Monday, July 11, 2011

Apa sudah jadi? Harga Sticker pun akan dinaikkan


Inilah kuda tunggangan saya. Dulu digunakan oleh emak untuk mendaki bukit menoreh getah, kemudiannya kakak menggunakannya di Politeknik. Kini giliran saya membawanya ke Universiti. Motor ini sudah beberapa kali mengalami kemalangan, tetapi masih boleh bergerak ke sana-sini untuk membawa saya melaksanakan gerak kerja islam.

Selepas mengumumkan UM akan melaksanakan Protokol Kyoto dengan mengurangkan pembakaran bahan petrol melalui menguatkuasakan larangan membawa kenderaan kepada pelajar tahun satu, kini bunyi pula desas desus yang diperolehi daripada pejabat keselamatan bahawa sticker pelekat kenderaan akan dinaikkan daripada RM 1 kepada RM 10.

Apa yang menariknya antara alasan yang diberikan, melalui kenaikan ini dijangka dapat mengatasi masalah parking yang melanda Universiti pada hari ini. Hal demikian kerana, berkemungkinan para pelajar tidak akan membawa kenderaan kerana cas pendaftaran yang dikenakan agak mahal.

Namun begitu saya agak musykil, apa kaitannya kenaikkan tersebut dengan masalah parking. Apa yang saya lihat adalah, kenaikkan ini akan membebankan para pelajar dari sudut keewangan.Kenderaan adalah suatu keperluan kepada para pelajar khususnya yang tinggal di luar kolej kediaman. Kebanyakkan daripada mereka membawa kenderaan dan akan mengalami kenaikkan bayaran pendaftaran ini. Tindakan sebegini bukanlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah parking, tetapi ianya seperti meletakkan bebanan kepada para pelajar.

Saya melihat pemerkasaan shuttle bus adalah satu penyelesaian yang hanya akan dirasai oleh pelajar yang tinggal di kolej-kolej kediaman. Bagaimana dengan nasib para pelajar yang dibuang kolej kediaman? Mereka terpaksa mencari rumah sewa yang jaraknya agak jauh dengan kampus. Setiap hari mereka terpaksa berulang alik untuk ke kuliah. Sudah tentu bebanan kenaikkan ini sedikit sebanyak menjejaskan duit poket mereka.

Sudahlah dibebankan dengan kenaikkan harga minyak, harga makanan dan lain-lain lagi dan yang terbaru harga sticker pun hendak dinaikkan. Inilah nasib mahasiswa, sudahlah jatuh, ditimpa pula dengan tangga.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Demonstrasi bantah Fatwa



Ini merupakan video demonstrasi bantah fatwa berkenaan fatwa berkaitan dengan pengkid dan tomboy. Insya Allah selepas exam saya akan cuba menjelaskan apa itu fatwa dan sejauh mana ianya mengikat umat Islam di negara kita.

Seharusnya difahami bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya ditujukan kepada umat Islam. Fatwa ini juga tidak mengikat umat Islam sekiranya tidak digazetkan diperingkat negeri.

Sewajarnya yang haram itu tetap haram, dan yang halal itu perlu dikatakan halal. Seharusnya perkara berkaitan agama harus dihormati dan tidak dicabar. Jangan kerana mahukan kebebasan wanita tanpa batasan, mereka sanggup mencabar agama Islam.

Kepada para demonstrator, saya tahu perjuangan anda mahukan kebebasan kepada kaum wanita. Anda juga seharusnya tahu berkenaan retifikasi di dalam The Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW) yang tidak dilaksanakan kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Hormatilah agama Islam, kerana orang Islam menghormati agama kalian.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Sunday, July 10, 2011

Semoga Allahyarhamah Aina Mardiah dirahmati Allah


Hadirin mendoakan kesejahteraan jenazah Aina Mardiah

Kehilangan Aina Mardiah iaitu anak sulung kepada salah seorang tahanan ISA, Kekanda Shahrial Sirin bisa, menyentuh hati manusia yang masih hidup kalbunya. Namun begitu tidak dapat dinafikan, masih ada hati-hati yang sudah mati dan tidak bisa untuk merasai kepedihan yang ditanggung ini.

Setelah menjangkau 7 tahun dikurung didalam jerangkap besi yang penuh dengan kezaliman dan kesengsaraan, terpisah pula dengan anak-anak dan isteri begitu menjerut jiwa insan ini. Kini Kekanda Shahrial kehilangan pula anak yang di sayangi. Tidak dapat saya bayangkan betapa sedihnya hati Kekanda Shahrial apabila kepulangan beliau hanya sempat menatap wajah pucat anak kesayangannya.

Anak yang ditinggalkan dalam keadaan tersenyum ceria, tetapi disaat kepulangannya hanya sekujur tubuh yang tidak bisa membuat apa-apa menjemputnya. Selama 7 tahun anak-anak ini ketandusan kasih sayang seorang ayah. Salam takziah daripada PMIUM kepada keluarga Allahyarhamah Aina Mardiah. Semoga bahagia diakhirat sana.


“ Ya Allah, kau rahmatilah Allahyarhamah Aina Mardiah di akhirat sana. Kau tabahkanlah hati kedua ibu-bapanya. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, sekiranya hari ini saudara kami di dalam ISA ini dizalimi, kau berikanlah balasan yang selayaknya kepada orang yang menzalimi mereka. Ya Allah, Tuhan yang menguasai langit dan bumi, kau tabahkanlah hati saudara kami, Kekanda Shahrial dan keluarganya. Kau berikanlah kekuatan kepada mereka untuk terus berjuang menentang kezaliman. Amin”.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Takrif Pelajar di dalam rang undang-undang pindaan AUKU tidak releven

universiti student auku uuca parliament protest 180808 08
Tun Dr. Mahathir mengeluarkan kenyataan yang bernada sinis, mengatakan bahawa sekiranya mahasiswa sudah dewasa maka AUKU perlu dimansuhkan. Menurut beliau, di dalam menggubal AUKU ini, beliaulah orang yang bertanggungjawab menyediakan AUKU seperti yang ada pada hari ini. Beralasankan supaya mahasiswa menumpukan kepada pelajaran, terselindung disebaliknya “mala fide” yang member keuntungan kepada pihak pemerintah.

Mungkin banyak kelemahan AUKU, namun begitu di dalam artikel permulaan ini, saya tertarik untuk membahaskan berkenaan takrifan “pelajar” yang dinyatakan di dalam rang Undang-undang pindaan AUKU:

“Pelajar” ertinya seseorang pelajar berdaftar, selain pelajar disuatu institusi yang bersekutu dengan Universiti atau Kolej Universiti, yang mengikuti kursus pengajian, pengajaran, latihan atau penyelidikan daripada apa-apa perihalan pada peringkat persediaan, praijazah, lepas ijazah atau lepas kedoktoran secara sepenuh masa atau sambilan dalam, oleh atau dari Universiti atau Kolej Universiti itu, termasuklah pembelajaran jarak jauh, luar kampus, pertukaran dan pelajar tidak berijazah:”

Menurut takrifan yang diberikan ini, pelajar yang terikat dengan AUKU ini merupakan para pelajar samaada yang menyambung pelajaran diperingkat persediaan, pra ijazah, Ijazah, Sarjana ataupun Kedoktoran.

Apabila diteliti, AUKU ini bukan sahaja mengikat mahasiswa tetapi ianya juga mengikat “pelajar” yang sudah berusia. Mungkin umur mereka 30 an, 40 an ataupun 60 an. Hal demikian kerana, rata-rata pelajar Sarjana dan Kedoktoran terdiri daripada individu yang sudah berusia. Bahkan terdapat dalam kalangan “pelajar” yang dijerut dengan AUKU ini terdiri daripada pensyarah-pensyarah Universiti yang bergelar Prof. Madya memandangkan ada dalam kalangan mereka yang menyambung pengajian diperingkat Phd.

Di antara kelemahan yang dapat dilihat di sini adalah, Akta “ultra virus” ini juga menyekat kebebasan akademik dalam kalangan masyarakat Malaysia sendiri. Sebagai contoh, sekiranya berpandukan akta ini, rakyat Malaysia yang terlibat aktif di dalam politik nescaya tidak dapat menyambung pengajian mereka sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Tun Berdiri megah bercakap berkenaan Human Rights. Bagaimana dengan hak kebebasan asasi terhadap mahasiswa dan ahli akademik di Universiti? Adakah mereka hanya layak dilayan seperti burung di dalam sangkar.

Saya tertarik dengan nasihat Tun Dr Mahathir (TDM) dalam tulisan beliau baru-baru ini yang menyatakan bahawa, mahasiswa harus bersabar kerana masa untuk belajar tidak lama sekitar 3 atau 4 tahun. Namun begitu, ternyata TDM lupa akan takrif yang beliau berikan kepada “pelajar” di dalam AUKU. Betul kata Tun, melayu mudah lupa dan Tun sendiri barangkali sudah lupa kerana sudah lama tidak bermain dengan AUKU. Tetapi Tun harus ingat bahawa, tempoh 3 atau 4 tahun yang dikatakan oleh Tun itu sebenarnya lebih daripada itu.

Sekiranya takrif ini diguna pakai, nescaya sampai tua sekalipun rakyat Malaysia yang mahu menyambung pelajaran akan menjadi seorang yang penakut. Hal demikian kerana, mereka masih terikat dengan AUKU sekiranya selepas bergelar graduan mereka menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran. Sampai bila rakyat kita hendak di didik dengan budaya penakut? Saya yakin, Tun juga ada jawapannya. Jawapan yang dibuat semata-mata mahu mempertahankan tindakan beliau yang “berjasa” menggubal akta yang mematikan idealisme ini ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pelajaran.

Sekiranya AUKU yang digubal ini mahu memperkasakan akademik rakyat negara kita, mengapakah dalam kalangan ahli akademik tidak diberi peluang untuk bergerak dengan lebih bebas. Timbul persoalan, mengapakah apabila wujud dalam kalangan ahli akademik mahupun mahasiswa yang terlibat dengan Parti Politik yang cenderung kepada kerajaan tidak dikenakan sebarang tindakan atau hukuman. Namun begitu, apabila dilihat mahasiswa yang beridealisma membantah sesuatu tindakan kerajaan yang dianggap tidak releven, di ambil tindakan di bawah akta yang zalim ini.

Di mana kebebasan bersuara sebagai rakyat di dalam negara yang mengamalkan prinsip demokrasi ini?. Mengapakah wujud double standard di dalam situasi sebegini? Mengapakah AUKU yang digubal ini diluluskan dan dilaksanakan walaupun wujud percanggahan yang begitu ketara dengan Perlembagaan Persekutuan?

Persoalan demi persoalan terus dilontarkan. Namun begitu, walaupun wujud “ultra virus” yang cukup jelas di dalam AUKU ini, disebabkan ianya melibatkan keuntungan sesetengah pihak, maka AUKU terus dibiarkan memenjarakan mahasiswa di dalam negara kita.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com



Saturday, July 9, 2011

MASAK ASAM PEDAS MELAKA

Bahan-bahan:

Bawang merah dan bawang putih (untuk ditumis)
Daun kari (untuk ditumis)
Sedikit jintan manis, lada hitam dan rempah biji.
Sedikit halia
Cili kering yang dimesin
Sedikit belacan
Sedikit kunyit (lebih sedap kalau guna kunyit hidup)
Asam jawa (ambil airnya shj)
Sedikit kerisik
Garam secukup rasa
Ikan (seeloknya ikan isi sprt tenggiri, parang, pari, terubuk dsb).
Cara memasak:

Goreng jintan manis, lada hitam dan rempah biji tanpa minyak di dalam kuali.
Setelah naik bau, angkat dan tumbuk menggunakan lesung batu sehingga lumat.
Seterusnya (tanpa mengeluarkan bahan2 tadi dari dalam lesung), tumbuk sedikit belacan, halia (untuk hilangkan hanyir ikan) dan kunyit hidup (klu guna serbuk kunyit, masukkan sebanyak satu sudu kecil setelah memasukkan cili kering yang dimesin).
Masukkan pula cili kering yang telah dimesin sehingga penuh lesung tersebut (jika lesung jenis terlalu besar, agak2 lah, tapi cili kering kena banyak). Kemudian, gaul semua bahan itu sehingga sebati.
Seterusnya, panaskan periuk dan tumis daun kari serta bawang merah dan bawang putih yang telah dikisar atau ditumbuk.
Setelah naik bau dan kekuningan, masukkan bahan-bahan yang telah digaul di dalam lesung tadi ke dalam periuk. Biarkan sehingga pecah minyak.
Kemudian, masukkan ikan dan air asam jawa (kalau suka kuah banyak, masukkan lebih air asam jawa, tapi jangan sampai kuah terlalu cair. Kerana itu, cili kering tadi dimasukkan banyak supaya kuah menjadi banyak dan tidak terlalu cair).
Seterusnya, masukkan sedikit kerisik dan garam secukup rasa.
Setelah rasanya okey, bolehlah diangkat dan siap untuk dihidangkan.
*Nota: Boleh juga dimasukkan kacang bendi dan terung sebagai bahan tambahan.

SELAMAT MENCUBA!

PERTANDINGAN MENCIPTA LOGO BARU GAMIS

Assalamualaikum & salam mesra.

SUKACITA dimaklumkan bahawa GAMIS sedang dalam proses me”rebranding” semula logo yang sedia ada. Oleh itu pihak lujnah penerangan GAMIS ingin membuka pertandingan mencipta logo GAMIS untuk dijadikan logo GAMIS yang akan digunakan dengan wajah yang lebih bertenaga dan profesional.

Berikut adalah syarat penyertaan:-

1. Peserta adalah ahli GAMIS khususnya didalam negara. Sila sertakan address blog (jika ada) dan email bagi setiap LOGO oleh peserta.
2. Logo bersifat Gerakan Mahasiswa Islam yang nasional dan profesional
4. Peserta bebas untuk menggunakan apa jua aplikasi (cth: paint, adobe)5. Hasil karya boleh dihantar kepada mygamis@gmail.com
6. Keputusan juri penilai @ pimpinan GAMIS adalah muktamad.
7. Tarikh tutup pada 1 Julai 2008.

Pemenang untuk tempat PERTAMA

Sehelai JAKET KOPRAT dan akan diberi ruang untuk memaparkan banner ekslusif anda (sama ada orientasi peribadi atau keuntungan) dalam mygamis SELAMA 30 HARI.

Pemenang tempat KEDUA

Di beri ruang untuk memaparkan banner eksklusif anda (sama ada orientasi peribadi atau keuntungan) dalam mygamis SELAMA 30 HARI.

Selamat bertanding....

Mohd Faisal Bin Mustaffa

Ketua Penerangan GAMIS 07/08

Obama dan Demokrasi



Timbul pertanyaan adakah saya menyokong Obama di kotak "shout box" saya oleh seorang teman. Ternyata sekali diatas dasar agama, saya menyatakan bahawa saya bukannya fanatik kepada Obama. Namun begitu, apa yang diharapkan adalah kemenangan ini mungkin memberikan ruang kepada dunia Islam untuk bersuara. Namun begitu, sekiranya sama sahaja, kemenangan ini juga tiada maknanya buat kita selaku umat Islam.

Kemenangan ini bukan bermaknya Obama akan membela Islam. Saya melihat itu adalah perkara itu tidak akan berlaku dan ianya bukanlah yang kita harapkan. Namun begitu, apa yang kita harapkan adalah mungkin dengan kemenangan beliau akan membaiki sistem demokrasi yang sedia ada dan terutamanya di USA.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Sekitar Hari Raya Pertama


Selamat Hari Raya pada semua


Bergambar seisi keluarga sebelum menunaikan Solat Sunat Aidilfitri


Cucu Mak Long Wa



Anak jiran-jiran

Friday, July 8, 2011

Gambar Tingkatan Satu


Melihat gambar ini teringat zaman nakal-nakal dulu. Ketika ini, masih lagi keanak-anakan. Seorang budak baru datang dari kampung, belajar di Sekolah di tengah Bandar Alor Setar.

Alhamdulillah yang berada dihadapan ini semuanya telah berjaya masuk ke pusat pengajian tinggi. Ada yang menjadi Doktor, Engineer dan hanya saya sahaja menjadi Ustaz.


Thursday, July 7, 2011

Hilangnya permata berharga

Pagi tadi saya mendapat sms berkenaan perginya seorang ulama tersohor di tanah air kita.Penguasa Pondok Lubok Tapah, Tuan Guru Haji Abdullah Abdul Rahman, telah kembali ke Rahmatullah selepas keuzuran akibat penyakit angin ahmar dihidapinya sejak beberapa bulan lalu.

Tuan Guru Haji Abdullah meninggal dunia kira-kira jam 7.00 pagi ini dalam usianya yang menjangkau 74 tahun selepas mewakafkan sebahagian besar dari hayatnya mencurah ilmu agama tanpa henti dan turut bersama-sama mendukung perjuangan politik Islam di negeri Kelantan bersama PAS.

Sepanjang hayatnya Allahyarham seorang pejuang yang istiqamah mendukung perjuangan PAS dan sering dipanggil untuk mengimami solat hajat khususnya dalam mempertahankan kerajaan PAS di Kelantan.

Sejak akhir-akhir ini Allahyarham agak keuzuran menyebabkan beliau tidak menghadiri majlis-majlis anjuran PAS, termasuk ketika Munajat Perdana di Stadium Sultan Mohd Ke-IV sehari sebelum hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-12 baru- baru ini.

Jenazahnya dijangka dikebumikan jam 5 petang ini. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hajjah Kamariah Abdul Ghani dan lima orang anak iaitu dua lelaki dan tiga perempuan serta ribuan anak muridnya. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan berdoa semoga roh Allahyaraham ditempatkan bersama roh para Anbia’ dan Solihin. Amin.

Selamat Tinggal Web Ku

Setelah hampir setahun menggunakan laman sesawang faisalmustaffa.com, kini laman tersebut telah tamat tempohnya. Pada peringkat awal memang tergerak dihati untuk menghidupkan semula laman tersebut, namun begitu apabila memikirkan kembali saya membatalkan hasrat tersebut.

Hal demikian kerana sudah berkali-kali proses pembayaran tersebut tertangguh disebabkan saya sendiri tidak pandai untuk membuat pembayaran tersebut. Keduanya kerana saya memikirkan, penggunaan laman tersebut cukup minima kerana sering mengalami masalah untuk dilayari pada musim-musim tertentu.

Biarlah laman baru ini menjadi teman setia saya sehingga ke akhir hayat. Ditemani juga oleh sahabatnya iaitu faisalkini.blogspot.com yang kini hanya menjadi galeri gambar-gambar di dalam kehidupan saya seharian.

Insya Allah, setelah hampir 3 bulan tidak menggerakkan blog secara aktif, saya berazam ingin melontar kembali idea-idea dan buah-buah pengalaman yang dikait selama ini bagi menjadi saksi di akhirat kelak sebagai amal jariah saya.

Doakan semoga saya istiqomah dijalan-Nya.

Sunday, July 3, 2011

Selamatkah mahasiswi kita menaiki Teksi?



PARAH: Mangsa ditemui terbaring berhampiran Maktab Polis Cheras, kelmarin. Andaikata perkara sebegini terjadi kepada mahasiswi UM, Siapakah yang akan bertanggungjawab



Saya tertarik dengan berita yang dipaparkan pada hari ini berkenaan kes seorang wanita Cina yang ditikam oleh pemandu teksi yang dinaikinya. Kejadian ini berlaku berhampiran Maktab Polis, Cheras. Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood mengakui bahawa wujud sendiket yang menggunakan teksi untuk merompak mangsa terutamanya wanita.



Antara perkara yang bergelegar difikiran saya apabila terbaca isu ini ialah, nasib sahabat-sahabat mahasiswi UM yang dibuang kolej kediaman dan tinggal di sekitar Pantai Dalam. Mereka ini terdedah kepada ancaman bahaya yang cukup tinggi. Hal ini kerana mereka sering menggunakan teksi untuk pulang ketika malam hari. Sekiranya hal yang tidak diingini berlaku siapakah yang akan dipersalahkan? Saya berasa untuk melontarkan idea ini kerana saya tahu kesannya amat buruk jika ianya berlaku.



Saya sendiri berusaha membawa hal ini untuk dibincangkan diperingkat atasan bersama-sama sahabat-sahabat seangkatan Pro-M dalam kabinet MPMUM. Tetapi ianya dipandang sebelah mata. Kepada sahabat-sahabat kabinet daripada Aspirasi, janganlah kalian melihat sahaja perkara sebegini berlaku kerana kebajikan mahasiswa adalah tanggungjawab bersama.



Pernah saya bawakan kisah sahabat saya disebuah Universiti dirogol ketika berjalan pulang ke rumah. Apa gunanya sekiranya perkara ini sudah terjadi. Sebab itulah, isu kebajikan mahasiswi ini perlu mendapat pembelaan daripada pihak UM. Janganlah semata-mata kerana kepentingan politik, kebajikan mahasiswa dan mahasiswi diketepikan.