Sunday, August 12, 2012

SEJAHTERA Bersama PMIUM SIRI 1: (Perbezaan tema antara PMI)


Poster sesi lepas selepas. Sekarang semua kepimpinan PMIUM merupakan pelajar tahap akhir yang berada di tahun ketiga

Sejahtera Bersama PMIUM. Itulah tema PMIUM pada sesi kali ini yang dipilih bagi menggantikan “PMIUM untuk semua”. Walaupun ada yang masih sayang dengan tema “PMIUM untuk semua” namun begitu ianya digantikan kerana telah diguna pakai oleh sebuah parti politik di dalam negara kita. Kerana tema tersebut, ramai yang membuat polemik bukan-bukan berkenaan dengan PMIUM. Sedangkan penggunan PMIUM untuk semua lebih awal daripada parti politik tersebut. Bagi mengelakkan tuduhan liar ini terus dilemparkan, maka lahirlah ilham ‘Sejahtera bersama PMIUM’.

Bagi Ikatan Studi Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM), mereka memilih untuk mengekalkan tema tahun lepas iaitu “ISLAM untuk semua”. Manakala bagi Kelab Makruf (Ma’ruf Club) di UIAM mereka memilih tema “Discover The Beuty Of Islam”. Persatuan Mahsiswa Islam Univesiti Putra Malaysia pula memilih tema “Your Excellent Partner”. Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) pula memilih tema “Bersama Membangun Ummah”. Bagi Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM) pula tema mereka cukup ringkas dan padat iaitu “Islam Syumul”.

Jika dibandingkan diantara kesemua tema tersebut, tema PMIUM mempunyai keunikan tersendiri. Mungkin ramai yang tidak perasan dengan perbezaan tersebut. Tetapi saya yakin ramai juga yang sedar akan perbezaan tersebut.

Jika diletakkan titik persamaan, terdapat persamaan diantara tema Ma’ruf Club, ISIUKM, PMIUTM dan PMIUSM. Keempat-empat persatuan ini memilih untuk menonjolkan ciri-ciri tarbiah di dalam tema mereka kepada masyarakat kampus. Melalui tema tersebut, masyarakat kampus sudah sedia maklum bahawa PMI dikampus tersebut merupakan badan induk bagi mahasiswa Islam.

Bagi PMIUPM, tema mereka agak menarik. Your Excellent Partner. Lafaznya begitu ringkas dan membawa maksud yang mendalam. Bersesuaian dengan kondisi masyarakat kampus UPM yang rata-ratanya merupakan golongan bukan Islam, pemilihan tema yang bersifat kekitaan ini boleh mencuit hati rakan tahalluf PMIUPM yang terdiri daripada kaum Cina dan India. Sudah tentu tema yang ditonjolkan lebih berbentuk dakwah, bukannya berbentuk Tarbawi.

Bagi PMIUM pula, tema pada kali ini masih lagi mengekalkan konsep yang sama dengan tema PMIUM untuk semua. Hal demikian kerana tema ini menonjolkan PMIUM sebagai doktrin utama kepada warga kampus. Melalui wadah PMIUM seluruh warga kampus akan mendapat kesejahteraan dan keharmonian. Hal demikian kerana teras pembawaan PMIUM adalah berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh itulah lahirlah tema Sejahtera Bersama PMIUM yang diharmonikan lagi bagi membolehkan PMIUM terus diterima oleh masyarakat kampus.

Dalam tema yang digunakan ini, sudah ternyata PMIUM mempunyai persamaan dengan PMIUPM kerana tema yang diwar-warkan kepada masyarakat kampus adalah tema yang berbentuk siasah dan dakwah. Bagi PMIUM situasinya adalah sama dengan sahabat-sahabat di UPM. Tema yang digunakan ini adalah mengambil kira komposisi masyarakat bukan Islam yang wujud di dalam kampus.

Ia juga bagi mengharmonikan hubungan diantara kaum yang terjalinan samada di dalam tahalluf siasi semasa Pilihan Raya Kampus ataupun melalui hubungan persaudaraan sesama manusia. Dengan pembawaan yang sederhana inilah, terdapat ahli berdaftar PMIUM yang merupakan mahasiswa bukan Islam. Ini kerana mereka percaya bahawa, PMIUM bukan sekadar membawa kesejahteraan kepada masyarakat Islam, tetapi membawa kesejahteraan kepada seluruh mahasiswa di Universiti Malaya ini

Walaupun tidak ditonjolkan perkataan Islam ataupun perkataan yang mempunyai unsur-unsur tarbiah, namun begitu agenda pembawaan PMIUM pada kali ini tetap menjadikan “idea faham Islam” sebagai intipati perjuangan. Hal ini bagi memastikan berlakunya Ledakan Ubudiyyah dalam kalangan masyarakat kampus.

Penggunaan Sejahtera bersama PMIUM juga adalah untuk diwara-warakan kepada seluruh warga kampus bahawa PMIUM bukannya sebuah persatuan yang ekstrim, tetapi sebuah persatuan yang menjadikan Islam sebagai agenda perjuangan. Islam itu sendiri membawa maksud Sejahtera dan Selamat.

Ikuti siri seterusnya..

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


Friday, August 10, 2012

Berehat bersama teman


Bersama saudara Ridzuan Mohammad, dalam satu program kursus kepimpinan

Status Halal Meragukan

Artikel Respon

Apa sudah jadi dengan status 'halal' di Malaysia?

27-11-2007 12:58:57 PM

SAYA menyokong 100 % email saudara Mohd Faisal Mustaffa dalam ruangan pendapat mSTAR semalam tentang 'Status halal di Malaysia kian meragukan!'.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan barang keperluan seharian khususnya makanan yang dijual sama ada di pasaraya besar mahupun kedai runcit mempunyai logo halal Jakim. Namun, kita tidak tahu sama ada logo itu palsu mahupun asli.

Saya cukup terkilan dengan laporan dalam akhbar baru-baru ini tentang ayam selasih yang disembelih tidak mengikut syarak.

Bukan itu sahaja pelanggan terbabit disogok dengan wang RM 20,000 untuk mengaburi mata pelanggan tersebut daripada mendedahkannya kepada pihak berkuasa. Nasib baiklah pelanggan itu tidak gelap mata.

Baru-baru ini juga kecoh tentang sebuah kilang memproses bihun dan laksa di Pulau Pinang menggunakan logo halal palsu dan berdekatan dengan kandang khinzir.

Bukan itu sahaja, malah saluran perpaipan dan saliran najis juga dikongsi. Khabarnya sudah berpuluhan tahun syarikat terbabit yang sebelum itu memohon sijil logo halal namun tidak berjaya, menjalankan operasi dan kebanyakannya pelanggannya dari kalangan peniaga Melayu Muslim. Apa sudah jadi? Tidak adakah pemantauan?

Sebelum ini kita sudah terdengar pelbagai kejadian yang cuba menganiaya kita sebagai pelanggan Muslim. Bukan sahaja dari segi makanan, malahan barang-barang keperluan harian yang lain seperti kasut, getah ikat rambut dan sebagainya.

Sampai bilakah semua ini akan berlaku? Adakah kita sebagai sebuah negara Islam tidak mampu berbuat apa-apa? Malulah jika selama ini kerajaan mengwar-warkan negara kita akan jadi 'Hab Halal Sedunia' tetapi hanya "Indah Khabar Dari Rupa' andai kata perkara sebegini pun tidak dapat diatasi.

Diharapkan pihak berkenaan khususnya pihak Jakim dan majlis agama negeri memainkan peranan yang penting bagi memastikan kesucian agama Islam tidak mudah dipermain-mainkan.

MOHD RUFFEDGE


Artikel Saya

Status halal di Malaysia kian meragukan!
26-11-2007 11:53:13 AM

PELBAGAI jenis makanan kian melambak di pasaran sekarang, terutamanya bagi makanan jenis segera atau ‘instant.’

Makanan segar seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran juga mudah didapati di pasar raya-pasar raya dan mula mendapat tempat di hati masyarakat, khasnya masyarakat bandar.

Kebanyakan barangan ini memiliki logo Halal dari JAKIM, malah tak kurang juga yang tidak mendapat kelulusan dari JAKIM. Namun, sesetengah masyarakat yang hidup penuh kemodenan jarang mempedulikan atau menitikberatkan soal ini, asalkan semuanya dapat dilakukan dengan cepat dan segera.

Terbaru, saya ada membaca paparan akhbar tentang ayam selasih atau ayam hitam yang dibeli di pasar raya besar disembelih tidak mengikut hukum syarak. Pelanggan yang membeli ayam tersebut mendapati seekor ayam yang dibelinya tiada leher, manakala seekor lagi didapati urat pada lehernya tidak putus.

Malah, pelanggan ini ditawarkan RM 20 000 oleh pengurusan pasar raya besar ini sebagai ‘upah’ supaya tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa setelah dibuat aduan tentang ayam yang dibelinya tidak disembelih mengikut hukum syarak. Namun, beliau tidak gelap mata, dan terus membuat aduan kepada JAKIM.

Saya tertanya-tanya; pasar raya besar tersebut mempunyai pegawai yang memeriksa status halal pada barangan yang dijual, namun kenapa hal ini masih lagi terjadi? Adakah pegawai di situ benar-benar menjalankan pemeriksaan bagi memastikan barangan yang dijual, terutama makanan segar, disahkan halal?
Atau, pemeriksaan hanya dilakukan pada kali pertama barangan tersebut dihantar, dan pada kali yang seterusnya tidak lagi diperiksa kerana telah disahkan halal sebelumnya? Hairan juga saya. Prosedur bagaimana yang dilakukan sehingga status halal pada barangan makanan ini boleh dimanipualsi?

Dalam situasi yang lain pula, saya mendapati antara aduan yang diterima oleh orang ramai berkenaan masalah ayam ialah ayam yang dibeli di pasar raya berbau busuk, ayam yang dihantar bercampur bersama daging babi serta terdapat haiwan lain di dalam plastik bungkusan ayam.

Seorang pengguna pula mendakwa ayam segera yang dibeli di sebuah pasar raya mengandungi cicak di dalam salutan tepung ayam tersebut.

Selain masalah ayam, sebelum ini kita didedahkan dengan sebuah kegiatan syarikat katering, di mana syarikat ini menggunakan pelbagai jenis wain bagi memerap masakannya, terutama ayam dan daging, malah syarikat ini turut menggunakan sijil halal palsu yang dibeli daripada anggota sindiket menjual sijil halal palsu dengan harga RM 2 500.

Akal saya mula ligat berfikir; jika kita sendiri boleh tertipu dengan logo halal ini, bagaimana kita hendak memastikan sesuatu barangan atau makanan itu benar-benar disahkan halal?

Sekalipun telah mendapat sijil halal, terdapat juga sesetengah pengeluar yang melakukan penyelewengan dengan melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan JAKIM. Bagaimana JAKIM mahu mengatasi masalah ini?

Saya berharap JAKIM dapat melakukan pemeriksaan terperinci ke atas sesuatu barangan sebelum mengeluarkan sijil halal, dan terus membuat pemantauan ke atas pengeluar walaupun setelah sijil halal dikeluarkan bagi memastikan pengeluar tersebut tidak melakukan sebarang penyelewengan.

Sebagai orang Islam, kita hendaklah berhati-hati ketika hendak membeli ayam bagi mengelakkan ayam yang dibeli tidak elok atau tidak halal, begitu juga dengan pemilihan dalam membeli barangan atau menempah makanan melalui katering. Jika hendak membeli ayam di pasar raya, teliti dahulu ayam tersebut.

Jika meragukan, usahlah dibeli. Ini lebih baik daripada memakan ayam yang diragui status halalnya, kerana ia termasuk dalam perkara syubhah dan lebih baik ditinggalkan.

Lebih selamat jika kita membeli ayam di pasar pagi kerana ia masih segar serta boleh dilihat dan diperiksa dengan jelas. Pendek kata, umat Islam hendaklah sensitif dan berhati-hati dalam memilih makanan yang halal lagi baik. Halalan toyyiba.

MOHD FAISAL MUSTAFFA

Thursday, August 9, 2012

Penyokong Pro-Mahasiswa dilanggar Aspirasi

Seorang penyokong pro-mahasiswa telah dilanggar oleh sebuah van kolej sehingga mengalami kecederaan dalam kempen di Universiti Malaya (UM).
Mahasiswa tahun tiga Akedemi Pengajian Islam UM Mohd Norhafiz Roslan, telah dilanggar oleh mahasiswa tahun pertama yang membawa van Kolej Kediaman Ketiga UM pagi tadi di pintu masuk utama UM, Kuala Lumpur.
Ketika disoal siasat oleh Pegawai Keselamatan UM, pelajar terbabit mengaku diarahkan oleh pengetuanya, Dr Sharifudin memandu van terebut untuk mencabut kain rentang kempen calon pro mahasiswa di sekitar kampus.
Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat dan kes ini akan dibawa ke mahkamah. Pelajar terbabit akan didakwa atas kesalahan cubaan mencederakan atau memudaratkan seseorang.
Semalam, kumpulan pro mahasiswa telah mengadakan satu perhimpunan di hadapan kolej kediaman kesembilan yang dihadiri kira-kira 200 penyokong pro mahasiswa
Mereka membawa kain rentang, yang bertulis 'Awas! 16 calon tidak sah berkeliaran di kampus' pada jam 3 petang sambil melaungkan slogan mengecam Pengetua kolej tersebut, Wira Karnain Sani yang didakwa mereka sebagai dalang kepada insiden-insiden yang mencetuskan pecah belah kumpulan Aspirasi UM dan master mind untuk memenangkan Aspirasi dengan menggunakan apa jua cara sekalipun

Warkah tersesat


Petang tadi kebetulan saya menerima pesanan sms daripada seorang kakak yang sama-sama menyertai ekspedisi ke Kuala MU baru-baru ini. Katanya CD koleksi yang yang dipos kepada saya sampai ke alamat sebuah restoran cina di SS 19, petaling jaya. Terkejut juga saya. Sebelum ini alamat yang saya berikan bukanlah SS19 tetapi SS17. CD tersebut saya perlu serahkan kepada Abang Shah selaku amir dalam ekspedisi tersebut.

Saya menelefon restoran tersebut dan dijawab oleh seorang perempuan cina. Dari suaranya saya mengagak umurnya dalam lingkungan 40-an. Rupa-rupanya restoran tersebut tidak jauh dari rumah saya. Berdekatan dengan bulatan di SS 17.

Tanpa membuang masa, saya menghidupkan motorsikal kriss buruk saya untuk mengambil surat tersebut. Alhamdulillah, akhirnya restoran tersebut berjaya ditemui. Kekok juga hendak bertanya kepada pelayan disitu. Kelihatan dua orang pengunjung sedang menikmati hidangan. Salah seorangnya berbangsa Inggeris dan seorang lagi berbangsa cina.

Saya menegur pelayan di situ. Kemudiannya dia memanggil pengurus kedai tersebut. Keluar seorang wanita cina dalam lingkungan 40-an. Saya dijemput masuk ke dalam kedai. Dengan hati yang lapang saya mengatur langkah masuk ke dalam restoran tersebut.

Wanita cina tersebut menyoal nama saya. Siapa yang mengirimkan surat tersebut. Saya menjawab satu persatu sambil tersenyum. Wanita cina tersebut sambil tersenyum dia berkata kepada saya “mujur surat ini daripada perempuan, kalau lelaki sudah lama saya buang. Kalau wanita mungkin ianya penting bagi kamu”. Saya tersipu-sipu malu dan menjawab, “tak adalah, surat daripada kawan”.

Selepas mengucapkan terima kasih, saya beredar dari kedai tersebut. Di hati saya terdetik, betapa baiknya hati wanita cina tersebut. Pada permulaan saya menelefonnya saya mengagak beliau seorang yang sombong kerana daripada gaya bahasanya agak kasar dan mengatakan sekiranya saya terlambat surat tersebut akan dibuang. Mujur saya datang pada waktunya.

Kenapa saya lakarkan cerita ini, kerana ianya berkaitan dengan artikel semalam. Kedua-duanya mempunyai persamaan, namun begitu wataknya adalah berbeza. Semalam saya dilayan seperti endah tidak endah, tetapi hari ini saya dilayan dengan mesra oleh seorang wanita yang bukan sebangsa dengan saya.

Adakah situasi ini membenarkan iklan Kempen Budi Bahasa yang menggambarkan seorang yang sebangsa dengan saya melakukan sedikit kelakuan yang kurang senang. Kemudiannya muncul seorang berbangsa bukan bumiputera yang member pertolongan. Kepada sahabat-sahabat seagama fikir-fikirkanlah. Bukan bangsa yang menentukan tingginya martabat kita, tetapi akhlak dalam kita beragama itulah yang paling penting.

Wednesday, August 8, 2012

Himpunan Mahasiswa Kedah


Ijtimak Aidiladha dan Himpunan Mahasiswa Kedah 2008 merupakan satu program yang julung kali diadakan. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk mengumpulkan seluruh mahasiswa dan para pelajar negeri Kedah dari sekolah menengah dan segenap institusi pengajian tinggi yang meliputi para mahasiswa diperingkat lepasan SPM, STPM dan STAM yang menyambung pelajaran diperingkat Maktab Perguruan, Politeknik, Kolej dan sebagainya di atas satu platform NGO iaitu Persatuan Mahasiswa Darul Aman(PERSADA). Sasaran persatuan ini adalah golongan mahasiswa berbilang kaum yang terdiri daripada pelajar Melayu, Cina, India, Siam dan sebagainya disamping berkongsi idea dan pandangan antara satu sama lain.

TUJUAN
Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengumpulkan seluruh mahasiswa Kedah yang menuntut Ilmu di seluruh Institusi pengajian tinggi di segenap pelusuk negara kearah mewujudkan satu kesatuan mahasiiwa dan pelajar-pelajar di negeri Kedah Darul Aman.

TEMA
“ BERSATU SEIRING MEMIMPIN KEMENANGAN”

TARIKH
11 Disember 2008(Khamis)

TEMPAT
Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Menteri Besar, Anak Bukit

SASARAN PESERTA
Mahasiswa IPT, KOLEJ-KOLEJ, MAKTAB dan PELAJAR-PELAJAR SEKOLAH MENENGAH


ATURCARA MAJLIS

KHAMIS ( 11 / 12 / 08 )

09.00 pagi : Ketibaan peserta dan pendaftaran

09.15 pagi : Ketibaan VIP

09.30 pagi : Ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis
: Bacaan al-Quran
: Tayangan slide show raya

10.00 pagi : Ucapan :-

- Presiden Penaja
(Saudara Mohd Faisal Bin Mustaffa)
- Ketua Belia dan sukan Negeri Kedah

(Ust. Musaddak Bin Hj. Ahmad)
- Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah

(Dr. Hamdan Khalib) :

11.00 pagi : Bersama Menteri Besar
- Amanat MB dan pelancaran PERSADA

12.00 tgh. Hari : Tayangan slide Show
12.10 tgh hari : Sesi dialog
01.15 tgh hari : Jamuan
- bersurai

ANGGARAN PERBELANJAAN

a) Penerbitan & Publisiti
1. Banner (10 x RM30) RM300.00
2. Pamplet (300 x RM2) RM600.00
3. Poster ( 500 x RM 1) RM 500.00

b) Cenderahati
1. Perasmi (3 X 100) RM 300.00
2.Peserta (500 x RM5) RM2500.00


d) Sewa lokasi
• Sewa dewan RM 500.00

e) Makanan
• Kudapan ( 500 x RM 2.00 ) RM 1000.00

JUMLAH KESELURUHAN RM 5700.00

sumbangan boleh dibuat ke atas nama (akaun Bank Islam):

PERSATUAN MAHASISWA DARUL AMAN (PERSADA)
12-047-01-004609-2

untuk pertanyaan boleh hubungi talian PERSADA di no 019-6170277

Sekretariat PERSADA,
No 8, Jalan 19/13 A,
46300, Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


Tuesday, August 7, 2012

Kepimpinan Islam yang dinanti..

Sudah lama rasanya saya tidak menjengah laman maya ini. Sejak akhir-akhir ini, jarang benar untuk memasuki teratak maya ini disebabkan menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh. Selain itu, tanggungjawab sebagai pengurus calon pro-mahasiswa dalam PRK baru-baru juga menyebabkan blog ini terus mati tanpa diisi.

Biarpun banyak isu yang boleh diulas, namun begitu hati ini mematikan sahaja niat untuk memberikan komen. Biarlah tokoh-tokoh yang lebih berkredibiliti dan berkelayakan memberikan pandangan yang lebih akademik dan tepat.

Apa yang ingin saya bangkitkan disini adalah berkaitan dengan kemenangan Pro Mahasiswa dalam Pilihan Raya Kampus baru-baru ini. Tahniah kepada jentera pro mahasiswa yang bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan ini. Tahniah dan takziah juga kepada semua YB-YB yang sudah mendapat mandat daripada mahasiswa dan pihak Universiti untuk memerintah.

Saya yakin dan percaya bahawa kemenangan calon-calon di dalam PRK ini bukanlah disebabkan kekuatan individu, tetapi ianya adalah disebabkan kekuatan pasukan itu sendiri. Kenapa saya katakana sedemikian?

Hal demikian kerana, medan PRK ini bukanlah seperti permainan ping pong mahupun tenis. Di mana ianya melibatkan hanya dua orang pemain. Sokongan hanya diberikan kepada pemain-pemain tersebut.

Tetapi medan PRK ini seperti yang disebut oleh Ust Hasrizal, ianya diumpamakan seperti permainan bola sepak. Sokongan yang diberikan bukan disebabkan individu, tetapi ianya adalah disebabkan sokongan padu terhadap pasukan yang masuk bertanding.

Kekuatan memenangi 8 daripada 9 kerusi umum sudah cukup untuk membuktikan bahawa penerimaan masyarakat kampus terhadap isu-isu yang diperjuangkan oleh pro mahasiswa.

Saya menantikan perubahan baru yang dilakukan oleh sahabat-sahabat saya yang memimpin MPMUM pada kali ini. Mungkin suatu ketika saya pernah mendidik mereka setelah mendapat mandat menggantikan saudara Ridzuan disaat-saat akhir untuk menguruskan calon-calon kerana ketika itu beliau meletakkan jawatan kerana mahu bertanding. Tetapi tugas untuk mengisi kemenangan adalah terletak di tangan mereka sendiri.

Saya mengharapkan sahabat-sahabat saya ini menjadi contoh pemimpin yang terbaik yang bakal melakukan tajdid di Universiti tertua ini.

Ingatlah pesan Rasulullah S.A.W bahawa

“Rakyat itu adalah mengikut cara hidup pemerintahnya”

Sekiranya kita menunjukkan suri tauladan yang baik, nescaya penerimaan masyarakat kampus terhadap kita akan bertambah baik. Sesungguhnya Islam yang kita bawa selama ini merupakan rahmat ke seluruh alam.

Mungkin pemerintahan ini hanya sekejap, tetapi jadikanlah ianya bermakna seperti mana yang dilakukan oleh khalifah Umar Abdul Aziz. Apa yang lebih penting adalah mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Sekiranya kita sendiri lemah hubungannya dengan Allah, nescaya kemenangan ini tidak akan bertahan lama.

Hayati kata-kata seorang perempuan Yahudi, dimana dia pernah berkata Umat Islam tidak akan menang selagi mana solat subuh mereka tidak seramai solat jumaat mereka.

Kepada pemimpin-pemimpin mahasiswa ini, fikir-fikirkanlah cerita ini. Jangan hanya dijadikan sebuah cerita, namun pengajarannya tidak diambil sebagai panduan. Mulakan dengan diri, kemudiannya kalian akan melihat kemakmuran dan keamanan akan terpancar dibawah kepimpinan Islam.

Tetapi sekiranya kita sama sahaja seperti mereka, solat jemaah tidak dijaga, al-quran pun entah ke mana, majlis ilmu jarang-jarang dihadiri, nescaya semua perkara yang diimpikan tidak akan berlaku ke kepimpinan islam yang kita idam-idamkan ini.

Sunday, August 5, 2012

Lirik lagu untuk Warga KIM, KIK & KISAS


p/s: video klip lagu ada di bawah
atau layari
http://www.youtube.com/watch?v=3IkmO2aSqIs

KOLEJ ISLAM

KIM permulaan kita,
Anugerah Duli Yang Maha Mulia,
KIK bergerak jaya,
Menyuburkan Islam tercinta,

Kolej Islam Sultan Alam Shah,
Kolej warisan yang ternama,
Bergerak maju, Mengharum agama,
Berjasa mendidik anak bangsa,

Dari nur 'ala nur,
Kita mengukir nama,
Fastaqim kama umirta,
Beristiqomah membela agama, (2 kali)

Bumi Waqafan, Bumi Tercinta,
Melahirkan pemimpin bertaqwa,
Mengorak langkah dipersada dunia,
Kecemerlangan Milik Bersama,

* ulangan

Kolej Islam Sultan Alam Shah,
Kolej warisan yang ternama,
Bergerak maju, Mengharum agama,
Berjasa mendidik anak bangsa,

Dari nur 'ala nur,
Kita mengukir nama,
Fastaqim kama umirta,
Beristiqomah membela agama,

Bumi Waqafan, Bumi Tercinta,
Berjasa mendidik anak bangsa,
Mengorak langkah di persada dunia,
Kecemerlangan Milik Bersama,

Lirik: Faisal
Lagu: Faisal/ Hakimi
Nyanyian : Hakimi


Saturday, August 4, 2012

Penumpang Misteri, Kita bagaimana?

“Pok Nya jom ikut ana ke Giant, cari barang dapur”, sahut saya pada Daniel. “Jom”, jawan Daniel ringkas. Tanpa melengah masa Daniel naik ke atas untuk mengambil dompet dan saya memakai baju hujan memandangkan kilat masih lagi sabung menyabung.

“Hang ni buang tabiat ka pakai baju hujan ni”, kata Razak pada saya. “Biasalah, demam Chingkungnya aku tak lega lagi”, jawab saya perlahan. “Padanla demam Chingkungnya, pastu pi Giant dengan Pok Nya” Bad pula menambah. “Memandai ja budak-budak ni”, hati kecil saya berbisik sambil mulut ketawa. Sudah menjadi kebiasaan penghuni Baitul Taubah wa Tarbiah ini usik mengusik antara satu sama lain. Saya dan Daniel terus beredar menunggang motorsikal menuju ke Giant.

‘Kita buat Tom Yam je la petang ni ya”, saya memberi pandangan pada Daniel. “Ikut anta je la”, Daniel menjawab. Kami mencapai bahan-bahan yang diperlukan untuk menyiapkan seperiuk Tom Yam berserta seketul daging import. Selain itu, kami juga membeli beberapa keperluan barang dapur yang lain. Untuk keperluan peribadi saya hanya membeli setin Quaker Oat Meal buat bekalan sarapan pagi. Ini kerana, setiap hari ketika ke pejabat saya jarang makan tengah hari. Sekurang-kurangnya dapat menahan lapar sehingga makan malam.

“Sedap Tom Yam ni, lepas ni kita boleh buat kedai dan Bad jadi tukang masak”, Riduan pula mula memecahkan suasana di dalam rumah. “Bagus juga cadangan tu. Boleh kita buat duit tambahan.

Sudah menjadi kebiasaan di Baitul Taubah kami masak secara silih berganti. Bad mempunyai kepakaran masak masakan yang agak moden seperti ikan 3 rasa, stim dan sebagainya. Tetapi saya pula lebih cenderung kepada masakan tradisional seperti kari, ayam bakar dan beberapa jenis makanan lagi. Masing-masing ada kelebihan. Tidak kurang juga yang hanya “tercangak” menanti untuk makan.

“Ana nak tanya, ada tak sebelum ni ana cerita tentang kisah yang Ust Rashid dan Ust Nasib cerita”, tanya saya kepada sahabat-sahabat sambil menghirup kuah Tom Yam. “Belum”, sahabat-sahabat lain menjawab. “Dah-dah”, Riduan menjawab. “La, cerita la. Hang we, senyap”, salah seorang daripada sahabat saya menyampuk. Masing-masing bersemangat ingin mendengar kisah tersebut.

Ustaz Rashid merupakan salah seorang daripada pengamal perubatan Darus Syifa’, dan juga merupakan salah seorang guru saya di Darus Syifa. Manakala Ust Nasib pula merupakan guru saya di Fitrah Perkasa.

Mistik 1

Semasa kelas Darus Syifa baru-baru ini, Ust Rashid ada bercerita berkenaan kisah misteri yang berlaku terhadap seorang pemuda. Pada suatu hari pemuda tersebut memandu daripada Pahang untuk ke rumah kakaknya di Kuala Lumpur.

Sampai ditengah perjalanan dia berasa mengantuk dan mengambil keputusan tidur ditepi jalan. Dia menelefon kakaknya mengatakan bahawa dia dalam perjalanan dan tidur sebentar ditepi jalan untuk menghilangkan rasa mengantuk. Setelah beberapa minit melelapkan mata, dia terjaga. Di dapati diluar tingkap keretanya terdapat seorang lelaki berjubah dan berserban. Dia terpinga-pinga dan menelefon kakaknya.

“Akak, disebelah kereta saya ada seorang Pak Aji, risau saya nak bagi tumpang”, ujar pemuda tersebut melalui telefon kepada kakaknya. Kemudian pemuda tersebut meneruskan perjalanan. Tidak semena-mena Pak Aji tadi sudah berada di belakang tempat duduk keretanya. Dia sekali lagi menelefon kakaknya.

“Akak, Pak Aji tadi berada di belakang kereta saya. Apa yang harus saya baca untuk halau dia”, pemuda tersebut cemas menelefon kakaknya. “Adik baca ayat Kursiy untuk halau Pak Aji tu”, ujar kakak lelaki tersebut. Kemudian talian terputus. Usaha untuk menghubungi adiknya gagal.

Keesokkan harinya, kakak lelaki tersebut didatangi oleh pihak polis memaklumkan bahawa ditemui mayat lelaki tersebut 10 meter daripada kereta. Namun begitu, yang menjadi tanda tanya kepada pihak polis adalah keadaan kereta yang berkunci dan tidak mengalami sebarang kemalangan. Bagaimana pemuda tersebut boleh berada 10 meter jauhnya daripada kereta dan bagaimana dia keluar daripada kereta tersebut. Sehingga hari ini tiada jawapannya.

Mistik 2

Kisah kedua diceritakan oleh Ust Nasib semasa PAPD bersama kakitangan Takaful Ikhlas di Janda Baik baru-baru ini. Saya mendengar kisah ini dengan penuh teliti dan cuba menghayati plot-plotnya yang agak menarik.

` Kisah ini berlaku kepada Tok Guru kepada Ust Nasib semasa beliau belajar di pondok suatu ketika dulu.

Suatu hari, Tok Guru pulang daripada memberi kuliah berkereta berseorangan. Di pertengahan jalan, beliau ditahan oleh seorang wanita.

Di sebabkan rasa simpati dan empati, Tok Guru tersebut menumpangkan perempuan tersebut memandangkan keadaan di tengah hutan yang gelap dan berbahaya ini akan menyebabkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Sebaik sahaja bergerak, perempuan tersebut mengilai ketawa. Tok Guru tersebut berhenti dan berpaling ke belakang tempat duduk seraya berkata, “Kamu makhluk, aku makhluk. Kamu tidak dapat memudaratkan aku dengan izin Allah, dan aku juga tidak dapat memudaratkan kamu. Jadi keluarlah daripada kereta ini”, ujar Tok Guru tersebut.

Beliau terus memandu sambil perempuan tersebut mengilai dan akhirnya ghaib. Keesokkan harinya, beliau menceritakan kisah ini kepada anak-anak muridnya selepas solat subuh termasuklah Ust Nasib yang ada pada ketika itu.

Kita Bagaimana?

Saya termenung sendirian memikirkan kedua-dua situasi ini. Sekiranya berlaku kepada diri saya sendiri, entah situasi mana yang akan terjadi. Adakah saya akan gelabah seperti pemuda pertama ataupun tenang seperti Tok Guru tadi.

Apakah yang menjadikan Tok Guru tadi benar-benar berani? Tidak lain dan tidak bukan keimanan yang mendalam didalam hatinya melebihi segala. Apa yang menjadi keresahan di fikiran saya adalah situasi pada hari ini yang gemar menanyangkan kisah-kisah mistik di kaca TV tanpa mengaitkannya dengan keimanan kepada Allah S.W.T.

Saya yakin sekiranya tayangan gambar-gambar misteri ini diteruskan, dan dalam pada masa yang sama proses mendidik iman masyarakat berkurang, tidak mustahil selepas ini masyarakat di negara ini lebih beriman dan mempercayai hantu berbanding Allah S.W.T.

Baitul Taubah Wa Tarbiah

7.22 pagi (25 Jun 2009)

Thursday, August 2, 2012

Penamaan Calon Di Padang Terap



Barisan Calon Segak Bergaya


Doa dipohon untuk kemenangan


Orang ramai berkumpul memberi sokongan
Kebetulan saya pulang ke kampung pada penamaan calon yang lepas.Saya sempat mengambil beberapa keping gambar daripada teman gambar penamaan calon di Padang Terap. Kawasan bekas senior saya yang bertanding iaitu Ust Nasir Zakaria. Kebetulan di Tempat yang sama Menteri Besar juga bertanding. Alahai ramainya yang berkumpul (^^,).

Tersesat ke SMAP Kajang

“Kita nak bergerak dengan motor atau kereta ke SMAP Kajang”, tanya saya pada Daniel. “Kalau banyak barang yang anta nak bawa, baik kita naik kereta”, jawab Daniel. Hati saya agak ragu-ragu kerana jam sudah menunjukkan tepat 6.20 petang. Kebiasaannya traffic jem pada ketika ini berada dikemuncaknya.

Tetapi disebabkan saya perlu membawa Lap Top dan sound woofer, maka saya memilih untuk ke sana menaiki kereta Naza Sutera sahabat saya Ghaffar. Jemputan kuliah maghrib ini adalah daripada adik-adik Badan Dakwah melalui sahabat saya Hasbie yang merupakan alumni SMAP Kajang ini.

Di sebabkan sudah biasa dengan gelagat pelajar-pelajar sekolah agama ini, berbekalan pengalaman di SMKA Kedah dan KISAS mungkin kuliah yang akan disampaikan ini lebih dekat dengan para audiens. Walaupun saya bukannya lepasan SMAPK, tetapi serba sedikit berkenaan latar belakang SMAPK ini saya ketahui daripada sahabat saya Hasbie.


Pergerakkan kami menuju ke Kajang memakan masa hamper sejam lamanya. Sehingga masuknya waktu maghrib kami masih lagi terperangkap di atas jalanraya. Rasa gelisah juga hati ini. “Kesian kat adik-adik yang menanti kita”, ujar saya pada Daniel”

Sebaik sampai di Pekan Kajang, petunjuk ke arah SMAPK gagal kami temui. Bahkah arahan yang diberikan juga mengelirukan kami. Sehingga jam 8 malam saya dan Daniel tersesat mencari jalan. Keadaan ini menyebabkan kami mengambil keputusan untuk singgah di Masjid Pekan Kajang untuk menunaikan solat Maghrib. Saya mengambil keputusan untuk menangguhkan kuliah pada malam tersebut dan digantikan dengan hari yang lain.

“Apa hikmahnya Allah S.W.T tak benarkan aku sampaikan kuliah pada mala ini. Mungkin ni tarbiah dari Allah”, hati kecil saya bercakap sendirian.

Selepas usai solat Maghrib, kami bergerak mencari SMAPK seperti yang arahan yang diberikan. Sekali lagi kami tersalah memilih jalan. Cari punya cari, akhirnya kira-kira jam 8.30 barulah kami menjumpai SMAPK.

Sebaik sampai disana, saya dan Daniel berkenal-kenalan dengan adik-adik di SMAPK. Kami berborak sementara menanti masuknya waktu Isya. Sekiranya hendak memberi tazkirah, masa yang berbaki sudah tidak mencukupi. Saya melihat suasana di sekitarnya hampir sama dengan SMKA Kedah samaada dari sudut binaan bangunan, mahupun suasana suraunya.

Usai solat Isya, saya dan Daniel bergerak pulang. “Pernah makan satay Kajang”, tanya saya kepada Daniel. “Belum pernah”, jawab Daniel ringkas. “Kalau macam tu, jom ana belanja anta. Lagipun anta tak merasa lagi duit gaji ana”, lantas saya memacu hala tuju kereta untuk menuju ke Pekan Kajang bagi mengisi perut yang sedang lapar. Kira-kira jam 11 barulah kami selamat pulang ke rumah.