yang sama. Pernah saya persoalkan kepada Saudara Afandy, YDP MPMUM. Apa tindakan MPMUM yang ingin memperjuangkan hak mahasiswa, tetapi isu pelajar terutamanya dari APIUM dibuang kolej masih lagi berleluasa. Yang menghairankan, ada dikalangan pelajar lain yang menaiki kereta mewah untuk ke kuliah, mereka tidak dibuang. Ada dalam kalangan mereka yang tidak aktif kolej. Disini timbulnya ketidak adilan. Pelajar APIUM rata-ratanya tidak mempunyai sebarang kenderaan. Dari sudut logiknya sudah tentu pelajar yang berkereta dan mempunyai kenderaan tidak mempunyai kenderaan diutamakan untuk tinggal di kolej kediaman bagi memastikan keselamatan mereka terjaga. Tanpa kenderaan, kehidupan mereka di luar kampus agak kurang selamat. Jika ada kelas ganti dimalam hari agak sukar untuk mereka pulang sendirian. Menaiki teksi berseorangan bererti menanggung risiko.

Adalah yang terpaksa memberanikan diri menaiki teksi berseorangan malam hari. Saya rasakan hal ini adalah berbahaya dan tidak wajar. Tetapi mereka tiada pilihan. Walaupun mereka boleh disalahkan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini, tetapi yang yang patut disalahkan tidak lain adalah pihak pentadbiran kolej di Universiti Malaya kerana membuang pelajar seperti ini daripada kolej kediaman.

Saya bukan bercakap kosong. Saya punyai seorang sahabat disebuah maktab di timur tanah air. Suatu hari dia menghubungi saya untuk membantu salah seorang sahabatnya yang dirogol. Sahabat tersebut merupakan seorang muslimat yang bertudung labuh dan berlatar belakangkan pengajian agama sebelum ini dan belajar di Universiti bersebelahan maktabnya. Suatu hari petang ketika berjalan-jalan dia diculik dan dirogol oleh 4 orang lelaki disuatu tempat. Hal ini disembunyikan daripada sahabat-sahabatnya selama dua minggu kerana trauma. Sehinggalah dia memberitahu sahabat saya. Kemudiannya dia meminta pertolongan saya untuk menyelesaikan hal ini.

Mujur saya mempunyai sahabat “seperjuangan” dari negeri tersebut. Saya perolehi no telefonnya daripada sahabat saya yang berasal dari negeri yang sama. Alhamdulillah, khabarnya pada hari ini muslimat tersebut sudah pulih seperti biasa. Apa yang saya kesalkan, dia tidak membuat laporan polis kerana malu. Mujur dia tidak mengalami sindrom muntah-muntah. Jika tidak hal ini akan menjadi lebih berat lagi.

Mungkin hal ini dipandang ringan oleh sesetengah pihak, namun saya melihat isu ini adalah sangat besar dan perlukan pembelaan. Apa jaminan pihak universiti bahawa pelajar UM yang tinggal diluar kolej itu selamat? Sudah tentu tiada jaminannya? Sekiranya berlaku hal yang tidak diingini apakah yang akan mereka lakukan? Sudah tentu tiada jawapannya. Masing-masing akan sibuk ber “post mortem”. Bagi saya post mortem selepas terjadi itu sia-sia kerana masalah ini boleh dicegah dari sekarang. Kepada pihak Universiti ingatlah, mencegah itu lebih baik dari merawat. Buktikan bahawa UM is the one.

Sunday, June 5, 2011

Belia Felda perlu ikon Mahasiswa


Sempena majlis Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM) 2008, yang di adakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini, Felda telah melantik beberapa ikon Belia Felda Malaysia untuk dijadikan inspirasi kepada generasi beliau di seluruh tanah rancangan Felda di negara kita.

Antara mereka yang dipilih adalah Datuk Azhar Mansor; ratu skuasy dunia, Datuk Nicol Ann David; Angkasawan Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed; wanita pertama menakluk kutub, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir; Kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat; Pengasas Mercy Malaysia, Datuk Dr Jemilah Mahmood; pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah; jaguh bowling, Shalin Zulkifli; wanita pertama menawan gunung Everest, Marina Ahmad dan kumpulan nasyid, Raihan.

Anugerah yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib ini dilihat sebagai satu langkah yang baik ke arah melahirkan generasi baru Felda yang lebih cemerlang dan terbilang. Seperti yang diketahui umum, masalah sosial yang ketara dalam kalangan generasi kedua Felda cukup membimbangkan. Bahkah kawasan felda seringkali dikaitkan dengan “sarang” dadah dan belia bermasalah.

Di sebalik penganugerahan ini, kami diperingkat mahasiswa melihat sewajarnya pihak FELDA jangan melupakan golongan mahasiswa Felda. Sewajarnya golongan mahasiswa daripada anak Felda juga patut dijadikan ikon kepada golongan belia Felda. Tetapi di dalam pemilihan ini kami melihat, ikon yang dipilih bukannya daripada anak-anak Felda sendiri.

Mahasiswa Felda juga merupakan salah satu daripada entiti masyarakat Felda generasi kedua. Tidak dinafikan hari ini ramai dalam kalangan anak-anak peneroka sudah berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke menara gading. Hasil usaha anak-anak kampung ini dilihat sebagai satu motivasi yang besar sekiranya kejayaan mereka diiktiraf oleh pihak Felda.

Akhirnya, kami di peringkat mahasiswa Felda mengharapkan pihak Felda dapat menilai kembali cadangan ini. Sekiranya golongan mahasiswa diberi peluang untuk membantu memperkasakan belia Felda, saya yakin pembangunan belia Felda akan lebih rancak dan efektif.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
Koordinator
Persatuan Mahasiswa Felda Nasional

Friday, June 3, 2011

PAPD bersama Takaful Nasional di Seri Pengantin





PAPD bersama Takaful Nasional
Tarikh: 19-21 Jun 2009
Puteri Ayu Resort, Janda Baik, Pahang.