Sunday, February 12, 2012

Cita-cita untuk ke Syurga

Mereka juga ada cita-cita tersendiri


Sen nasil? Harap-harap semuanya sihat sejahtera. Rasanya sudah lama tidak berceloteh dalam ruangan maya ini. Jika ada sekalipun hanya sekadar artikel-artikel , video atau gambar sahaja. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini semakin culas untuk menulis. Kepala asyik bingung memikirkan sesuatu ,yang saya sendiri pun tidak tahu apa yang saya fikirkan. (hehe..saja bagi memeningkan orang yang tidak pening).

Semasa kecil dahulu saya sering berangan-angan ingin menjadi seorang Bomba. Kata saya kepada diri, saya ingin membantu orang yang rumahnya terbakar. Kemudian, ketika berumur 9 tahun, cita-cita saya bertukar untuk menjadi seorang peguam. Entah kenapa perkataan peguam berlingkar dikepala saya tanpa saya mengerti apa itu peguam pada ketika itu. Naik darjah 4, oleh kerana minat subjek sains maka cita-cita saya berubah untuk menjadi seorang jurutera. Ketika itu saya sendiri tidak tahu kenapa saya ingin menjadi seorang jurutera.

Bila masuk ke alam Sekolah Menengah, saya impikan untuk menjadi seorang ustaz, kerana di dalam keluarga saya masih kekurangan “ustaz”. Namun begitu apabila masuk Tingkatan 4, saya memilih untuk memasuki kelas sains. Sekali lagi cita-cita saya menjadi kabur. Hendak jadi ustaz? Sudah tentu lari dari bidang pengajian.

Semasa berada di KISAS, naqib saya berpesan sebelum berangkat ke Mesir. Katanya “ Sekiranya mahu menyambung pelajaran ke IPTA tempatan, ambilah jurusan Undang-undang, jika mahu menyambung jurusan agama ana menunggu nta di bumi anbiya”. Menitis air mata saya mendengar nasihat daripada Abang Azam, naqib saya semasa di Kolej Islam. Seorang yang alim dan warak. Tak pernah saya melihat seorang pelajar yang mampu memberi kuliah dengan penuh ilmiah. Setiap hari memberi tazkirah sekurang-kurangnya setengah jam. Di bulan ramadhan, setiap kali selepas Subuh, Asar dan Maghrib beliau akan memberi kuliah tanpa kekeringan idea. Mungkinkah kepulangan anak muda ini dari bumi anbiya akan membuka lembaran baru kepada negeri Kedah. Kerana beliau merupakan anak jati Kedah Darul Aman.

Alhamdulillah, akhirnya selepas menduduki STPM di KISAS, akhirnya saya berjaya juga memasuki bidang pengajian agama. Biarpun peringkat awalnya hati lebih cenderung untuk memilih jurusan undang-undang, namun apabila memikirkan nasib keluarga yang ketandusan ustaz, maka saya memilih bidang pengajian Syariah dan Undang-undang. Biarpun semangat membara kerana tidak dapat menjejakkan kaki ke bumi anbiya, namun perjuangan mesti saya teruskan. Hasrat dihati untuk menjadi seorang peguam tetap tidak luntur.Alhamdulillah kedua-dua saya dapat, iaitu “Ustaz” dan “Peguam”. Tetapi belum tentu kesudahannya, kerana masa depan masih jauh.

Kata Abang Dzul naqib saya, “ Sal tumpu betul-betul dan jadi peguam, sebab zaman sekarang penting peguam yang ada kefahaman Islam”. Kata Pak Lang saya kepada saya, “ Shan, jangan jadi peguam , nanti cepat masuk neraka”.

Sungguh berbeza antara keduanya. Mentaliti bapa saudara saya adalah mewakili sebahagian kecil pandangan orang kampung kepada peguam. Kebanyakkan daripada mereka berpendapat kerja peguam adalah kerja yang menempah api neraka. Saya pula tersenyum sendiri, “Aku sekadar peguam syarie, bukannya peguam sivil”.

Walaupun sejak kecil saya sering bertukar cita-cita, namun yang utama saya tetap bercita-cita ingin masuk syurga Allah SWT. Namun begitu, saya sendiri tidak tahu adakah mampu untuk mencapai cita-cita tersebut. Saya sendiri takut sekiranya tersungkur dalam mengejar cita-cita ini.

‘Ya, Allah kau berikanlah aku peluang untuk memasuki syurga-Mu , Kerana aku tidak mampu menahan azab pedih api neraka –Mu”

Saturday, February 11, 2012

Iklan Merdeka Petronas 2008: Terkenang Kisah Dulu




Sengaja saya publish video ini. Hal demikian kerana sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada kisah dulu. Ayah dan emak sering mengelak sekiranya saya meminta barang-barang mainan ketika keluar membeli belah di bandar.

Akhirnya, setiap kali mahu membeli barang, ayah hanya keluar berseorang. Masih saya ingat, pada ketika itu ayah menggunkan tali rafia untuk mengukur saiz baju dan seluar saya dan kakak.

Ketika itu saya tidak pernah memberontak walaupun ayah tidak mahu membelikan barang yang saya minati kerana pendapat ayah agak kecil. Hanya bergantung kepada hasil getah yang tidak seberapa. Tambahan pula apabila tiba musim hujan, hanya makan ala kadar untuk menampung perut yang lapar.

Apabila melihat si anak tersebut membuat kereta mainan sendiri, teringat saya semasa kecil ketika membuat bahan mainan sendiri kerana tidak mampu dibeli oleh Ayah. Masuk hutan mencari buluh dan rotan untuk dijadikan bahan mainan. Namun begitu, apabila mendapat tawaran ke Universiti, ayah bersungguh-sungguh memberikan semangat supaya menjadi anak "ayah" yang berjaya. (^^,).

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Thursday, February 9, 2012

Status Halal di Malaysia Kian Meragukan

Pelbagai jenis makanan kian melambak di pasaran sekarang, terutamanya bagi makanan jenis segera atau ‘instant.’ Makanan segar seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran juga mudah didapati di pasar raya-pasar raya dan mula mendapat tempat di hati masyarakat, khasnya masyarakat bandar. Kebanyakan barangan ini memiliki logo Halal dari JAKIM, malah tak kurang juga yang tidak mendapat kelulusan dari JAKIM. Namun, sesetengah masyarakat yang hidup penuh kemodenan jarang mempedulikan atau menitikberatkan soal ini, asalkan semuanya dapat dilakukan dengan cepat dan segera.

Terbaru, saya ada membaca paparan akhbar tentang ayam selasih atau ayam hitam yang dibeli di pasar raya besar disembelih tidak mengikut hukum syarak. Pelanggan yang membeli ayam tersebut mendapati seekor ayam yang dibelinya tiada leher, manakala seekor lagi didapati urat pada lehernya tidak putus. Malah, pelanggan ini ditawarkan RM 20 000 oleh pengurusan pasar raya besar ini sebagai ‘upah’ supaya tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa setelah dibuat aduan tentang ayam yang dibelinya tidak disembelih mengikut hukum syarak. Namun, beliau tidak gelap mata, dan terus membuat aduan kepada JAKIM.

Saya tertanya-tanya; pasar raya besar tersebut mempunyai pegawai yang memeriksa status halal pada barangan yang dijual, namun kenapa hal ini masih lagi terjadi? Adakah pegawai di situ benar-benar menjalankan pemeriksaan bagi memastikan barangan yang dijual, terutama makanan segar, disahkan halal? Atau, pemeriksaan hanya dilakukan pada kali pertama barangan tersebut dihantar, dan pada kali yang seterusnya tidak lagi diperiksa kerana telah disahkan halal sebelumnya? Hairan juga saya. Prosedur bagaimana yang dilakukan sehingga status halal pada barangan makanan ini boleh dimanipualsi?

Dalam situasi yang lain pula, saya mendapati antara aduan yang diterima oleh orang ramai berkenaan masalah ayam ialah ayam yang dibeli di pasar raya berbau busuk, ayam yang dihantar bercampur bersama daging babi serta terdapat haiwan lain di dalam plastik bungkusan ayam. Seorang pengguna pula mendakwa ayam segera yang dibeli di sebuah pasar raya mengandungi cicak di dalam salutan tepung ayam tersebut. Selain masalah ayam, sebelum ini kita didedahkan dengan sebuah kegiatan syarikat katering, di mana syarikat ini menggunakan pelbagai jenis wain bagi memerap masakannya, terutama ayam dan daging, malah syarikat ini turut menggunakan sijil halal palsu yang dibeli daripada anggota sindiket menjual sijil halal palsu dengan harga RM 2 500. Akal saya mula ligat berfikir; jika kita sendiri boleh tertipu dengan logo halal ini, bagaimana kita hendak memastikan sesuatu barangan atau makanan itu benar-benar disahkan halal? Sekalipun telah mendapat sijil halal, terdapat juga sesetengah pengeluar yang melakukan penyelewengan dengan melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan JAKIM. Bagaimana JAKIM mahu mengatasi masalah ini? Saya berharap JAKIM dapat melakukan pemeriksaan terperinci ke atas sesuatu barangan sebelum mengeluarkan sijil halal, dan terus membuat pemantauan ke atas pengeluar walaupun setelah sijil halal dikeluarkan bagi memastikan pengeluar tersebut tidak melakukan sebarang penyelewengan.

Sebagai orang Islam, kita hendaklah berhati-hati ketika hendak membeli ayam bagi mengelakkan ayam yang dibeli tidak elok atau tidak halal, begitu juga dengan pemilihan dalam membeli barangan atau menempah makanan melalui katering. Jika hendak membeli ayam di pasar raya, teliti dahulu ayam tersebut. Jika meragukan, usahlah dibeli. Ini lebih baik daripada memakan ayam yang diragui status halalnya, kerana ia termasuk dalam perkara syubhah dan lebih baik ditinggalkan. Lebih selamat jika kita membeli ayam di pasar pagi kerana ia masih segar serta boleh dilihat dan diperiksa dengan jelas. Pendek kata, umat Islam hendaklah sensitif dan berhati-hati dalam memilih makanan yang halal lagi baik. Halalan toyyiba.

Wednesday, February 1, 2012

Hari Bumi Sedunia


Saya tertanya-tanya apakah yang menyebabkan Yahoo dan Google menukar warna logo mereka kepada warna hijau pada hari itu. Logo Yahoo seperti tiga segi kitar semula, manakala google lebih kepada batang pokok yang berwarna hijau. Saya bertanya kepada sahabat-sahabat, masing-masing menerka jawapan. Ada yang berpendapat Yahoo dan Google merebranding semula logo mereka kepada yang lebih mesra alam. Ada juga sahabat yang berpendapat bahawa mungkin sempena hari alam sekitar.

Apabila disoal kembali, masing-masing tiada jawapan yang tepat. Perkara tersebut saya biarkan kerana saya berpendapat tiada gunanya saya fikirkan sesuatu yang saya tidak pasti jawapannya.Pada saat itu saya pening memikirkan peperiksaan yang bakal dihadapi. Tidak terlintas langsung untuk mengkaji punca kenapa warna merah dan biru bertukar menjadi hijau.

Semalam saya sempat membalas kunjungan daripada sahabat saya Hilman. Melalui blog beliaulah saya ketahui bahawa hari “hijau” tersebut merupakan hari bumi sedunia. Baru saya tahu bahawa adanya hari bumi sedunia yang disambut pada tanggal 22 April setiap tahun.

Terlalu banyak hari yang perlu disambut saban tahun, sehingga menyebabkan saya tidak tahu hari apa yang disambut melainkan yang sudah popular dalam kalangan masyarakat. Hari Merdeka bagi rakyat Malaysia, Hari Buruh, Hari Guru, Hari Mahasiswa Sedunia, Remembrance Of Al-Quds, Hari Ibu, Hari Ayah dan lain-lain. Jika dihitung terlalu banyak.

Khabarnya sambutan ini diasaskan oleh Gaylord Nelson pada tanggal 22 April 1970. Beliau merupakan senator Amerika Syarikat yang begitu mengambil berat berkenaan isu alam sekitar. Rentetan daripada perjuangan beliau, maka tarikh 22 yag dicanangkan oleh beliau diterima pakai sebagai hari bumi sedunia. Kemudiannya beliau menggagaskan lagi pada 5 Jun 1972 iaitu Hari Lingkungan Hidup Sedunia.

Sambutan Hari Bumi Sedunia ini bukanlah adat kebiasaan masyarakat dinegara kita. Bahkan saya yakin dan percaya sekiranya ianya disambut, akan wujud pihak yang mengatakan ianya adalah perkara baru yang direka-reka. Tiada nas di dalam al-Quran dan hadis baginda SAW yang menyatakan berkenaan sambutan Hari Bumi Sedunia ini. Bagi sesetengah golongan lagi mereka seperti tidak ambil endah berkenaan hal ini. Bagi mereka tiada maknanya. Namun saya yakin, bagi pecinta alam sekitar, Hari Bumi Sedunia akan dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menunjukkan rasa cinta mereka kepada bumi ini.

Kita boleh melihat sendiri, Amerika Syarikat merupakan negara yang beria-ia -menyambut Hari Bumi Sedunia ini, tetapi merekalah yang menjadi “tangan-tangan” jahat merosakkan bumi ini. Lihatlah bagaimana mereka menggeledah bumi Afghanistan dan Iraq. Beribu-ribu rangkaian bom ditaburkan di atas muka bumi ini. Bahan kimia inilah yang banyak mencemarkan alam sekitar. Namun mereka tidak menyedari bahawa perbuatan buruk mereka diperhatikan oleh penduduk seluruh dunia. Mereka berlagak sebagai polis dunia untuk menentang keganasan. Sewajarnya gelaran polis dunia ini wajar ditukar kepada perompak dunia.

Apa yang saya ingin ingatkan kepada sahabat-sahabat, tugas kita sebagai khalifah Allah adalah untuk menjaga muka bumi ini daripada dirosakkan oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Jangan sekadar kita mencanangkan Hari Bumi Sedunia, tetapi kita sendiri yang menjadi agen perosak kepada muka bumi ini.

Ketahuilah bumi yang kita diami ini adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Firman Allah SWT di dalam surah Toha ayat ke 6, “ Apa yang ada di langit, segala yang ada di bumi, segala yang wujud di antara keduan-duanya dan semua yang wujud di bawah tanah, semuanya kepunyaan Allah”.

Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha Mendapat Sambutan Menggalakkan


Alor Star, 11 Disember: Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS). Program anjuran Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) dengan kerjasama Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Y.A.B. Dato Seri Azizan Abd. Razak. Turut hadir ialah Y.B. Dr. Hamdan bin Khalib, Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah.

Menurut Pengarah Program Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha, Saudara Osman Fikhri bin Awang Mina, antara objektif program tersebut ialah untuk menghimpunkan dan memperkenalkan mahasiswa Kedah di bawah satu wadah, iaitu Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA). Selain itu, ia juga bertujuan untuk merapatkan hubungan mahasiswa dengan Kerajaan Negeri Kedah.



Mengulas berkenaan sambutan yang diberikan, Presiden Penaja PERSADA, Saudara Mohd Faisal bin Mustaffa berkata, dengan jumlah hadirin seramai kira-kira 800 orang telah mencerminkan kesediaan golongan belia untuk turut sama menggembleng tenaga dan bekerjasama membantu Kerajaan Negeri Kedah dalam meningkatkan kemajuan dan pembangunan Negeri Kedah dalam segenap aspek. Beliau juga berharap PERSADA dapat bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri dengan menyalurkan sumbangan sama ada dalam bentuk idea, tenaga dan sokongan.

Hadirin yang datang ke program tersebut turut menerima pendedahan dan maklumat baru berkenaan perancangan dan pembangunan yang sedang direncanakan oleh Kerajaan Negeri.

Program yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu berakhir pada jam 2 petang.