Saturday, February 12, 2011

Kenangan Bumi Kenyalang


Demam Chikungunya

Jam menunjukkan tepat 2 pagi. Saya bangun dan membersihkan diri untuk menanti untuk ke pejabat seawal jam 4 pagi. Hendak diletakkan kembali kepada dibantal, takut pula sekiranya terus terlajak sehingga subuh. Sebab itulah saya melelapkan mata sebaik sahaja usai menunaikan solat Isya.

Terasa sakit-sakit di sendi di seluruh badan. Jika diikutkan hati, sudah berputus asa untuk mengambil penerbangan ke Kuching pada pagi ini. Namun begitu, disebabkan tanggungjawab, saya gagahi juga untuk pergi walaupun dalam keadaan demam Chingkunya belum kebah.

Sebaik selesai program Anak-anak Bernas di Nur Lembah Pangsun, mujur ada senggang masa selama 2 hari. Hal demikian kerana, selama 2 hari tersebutlah saya terkujur keletihan menanti kebahnya demam Chingkunya ini. Perit rasanya. Lidah-lidah terasa pecah dan sendi-sendi terasa sengal-sengal.

“Ujian atau Bala?” saya terfikir sendirian. Teringat saya kepada sebuah mafhum sebuah hadis baginda Rasulullah S.A.W, dimana Rasulullah S.A.W pernah berpesan bahawa sekiranya zina berleluasa maka akan datanglah penyakit-penyakit baru kepada manusia.

Sebelum ini muncul selsema burung, diikuti oleh Chikungunya dan yang terbaru datangnya serangan selsema Babi ataupun dengan nama manjanya H1N1. Menurut Tuan Guru Dr Haron Din di dalam kuliah Perubatan Islam, kerajaan seharusnya memberi arahan supaya doa qunut nazilah dibacakan diseluruh negara bagi menolak bala yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Bukan mudah untuk menolak bala sebegini melainkan dengan pertolongan Allah S.W.T.

“Jangan lupa minum ayaq nyok dengan ayaq asam jawa” pesan ayah setiap kali saya memetik butang menelefon ke kampung. Kata ayah penawar bagi Chikungunya ini adalah air kelapa dan air asam jawa adalah sekadar untuk menurunkan suhu badan yang melampau. Menurut ayah, demam ini sukar untuk sembuh dan mungkin mengambil masa sehingga 8 bulan. Sebelum ini emak dan ayah juga diserang demam Chikungunya ini, dan sehingga hari ini masih belum sembuh sepenuhnya.

Lapar..lapar..lapar…perut berbunyi minta untuk diisi. Sejak daripada siang ianya tidak terisi kerana tiada selera makan. Lidah terasa pedih apabila dimasukkan makanan walaupun yang tidak pedas. Begitulah hidup di dunia ini, kita mungkin mempunyai duit untuk membeli apa sahaja jenis makanan, tetapi kita tidak berupaya untuk memberi selera untuk makan. Hanya sekadar membeli pembuka selera, tetapi tidak diberi selera oleh Allah kita tetap tidak akan dapat makan makanan tersebut.

Terbang Ke Kuching

Sebaik sahaja selesai menjamah nasi lemak RM 2 daripada Mapley, saya terus duduk menanti jam 4 pagi. Terasa lambat masa berlalu. Mengantuk harus saya lawan kerana takut terlajak. Kira-kira 4.00 pagi saya keluar dari rumah menuju ke pejabat. Setiba di sana belum kelihatan kelibat Ust Hashim dan Ust Sayuti yang akan turut sama ke Kuching, Sarawak.

Kira-kira jam 4.30 pagi muncul Ust Sayuti menaiki LIMO dan dan disusuli Ust Hashim yang dihantar oleh anaknya. Sepanjang menaiki LIMO menuju ke KLIA, saya sempat melelapkan mata.

Risau juga di dalam hati sekiranya saya tidak lepas dikawasan pemeriksaan di KLIA dan Lapangan Terbang, Kuching. Tambahan pula dalam suasana kelam kabut demam selselma babi ini (nama manjanya H1N1) ini sudah tentu kawalan ketat yang akan dikenakan.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar sehingga melepasi pemeriksaan dan menaiki pesawat Airbus Air Asia. Pesawat yang kami naiki berlepas kira-kira jam 7.30 pagi. Inilah kali pertama saya menaiki kapal terbang, dan inilah juga kali pertama saya menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang ini.

Sepanjang penerbangan kira-kira 45 minit itu, mata meliar melihat pemandangan diluar dan semasa hendak sampai di Sarawak kelihatan muka bumi Sarawak yang penuh dengan anak-anak sungai. Betapa agungnya ciptaan Allah, sungguh cantik kelihatan bumi Kuching ini daripada udara.

Sebaik sampai di Lapangan Terbang Kuching pihak pengurusan Bernas sudah bersedia menantikan kami bersama Toyota Hilux berwarna hijau. Sebaik menaiki kereta, kami dibawa ke sebuah kedai mamak di sana. Ust Hashim meminta minuman “3 layer”. Pelik juga saya mendengarnya. Rasa teringin juga untuk mencuba, tetapi memandangkan demam Chingkunya belum kebah, saya membatalkan saja hasrat tersebut. Cukup sekadar barli suam dan roti sardin. Sebaik selesai kami menuju ke Uitm, Kota Samarahan. Program untuk anak-anak Bernas ini akan berjalan selama 4 hari 3 malam dikampus Uitm ini.

Program di Kuching

Bermulanya program kami disini kira-kira jam 2.30 petang. Sepanjang 3 hari 4 malam berprogram disana, kelihatan ada perubahan yang ketara dalam kalangan peserta anak-anak Bernas Sarawak ini. Walaupun Fitrah Perkasa jarang berprogram bersama remaja kerana menumpukan kepada syarikat-syarikat korporat, namun begitu perjalanan program tetap berjalan lancar dan modul-modulnya berkaitan kesedaran beragama dan beribadah terutama solat memberikan kesan terhadap adik-adik peserta yang hadir.

Apa yang dirasakan cukup menyentuh hati adalah apabila membaca surat wasiat para peserta. Ada yang meminta supaya ibu dan ayah mereka menjaga solat fardu 5 waktu. Ada juga yang meminta supaya ayah mereka belajar cara-cara solat jenazah supaya nanti boleh menyembahyangkan jenazah mereka.

Walaupun saya kurang bergaul dengan para peserta disebabkan kelesuan yang berpunca daripada demam Chikungunya ini, namun begitu kemesraan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Ust Hashim dan Ust Sayuti kepada para peserta meninggal kesan yang cukup mendalam.

Sehingga dihari yang terakhir, Amir selaku penghulu menyatakan di dalam ucapannya dihadapan Ketua Pengarah bahagian latihan bahawa sepanjang mengikuti program yang dianjurkan oleh Bernas, inilah kali pertama penekanan diberikan kepada unsur rohani. Harapannya supaya dimasa akan datang, program kerohanian sebegini sewajarnya diteruskan kepada anak-anak Bernas.

Bahkan Encik Mahsin, selaku pegawai Bernas cawangan Sarawak meminta supaya program ini turut diberikan kepada kakitangan Bernas seperti yang dilakukan oleh Bank Rakyat yang sudah hampir 10 tahun bersama Fitrah Perkasa.

Sebaik selesai program di Uitm Kota Samarahan, kami dihantar oleh Abang Wan ke Continential Hotel. Di sana kami akan berprogram bersama kakitangan Bank Rakyat untuk menjalankan program nilai R.A.K.Y.A.T di dalam solat. Alhamdulillah selama 2 hari 3 malam, program berjalan dengan lancar.

Namun begitu, sepanjang dibumi kenyalang ini saya tidak sempat merasa Mee Colok menikmati air “3 layer” yang menjadi makanan dan minuman yang popular di bandar Kuching ini.

Beg Tertinggal

“Alamak, mana beg biru lap top”, hati saya berbisik sendirian. Saya berpaling kepada Ust Hashim dikaki tangga pesawat Air Asia di KLIA. “Ust, beg lap top hilang. Cek dari Bank Rakyat ada dalam tu”, saya memberitahu Ust Hashim. Kelihatan wajahnya agak terkejut. Perasaan bersalah menguasai diri saya. Saya memanjat kembali tangga pesawat dan meneliti tempat duduk kami. Hampa…tiada beg seperti yang diharapkan.

“Itulah Faisal, lain kali kena teliti betul-betul barang-barang yang dibawa. Jangan harapkan orang lain”, ngomel Ust Sayuti kepada saya. Terasa bersalah di dalam hati mengenangkan kali pertama menaiki kapal terbang, tertinggal perkara yang cukup penting bagi syarikat.
Bukan sedikit jumlah cek yang tertinggal. Serabut saya memikirkan.

“Yakinlah Faisal, Allah tetap bersama kamu”, hati kecil saya berbisik sendirian. Hati sentiasa berzikir mengharapkan pertolongan Allah. Saya masih berkeyakinan bahawa hanya pertolongan Allah sebagai penyelesaian kepada masalah ini.

Mulalah terfikir perkara yang pelik-pelik. “Kalaulah beg tu terus ada kat pejabat macam kisah seorang wali kan bagus’, hati saya berbisik sambil mengingati siri kuliah Tuan Guru Dr Haron Din mengenai kisah seorang yang membayar hutang hanya dengan menghanyutkan dinar emas di dalam kayu, kemudiannya dengan izin Allah dinar tersebut sampai kepada orang yang memberi hutang. “Tapi kamu bukan wali. Banyak maksiat” hati kecil saya bercakap lagi.

Sementara menunggu Ust Hashim solat di surau KLIA, saya termangu-mangu sendirian menunggu beg sambil berzikir. Usaha untuk menghubungi pihak bank rakyat untuk membatalkan cek juga tidak berjaya.

“Jangan risau Faisal, kalau Allah nak bagi balik mudah saja”, Ust Hashim menenangkan saya sebaik sahaja beliau usai solat. Hati saya tersebut bergelojak didalam sepanjang perjalanan daripada KLIA ke pejabat sehinggalah tiba dirumah.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Alhamdulillah Faisal, beg dapat balik. Kawan ana dah contact pihak Airport. Dia yang akan simpankan beg tersebut”, Ust Hashim menelefon saya semasa sedang menukar minyak hitam sebelum pejabat kira-kira jam 10 pagi.

Terasa syukur ke hadrat Allah. Betapa pemurahnya Allah S.W.T yang sentiasa mengasihani hambanya walaupun sering terleka kepada-Nya.


Tarikh 9-14 Jun 2009

Monday, February 7, 2011

Ezam: Memperkasa atau memusnahkan UMNO?


Ezam menyerahkan borang kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi

Sejak wujud ura-ura bahawa bekas pengerusi GERAK, Ezam Mohd Noor akan memasuki UMNO, gerak hati saya pada ketika itu berkeyakinan bahawa beliau akan memasuki UMNO. Ramai dikalangan sahabat-sahabat berpendapat bahawa Ezam akan menyertai Pakatan Rakyat, tetapi ternyata telahan mereka salah apabila semalam beliau mengumumkan bahawa beliau telah menyertai UMNO.

Di kala Tun Dr Mahathir menyerang kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi secara bertubi-tubi, Ezam kembali kepangkuan jalan untuk memperkasakan UMNO. Di kala itu hati kecil saya masih, adakah kemasukkan beliau ke dalam UMNO adalah atas dasar mahu merubah ataupun mahu memusnah.

Saya bukannya ahli nujum yang dapat membuat tilikan dengan tepat. Mungkin beliau berniat baik, mungkin juga sebaliknya.

Tetapi apa yang pastinya beliau telah melanggar sumpahnya dengan nama Allah di dalam perhimpunan rakyat di Kampung Gajah suatu ketika dulu bahawa beliau tidak akan masuk UMNO. Saya tidak kisah hal demikian, namun begitu bagaimana kepercayaan rakyat kepada beliau terutamanya daripada PR sekiranya ini merupakan suatu strategi. Ahli politik yang gemar melompat parti sebegini dilabel sebagai "katak" yang tidak berpendirian. Bahkan rakyat sendiri sukar untuk meletakkan kepercayaan penuh kepada mereka kerana tidak mempunyai pendirian yang kukuh.

Mungkin beliau mengidam untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO. Tidak pun menjadi ahli MT UMNO dalam pemilihan akan datang. Kepada kepimpinan UMNO jaga-jagalah, sekiranya Ezam berniat memusnahkan UMNO maka akan hancur leburlah perjuangan UMNO. Sekiranya beliau berniat untuk memperkasakan, mungkin juga UMNO akan berpecah belah kerana ramai dalam kalangan ahli UMNO yang tidak percaya kepada Ezam.

Pertemuan Bersama Sahabat-sahabat UPSI


Bergambar bersama-sama dihadapan bangunan lama Suluh Budiman UPSI

Pada hari ini, saya bersama rakan-rakan berkesempatan untuk turun melawat rakan-rakan yang memenangi 8 kerusi di dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Di dalam lawatan ini, diantara yang turut serta adalah Saudara Norazali Bin Zainuddin, selaku Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Saudara Hilman selaku pengerusi Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Saudara Shahir Bin Abd Aziz dan Saudara Riduan Bin Mohamad.

Di dalam pertemuan yang berlangsung selama lebih kurang dua jam ini, kami sempat bertukar pandangan berkenaan pengalaman menggerakkan agenda Pro Mahasiswa ketika mula memenangi kerusi MPMUM sehinggalah ke hari ini. Sedikit sebanyak terdapat persamaan di antara kedua-dua situasi ini yang membolehkan sahabat-sahabat daripada UPSI mengambil pengajaran dan pengalaman daripada kami diperingkat UM untuk di implementasikan di UPSI.


Selain daripada bertukar-tukar pandangan, kami juga turut sama-sama “brainstorming” untuk memastikan situasi angin perubahan politik di UPSI terus berlangsung sehingga PRK akan datang.

Di peringkat kebajikan UPSI, Saudara Akmal yang memenangi undian tertinggi turut menyatakan rasa terharu diatas kehadiran kami pada hari ini. Beliau yang dinafikan kerusi Majlis Tertinggi walaupun mendapat undian tertinggi tetap menyatakan kesediaan untuk berentap di dalam mesyuarat bagi memperjuangkan hak mahasiswa.


Selain itu, salah seorang lagi calon yang turut memenangi kerusi MPP ini iaitu saudara Ariff turut menyatakan rasa terkilan kerana kerusi YDP disandang oleh seorang calon fakulti yang menang tanpa bertanding. Calon YDP ini juga pernah tewas di dalam PRK yang lepas sebelum mencuba sekali lagi dan menang tanpa bertanding.

Saudara Norazali selaku pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional menyampaikan hasrat diperingkat pimpinan Pro-Mahasiswa Nasional untuk melihat MPP Kebajikan UPSI terus bergerak maju di dalam menjayakan agenda kebajikan mereka kepada mahasiswa.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com



Sunday, February 6, 2011

Akhirnya saya melabuhkan sauh di Fitrah Perkasa


Semalam semasa bertaaruf bersama generasi baru PMIUM, telefon bimbit saya bergetar. SMS tersebut berbunyi, “Tahniah! Anda berjaya melepasi temuduga. Anda diminta lapor diri pada 20 Mei 2009 di Fitrah Perkasa”. Rasa syukur di dalam hati yang sebelum ini sudah berbunga gembira kerana menerima adik-adik baru daripada rahim tarbiah PMIUM.

Walaupun terpaksa bersaing dengan pemohon yang lebih tua, namun begitu Allah tetap mengurniakan saya rezeki untuk mencari pengalaman di Fitrah Perkasa. Ketika ditemuduga, kelihatan wajah Ustaz Phahrol dan Tuan Haji Ahmad Salim agak terkejut apabila saya menyatakan bahawa saya baru menghabiskan menghadapi peperiksaan semester akhir pada 29 April lepas dan belum konvo.

Tidak dinafikan, selain daripada rezeki daripada Allah SWT, pengalaman menguruskan program-program motivasi secara percuma sejak daripada tingkatan 5 lagi menjadi kredit kepada saya semasa ditemuduga. Bukan niat untuk menceritakan kerja kebajikan selama ini, namun begitu ianya terpacul sebaik sahaja saya disoal berkaitan dengan pengalaman di dalam bidang motivasi ini. Saya masih ingat, ketika ditemuduga oleh panel Biasiswa OCBC berkenaan aktiviti kemasyarakatan, saya menceritakan aktiviti motivasi percuma yang dijalankan dari sekolah ke sekolah. Alhamdulillah, di dalam temuduga tersebut saya berjaya menjadi mahasiswa jurusan pengajian Islam pertama dianugerahkan biasiswa OCBC. Semuanya dibuat semata-mata mahu melihat dunia ini dihiasi dengan generasi baru yang berpegang teguh dengan ajaran Islam.


Saya berpegang teguh dengan pesanan nabi, “Jagalah hak Allah, nescaya Allah akan menjaga hak kamu”. Pernah pada tahun 2005, pihak pengurusan Felda menghilangkan nama saya sebagai penerima anugerah tunggal anak felda yang mendapat STPM terbaik iaitu 5 Prinsipal A dan digantikan dengan penerima yang mendapat 3 Prinsipal A dan teman satu sekolah yang mendapat 4 Prinsipal A dan 1 B. Tetapi hati saya tetap reda berhadapan dengan cabaran ini. Saya melihat ayah seakan-akan mahu menangis kerana kecewa. Sudahlah sebelum ini hak untuk mendapatkan lembu pawah dinafikan, tetapi dengan berkat kesabarannya lembu yang dipelihara sendiri sudah mencecah angka puluhan ekor. Ujar saya kepada ayah, “Biarlah depa nak buat apa pun, Rezeki ni hak Allah. Insya Allah ada rezeki yang akan Allah bagi yang kita tak Nampak”.

Berkat kesabaran, akhiranya saya ditawarkan biasiswa JPA dan OCBC. Saya membuat perhitungan untuk memilih OCBC sebagai penaja saya kerana jumlah yang ditawarkan lebih lumayan berbanding biasiswa JPA pada ketika itu dan tidak terikat dengan pihak penaja. Ketika inilah emak dan ayah betul-betul terharu kerana buat pertama kalinya diberikan peluang menjejakkan kaki ke Hotel di tengah bandaraya atas tajaan pihak OCBC kerana menghadiri majlis penganugerahan biasiswa yang saya terima. Inilah yang dikatakan rezeki daripada Allah SWT. Tiada siapa yang boleh melawan kehendak-Nya.

Ketika saya memaklumkan kepada Syakir bahawa saya telah mendapat kerja, beliau membalas “Rezeki pejuang memang dipermudahkan oleh Allah”. Saya tersenyum sendirian membaca sms yang dikirimkan tersebut.

Jika diikutkan kehendak hati sememangnya saya tidak mahu bekerja kerana berkeinginan hendak menyambung Master ataupun Diploma Amalan Guaman dan Kehakiman (DAIJ), tetapi faktor keewangan menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menambah pendapat disamping membantu ibu dan ayah dikampung. Tambahan pula pada hujung bulan ini berkemungkinan tinggi pokok getah yang sudah cukup tempohnya akan ditebang. Ini akan menambahkan bebanan mereka yang hanya bergantung kepada wang sara hidup yang dibekalkan oleh pihak Felda.

Dengan gaji yang tidak seberapa ini saya berdoa kepada Allah SWT untuk terus memberi kekuatan kepada saya untuk mengirimkan wang saku kepada emak dan ayah dikampung. Ketika saya menelefon emak menyatakan hasrat tersebut, beliau menolak hasrat tersebut dan menyuruh saya menyimpan wang tersebut untuk masa depan. Namun begitu, saya memberitahu ibu bahawa biarlah gaji sedikit tetapi keberkatan dan doa emak yang saya harapkan. Inilah niat dan harapan saya.

Saya yakin, bukan wang yang dapat membahagiakan emak dan ayah, tetapi wang tersebut dapat menceriakan mereka kerana ianya datang daripada anak yang dikandungnya selama ini. Saya hanya mampu berdoa setiap kali selepas solat agar Allah SWT sentiasa merahmati emak dan ayah dan membahagiakan kehidupan mereka.

Saya teringat kisah As-Syahid Abdullah Azzam yang memberikan lebih daripada separuh gajinya untuk kedua orang tuanya. Mungkin saya tidak sehebat itu, namun dihati ini tersemat niat untuk menyumbang sebahagian gaji kepada emak dan ayah. Biarlah sedikit sepadan dengan gaji yang kecil, tetapi sekurang-kurangnya mendapat berkat daripada Allah. Saya yakin, kegembiraan emak dan ayah lebih membuatkan saya bahagia.

Di samping itu, saya juga mengharapkan dengan bekerja di Fitrah Perkasa ini dapat memberi ruang kepada saya menghabiskan pengajian bersama Tuan Guru Dr Haron Din, di Pusat Perubatan Darus Syifa yang bakal berlangsung sehingga bulan 12 nanti. Pesan Tuan Guru selalu saya pegang, iaitu setiap pekerjaan yang dilakukan mestilah dengan ikhlas. Hanya dengan ikhlas inilah martabat kita sebagai seorang insan akan makin bertambah. Bahkah akan dihormati oleh seluruh makhluk di langit dan di bumi.

Mudah-mudahan peluang pekerjaan yang diberikan ini tidak menghalang saya daripada bergerak kerja di dalam jemaah. “Ya Allah, Aku bermohon supaya engkau merahmati pekerjaan baruku ini. Mudah-mudahan dengan pekerjaan ini ianya akan merapatkan lagi diriku dengan Islam dan menjadi tiket untuk mencium bau syurga-Mu”.

Terima kasih kepada pihak Fitrah Perkasa yang memberi ruang kepada saya untuk mencari pengalaman di sini. Insya Allah, esok saya akan bersama tenaga kerja Fitrah Perkasa akan bergerak ke Paka, Terangganu menguruskan program di sana.

Thursday, February 3, 2011

Perpaduan Ummah


Apakah maksud perpaduan yang sebenar??

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Tuesday, February 1, 2011

Kisah Untuk Renungan


Suatu kisah...
Kisah ini berlaku sewaktu aku di Madinah. Suatu hari aku berjalan melalui pasar. Sebaik saja muazzin melaungkan azan, aku terlihat seorang wanita. Wanita itu ganjil cantiknya. Dia berpaling kepadaku seolah-olah tahu bahawa aku merenungnya. Malah dia memberikanku anggukan kecil penuh bermakna sebelum wanita itu berpusing di satu sudut menuju ke lorong penjual sutera.

Bagaikan terkena panahan halilintar, aku serta-merta tertarik, hatiku terpukau dengan wanita itu. Dalam kepayahan aku berdebat dengan hatiku, memberikan satu demi satu alasan untuk meneruskan langkahku ke masjid memandangkan masanya telah tiba untuk solat, namun perdebatan ternyata gagal. Aku memutuskan untuk mengikut wanita tersebut.
Aku bergegas mengejar wanita itu, nafasku pantas dan mengah manakala wanita itu tanpa disangka mempercepatkan langkahnya. Dia telah berada jauh beberapa kedai di hadapan. Dia memaling wajahnya seketika padaku, terasa kudapat melihat cahaya senyuman nakal wanita itu dibalik purdah hitamnya. "Adakah ini khayalanku sahaja?" bisik hatiku. Akalku seolah-olah tidak berfungsi pada waktu itu.

"Siapakah wanita itu?"
Aku memantaskan langkahku dan memasuki lorong dimana wanita itu dilihatku masuk. Dan seterusnya wanita itu mengimbau aku, sentiasa dihadapan, masih tidak dapat dikejar, semakin jauh dan jauh dari mana kami mula-mula bersua. Perasaanku tambah membuak.
"Adakah wanita itu orang gila?"

Semakin jauh nampaknya wanita itu berjalan hingga ke penghujung bandar. Mentari turun dan tenggelam, dan wanita tersebut masih berada jauh di hadapanku. Sekarang, kami berada di tempat yang tidak disangka, sebuah perkuburan lama.

Kalaulah aku siuman seperti biasa, pasti aku akan merasa gementar, tapi aku terfikir, tempat yang lebih ganjil dari ini biasa dijadikan tempat pasangan kekasih memadu asmara. Dalam 60 langkah di antara kami aku melihat wanita itu memandang ke arahku, menunjuk arah, kemudian turun ke tangga dan melalui pintu bangunan sebuah kubur tua.

Kalaulah aku tidak diamuk senyuman wanita itu tadi, pasti aku berhenti sebentar dan memegun masa, tapi sekarang tiada guna berpaling arah, aku menuruni tangga tersebut dan mengekori wanita itu ke dalam bangunan kubur itu. Di dalam bilik bangunan kubur itu, kudapati wanita itu duduk di atas ranjang yang mewah, berpakaian serba hitam masih berpurdah, bersandar pada bantal yang diletak pada dinding, diterangi cahaya lilin pada dinding bilik itu. Di sebelah ranjang itu, aku terpandang sebuah lubang perigi. "Kuncikan pintu itu," kata wanita itu, dengan suara yang halus gemersik seumpama berbisik, "dan bawakan kuncinya. " Aku akur.

"Buangkan kunci tersebut ke dalam perigi itu," kata wanita itu. Aku tergamam sebentar, kalaulah ada saksi di situ, pasti saksi itu dapat melihat gamamku. "Buang-lah," ujar wanita itu sambil ketawa, "tadi kau tidak berfikir panjang untuk meninggalkan solatmu untuk mengekoriku kemari?" Tempelak wanita itu lagi. Aku diam.

"Waktu maghrib sudah hampir selesai," kata wanita itu bernada sedikit menyindir . "Apa kau risaukan? Pergilah buangkan kunci itu, kau mahu aku memuaskan nafsumu, bukan?" Aku terus membuang kunci pintu tersebut ke dalam perigi, dan memerhatikan kunci itu jatuh. Perutku terasa bersimpul tatkala tiada bunyi kedengaran ketika kunci itu jatuh ke dalam lantai perigi. Aku berasa kagum, kemudian takut.

"Tiba masanya untuk melihat aku," kata wanita tersebut, dan dia mengangkat purdahnya untuk mendedahkan wajah sebenarnya. Bukan wajah segar seorang gadis remaja, tapi kehodohan wajah yang mengerikan, jijik, hitam dan keji, tanpa satu zarah cahaya kelihatan pada alur kedut ketuaannya. " Pandang aku sungguh-sungguh, " kata wanita itu lagi.

"Namaku Dunia. Aku kekasihmu. Kau habiskan masamu mengejarku , sekarang kau telah memiliki diriku . Didalam kuburmu. Mari. Mari." Kemudian wanita itu ketawa dan ketawa, sehingga dia hancur menjadi debu, dan lilin itu padam satu demi satu, dan kegelapan menyelubungi suasana.
ihsan dari mail sahabat