Tuesday, April 10, 2012

Hujung Minggu Berlalu



“Ustaz, kami jemput Ustaz bagi ceramah untuk pelajar tahun 2”, saya menerima sms daripada salah seorang pimpinan Pertubuhan Jururawat Pelatih (PJP), PPUM. Kebetulan pada minggu tersebut saya tidak mempunyai program lantas saya menerima jemputan ini. Ini bukanlah kali pertama saya menyampaikan ceramah kepada pelajar-pelajar kejururawatan PPUM ini, tepi untuk kesekian kali ke berapa pun saya sudah lupa.

Pada sebelah petangnya saya merancang untuk turut sama dalam himpunan besar rakyat di Kuala Lumpur. Manakala di sebelah malamnya pula buat kali pertama saya akan menghadirkan diri ke Sekolah Pemikiran Muda (SPM) sebagai pelajar baru. Manakala keesokkan harinya kami perlu mengikuti seminar Dr Burhanuddin Al-Helmy, seorang tokoh pejuang bangsa yang amat di segani.

Terfikir di dalam minda, “padat juga jadual minggu ini”. Walaupun agak keletihan kerana keadaan fizikal badan masih lagi tidak sembuh sepenuhnya, saya gagahi juga untuk menghadiri semua acara yang telah dirancang.

Biasalah adat hidup sebagai anak muda, semua perkara harus dilalui bagi memantapkan lagi pengalaman hidup. Keseluruhan jadual yang disusun ini semuanya mempunyai perkaitan rapat dengan pembangunan jiwa kendiri pada diri saya.

Melalui ceramah yang disampaikan ini, sekurang-kurangnya saya dapat membiasakan diri untuk berinteraksi dengan para peserta dan pada masa yang sama dapat meningkatkan lagi gaya penyampaian saya dari semasa ke semasa. Sebagai seorang yang masih baru di dalam bidang training ini, saya seharusnya menggunakan konsep “fast learner” bagi menjadikan diri terus maju ke hadapan.

Semasa berkongsi ilmu bersama para peserta, saya cuba membawa mereka menghayati profesion mereka sebagai seorang jururawat merupakan suatu profesion yang mulia di sisi Allah. Hal demikian kerana, sebagai seorang jururawat mereka sentiasa berhadapan dengan ujian dan cabaran yang cukup tinggi.

Selain itu, saya turut menyentuh berkenaan tugas seorang jururawat yang tergolong di dalam bahagian ibadah umum. Sebelum ini, seringkali berlaku salah faham dimana ramai yang menganggap bahawa bekerja bukanlah suatu ibadah. Salah faham berkenaan dengan konsep ibadah ini sememangnya berlaku dalam kalangan masyarakat. Ini kerana sebahagian besar daripada mereka hanya menganggap ibadat itu hanyalah bersolat, membaca al-Quran dan berpuasa. Tetapi perkara yang berkaitan dengan urusan dunia bukanlah dianggap sebagai ibadah.

Saya terus mengheret para peserta untuk memahami konsep pekerjaan sebagai ibadah dan ianya perlulah mempunyai 6 syarat seperti yang digariskan oleh Prof Dr Yusof Al- Qardhawi.
Selepas selesai sahaja menyampaikan ceramah, saya sempat beramah mesra bersama-sama dengan tenaga pengajar daripada kolej kejururawatan tersebut.

Usai sahaja berprogram di sana, saya terus memecut motorsikal untuk pulang memandangkan jam sudah menunjukkan jam 12.00 tengah hari. Agenda seterusnya mesti saya teruskan iaitu bersama-sama teman-teman yang lain berhimpun membantah ISA!.




Sebaik sampai dirumah, semua teman-teman sudah tiada kecuali Din Baijuri. Tanpa melengah-lengahkan masa, saya bersama Din. Kami bergerak daripada rumah menuju ke stesen Taman Jaya. Sampai sahaja di Masjid Jamek, kami mengambil keputusan untuk tidak bersolat di Masjid Jamek kerana bimbang akan disekat seperti peristiwa Bersih sebelum ini. Kami halakan tujuan kami ke arah Masjid India dan bersolat Zohor di sana. Selepas merasa kepedihan semburan gas dan water canon semut-semut merah kami terus bergerak dan berkumpul di Jalan Raja Laut. Usai sahaja perkumpulan tersebut, saya terus bergegas pulang memandangkan pada sebelah malamnya saya perlu mengikuti kelas Sekolah Pemikiran Muda.



(Gambar daripada blog Abg Syaari)

Agak berat juga tugasan yang perlu saya selesaikan iaitu membaca dan membedah bab yang telah diberikan kepada saya daripada buku Risalah Untuk Kaum Muslimin karangan Prof Syed Naquib Al-attas. Pada malam tersebut juga, para pelajar disajikan dengan teknik-teknik membedah buku oleh Syed Munawwar. Namun begitu, ketibaan saya ke sana agak terlewat dan hanya mampu meraih picisan-picisan akhir ilmu yang dibincangkan.

Pertamanya saya terlewat kerana membantu seorang teman yang tersesat di Kuala Lumpur. Keduanya saya sendiri tersesat ketika menuju ke tempat program tersebut. Di sebabkan tersesat, saya melalui kawasan Stadiun Melawati, tempat berlangsungnya konsert antara dunia anjuran GAMIS. Alang-alang sudah lalu, saya singgah sebentar di Stadium Melawati bagi meninjau kawasan sekitar konsert tersebut. Meriah seperti yang dijangkakan. Tahniah sahabat-sahabat saya dan Abang Dzul selaku naqib saya di atas kejayaan menjayakan konsert tesebut.

Pada keesokkan harinya, kami diminta untuk menghadiri Seminar Memperingati Prof Dr Burhanuddin Al-Helmy, bekas Yang Di Pertua Agung PAS. Termangu saya sendirian memikirkan kehebatan yang ada pada tokoh yang dihilangkan jasanya di dalam sejarah negara kita ini.

Seorang pemimpin Islam yang saya kira merentas zaman. Di kala masyarakat masih lagi berada pada tahap rendah pemikirannya, beliau muncul sebagai seorang tokoh yang mempunyai latar belakang pendidikan yang cukup tinggi. Dengan perwatakan yang sederhana, tertonjol karismatik beliau sebagai seorang pemimpin sehingga disenangi oleh pelbagai kaum. Beliau juga menguasai pelbagai bahasa yang menjadikan beliau seorang pemimpin yang unik. Mungkin YB Nizar merupakan klon kepada Dr Burhanuddin pada hari ini.

Selepas selesai sesi pagi seminar tersebut, kami para pelajar diminta pulang untuk meneruskan slot perbincangan berkenaan epistimologi ilmu bersama seorang pencaramah yang dijemput khas daripada ISTAC. Perbincangan berkenaan konsep ilmu ini berjalan sehingga jam 4.30 petang. Selepas itu, kami diberi sedikit taklimat oleh pihak jawatankuasa SPM, dan kemudiannya kami bersurai kira-kira jam 5.30 petang.

Sunday, April 8, 2012

PMAPIUM dalam kenangan

Israk dan Mikraj bersama pelajar Sek Keb SS 6, Damansara

P7230184

Puan Dasimah menyampaikan plak cenderamata kepada saya

“Kenapa masam muka adik-adik ni? Menurut pakar motivasi, orang tidak ceria dipagi hari. Tidak akan bahagia kehidupannya pada hari tersebut”, saya memulakan ceramah Israk dan Mikraj kepada adik-adik di Sek Keb Seksyen 6, Kota Damansara pada hari Jumaat, 24 Julai lepas.

“Ustaz nak adik-adik semua senyum nampak semua gigi”, saya cuba menarik perhatian pelajar-pelajar darjah 5 dan 6 yang merupakan audiens saya dalam ceramah tesebut.

Jemputan ceramah ini saya perolehi daripada Ustazah Faizah yang merupakan isteri kepada Ust Raja Hisamuddin pensyarah APIUM. Memandangkan pada tarikh tersebut jadual saya masih kosong, membolehkan saya menerima jemputan ceramah tersebut.

Saya memulakan ceramah dengan mengheret hati pelajar menghayati 3 peristiwa yang berlaku sebelum Rasulullah S.A.W di Israk dan Mikrajkan. Pertamanya kewafatan Saidatina Khadijah, keduanya kematian Abu Talib dan ketiganya peristiwa Rasulullah dihalau semasa berdakwah di Taif.

P7230174

Dengan alunan suara mendaya-dayu, kelihatan pelajar-pelajar sunyi sepi mendengar jalan cerita yang mungkin menyentuh hati mereka.

Antaranya dialog Siti Khadijah kepada Rasulullah yang menyuruh Baginda menjual tulang belulangnya untuk mendapatkan wang bagi perjuangan Islam dan keduanya peristiwa mengalirnya darah di betis Rasulullah S.A.W ketika terkena batu yang dibaling oleh anak-anak penduduk Taif.

Selepas berceramah, saya dibawa oleh Puan Dasimah Bt Ahmad selaku guru besar bersama dengan Ust Hasan untuk menjamu selera dikantin sekolah. Saya sempat berkongsi pengalaman bersama dengan kedua orang guru yang saya kira cukup berpengalaman di dalam bidang pendidikan ini.

Ketika makan inilah juga Puan Dasimah bercadang untuk menjemput saya sekali lagi untuk memimpin khemah ibadah untuk pelajar-pelajar darjah 6. Tetapi ajakan tersebut terpaksa saya tolak kerana saya sudah maklum, program-program Fitrah Perkasa setiap bulan cukup padat. Permintaan terlalu banyak dan tenaga yang ada tidak mampu menampung permintaan tersebut.

Saya cuba membantu pihak sekolah dengan memberikan cadangan-cadangan sahabat-sahabat saya merupakan sukarelawan muda untuk membantu pihak sekolah menjalankan program tersebut. Bahkan sebelum ini ada pertanyaan daripada sebuah sekolah di Seksyen 14 pun saya alihkan kepada sahabat-sahabat saya yang sedia berkhidmat pada bila-bila masa ini. Mereka adalah teman setia saya di Baitul Taubah wa Tarbiah.

faisal doa

Saya memimpin adik-adik mengalunkan doa taubat

Ketika saya sampai di pejabat saya menerima sms daripada Ustazah Faizah. “Syukran Ustaz atas ceramah yang disampaikan. Guru Besar gembira kerana inilah ceramah yang paling senyap. Guru Besar cadang lepas ni nak jemput Ustaz bagi ceramah pada guru-guru pula. Harap Ustaz sudi”, saya terkedu membaca sms tersebut.

Lantas saya membalas, “Terima kasih juga pada sekolah yang sudi menjemput. Sekiranya nak jemput untuk beri ceramah kepada guru-guru, saya cadangkan Tok Guru saya di Fitrah Perkasa iaitu Ust Nasib yang saya rasa lebih menyentuh hati. Insya Allah saya akan cuba membantu”. Rendah diri rasanya kepada guru-guru yang lebih berpengalaman ini.

Sebagai orang baru di dalam bidang ini, saya sendiri terkedu kerana penyampaian saya pada hari tersebut berjaya menyakinkan guru-guru di sekolah tersebut. Tidak seperti sebelum ini, penyampaian sebagai seorang Trainer ini rupanya lebih menyentuh hati pendengar berbanding penyampaian sebagai seoang penceramah.

Saturday, April 7, 2012

Nakba Palestin: Iktibar Buat Semua


Sudah lama rasanya tidak mengemaskini blog ini.Bahkan beberapa isu yang panas akhir-akhir ini tidak sempat untuk saya respon di dalam blog ini. Terbaru isu keluarnya Bapa Permodenan daripada parti perjuangan nasionalisme Melayu, UMNO. Namun begitu, saya lebih tertarik untuk berbicara berkenaan isu nakhbah yang kurang dibincangkan oleh sahabat-sahabat yang lain.

Isu Nakba merupakan isu besar yang harus direnungi dan dihayati oleh umat Islam. Namun saya yakin dan percaya ramai dikalangan umat Islam yang tidak endah akan isu ini. Bahkan saya sendiri pada tahun ini buat pertama kalinya mendengar berkenaan isu ini. Mungkin saya juga tergolong dikalangan orang-orang yang tidak ambil endah akan perjuangan sahabat-sahabat di bumi Palestin. Namun saya tetap bersyukur kerana diberi juga jalan oleh Allah SWT untuk mengetahui isu besar umat Islam ini.

Istilah Nakba sememangnya agak asing bagi rakyat di negara kita, melainkan golongan-golongan yang prihatin dan mengambil berat berkenaan perjuangan rakyat Palestin. Nakba bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakba Palesin merujuk kepada penubuhan negara haram Israel yang diisytiharkan secara rasmi pada 15 Mei 1948.

Tanggal tarikh 15 Mei 2008, maka genaplah 60 tahun rejim zionist yahudi menduduki tanah air umat Islam. Sepanjang enam dekad berada dibawah cengkaman Israel, rakyat Palestin semakin dihimpit dengan pelbagai tekanan dan siksaan daripada kaum Yahudi.

Amerika Syarikat secara terang-terangan memberi sokongan padu kepada kerajaan haram Israel. Bahkan semasa ulang tahun ke 60 penubuhan negara haram Israel, presiden George W Bush semasa berucap di Knesset Israel menyatakan bahawa AS sentiasa menyokong perjuangan Zionist Israel. Bush turut mengecam negara Iran dan beberapa buah negara Islam yang lain.

Kepada semua sahabat-sahabat,disamping kita bekerja ingatilah sahabat-sahabat kita di bumi Palestin. Semoga akan muncul perwira pembebasan Palestin ketiga selapas Umar Al-Faruq dan Salehuddin Al-Ayyubi.

Wednesday, April 4, 2012

Sunday, April 1, 2012

Sidang Media Bersama Persatuan Peguam Malaysia


Bersama-sama dengan saudara Simon (DEMA), dan sahabat-sahabat GMM UPM untuk sesi sidang akhbar di BAR Council bagi membela nasib saudara Yang Yang dari UPM