Monday, December 10, 2012

Wabak H1N1, peringatan buat semua

a-h1n1

Semalam saya sempat bersama dengan adik-adik Maktab Perguruan Bahasa Melayu, Lembah Pantai. Walaupun saya balik agak lambat daripada pejabat kerana menyusun atur pejabat bagi membolehkan saya dan Che Mat mempunyai meja sendiri ditingkat atas pejabat. Ustaz Nasib orang yang paling bersemangat mahukan kami berdua menyusun meja pada petang semalam.

Biar pun badan agak letih memandangkan simptom demam Chingkungnya belum sembuh sepenuhnya, namun disebabkan rasa rindu pada adik-adik di IPBM saya tetap bersemangat untuk melangkah kaki ke sana. Kelihatan awan mendung selepas hujan dan guruh yang masih berbunyi, menuntut saya membawa bekalan baju hujan di dalam kotak “doraemon” dibelakang motor saya.

Saya memulakan bicara saya bersama adik-adik dengan membawa pesanan Tuan Guru Dr Haron Din di dalam kelas di Darus Syifa baru-baru ini berkenaan fenomena “Selsema Babi”. Suatu fenomena yang menyebabkan seluruh dunia berada di dalam ketakutan. Ini kerana, sehingga 6 Julai sudah 434 kes yang dicatatkan berbanding hanya 2 kes pada 2 jun lepas.


Saya mengajak mereka supaya melihat fenomena selsema babi ini dengan 4 pandangan. Melihat dengan pandangan mata, pandangan akal, pandangan nafsu dan pandangan mata hati.

c9013d8fdfe9b7da92806cacac9f9244

Pertamanya dengan pandangan mata. Melihat dengan pandangan mata, seseorang itu hanya mampu melihat peristiwa selsema babi ini secara fizikalnya sahaja. Cuba kita renungkan, apakah yang hanya boleh dilihat dengan mata di dalam kejadian selesema babi ini. Maka tidak lain dan tidak bukan kita hanya akan mampu melihat fakta statistik peningkatan wabak. Mungkin juga kita dapat melihat tanda-tanda symptom wabak ini pada tubuh pesakit, tetapi semuanya adalah berkisar berkenaan fizikal tubuh badan pesakit itu sahaja.

h1n1

Seterusnya, melihat selsema babi ini dengan pandangan akal. Kebiasaannya melihat dengan pandangan akal ini adalah kebiasaan pandangan para-para cerdik pandai atau pun saintis di dalam bidang ini. Mereka melihat dengan ilmu yang mereka ada untuk mencari punca-punca merebaknya wabak selsema babi ini. Melalui penelitian dan pengkajian ini, mereka akan cuba mencari jalan penyelesaian kepada penyakit yang belum ada jalan penyelesaian ini.

Manakala pandangan ketiga adalah melihat dengan pandangan nafsu. Apabila fenomena selsema babi ini dilihat dengan pandangan nafsu, maka akan adalah golongan-golongan yang bergelak ketawa sambil bertepuk tangan melihat negara-negara yang diserang dengan wabak ini. Ianya akan menjadi suatu keuntungan sekiranya ubat yang ditemui boleh dipasarkan dengan harga yang mahal. Seperti kata sahabat saya Fahyshal di dalam ruangan komen Facebook saya iaitu, selsema babi ini juga mainan kapitalis farmaseutikal yang menggunakan bioteknologi untuk menghasilkan virus demi kelangsungan jualan ubat.

Manakala pandangan yang keempat adalah melihat serangan wabak selsema babi ini dengan pandangan mata hati. Inilah pandangan orang yang tinggi keimanannya kepada Allah S.W.T. Mengapakah berlakunya fenomena sebesar ini? Adakah tiada jalan penyelesaian kepada permasalahan ini? Sekiranya seseorang itu melihat fenomena ini dengan pandangan mata hati, sudah tentu ianya adalah merupakan suatu bala yang ditimpakan oleh Allah S.W.T terhadap penduduk di atas muka bumi ini.

Punca kepada berlakunya wabak ini adalah kerana kederhakaan manusia kepada Allah S.W.T. Maka tiada cara lain untuk menghadapi perkara ini melainkan kita kembali mentaati ajaran Islam dan mengamalkannya. Bersamalah kita meningkatkan amalan kita dan meletakkan ketaatan yang sepenuhnya kepada Allah S.W.T.
Kepada adik-adik, saya meninggalkan pesanan Tuan Guru Ust Haron Din supaya masing-masing mengamalkan Qunut Nazilah dan beberapa bacaan doa penolak bala. Mudah-mudahan dengan amalan tersebut kita semua akan dilindungi oleh Allah S.W.T.

Nota :
Ini komen Abang Hasrul di Face Book saya berkenaan saranan membaca Qunut Nazilah ketika wabak H1N1 ini:

Mazhab Syafie dan Hanafi berpendapat SUNAT qunut nazilah dalam solat untuk menghindarkan taun dan penyakit wabak yang lain. Mazhab Maliki mengatakan SUNAT SOLAT bukannya doa qunut. Mazhab Hambali menyatakan bahwa tidak disyariatkan qunut untuk menghindarkan wabak kerana berlaku wabak taun pada zaman saidina Umar dan beliau TIDAK QUNUT dan tidak menyuruh orang lain qunut.

Insya Allah kita guna pandangan pertama, mudahan H1N1 jd ujian penghapus dosa Insya Allah..AMIN

Saturday, December 1, 2012

Saat Cinta Bertasbih

jundi

Dapatkan segera untuk rujukan anda

Semalam sempat saya siapkan poster promosi buku terbaru Ust Riduan Mohd Nor dicelah-celah menaip sebuah artikel berkenaan darah rakyat untuk diposting diblog ini. Buku ini menceritakan berkenaan kisah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan seorang tokoh yang dikagumi oleh kawan mahupun lawan.

Sebagai promoter internet kepada Jundi Resouces, saya cuba memberikan yang terbaik supaya khazanah ilmu yang dicoretkan oleh Ust Riduan Mohd Nor dapat disebar luaskan. Sekiranya ada sahabat-sahabat yang mengenali saya, buku ini juga boleh ditempah melalui saya sendiri. Untuk memudahkan urusan sahabat-sahabat untuk mendapatkan buku-buku terbitan syarikat Jundi Resources, saya sedia membantu ditalian 013-2007135

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Sebutir Pengalaman Berharga SMTK

6013758_l

Usai sahaja menunaikan solat fardhu Asar bersama Ustaz Hashim saya bergegas bersiap untuk pulang. Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Terasa pening-pening di kepala memandangkan perut kosong sejak daripada pagi tidak berisi.

Selepas menghidupkan suis motorsikal, saya terus memecut pulang. “Alamak, minyak pulak kering”, mata saya memandang kepada meter motorsikal yang menunjukkan minyak sudah diparas bahaya. Terpaksalah saya menghabiskan beberapa minit untuk mengisi minyak walaupun masa sudah cukup genting bagi saya.

Perjalanan untuk ke Bangi mengambil masa lebih kurang 45 minit daripada Damansara. Saya sudah berjanji dengan pihak Darus Syifa untuk mengikuti rawatan bangunan Sek Men Teknik Kajang pada petang ini. Menurut maklumat yang diperolehi, saya perlu menhadirkan diri pada jam 6.30 petang di Darus Syifa.

Sebaik sampai sahaja dirumah, kelihatan Haafizuddin sedang berbaring keletihan. Saya terus bergegas naik ke bilik dan menukar pakaian kepada baju melayu putih serta mencapai buku ikhtiar dan kad pelajar Darus Syifa.


Bertambah binau kepala saya. Di tambah pula dengan suasana yang cukup panas menyebabkan saya seperti terawang-awang berada di alam nyata ini. Namun begitu, saya gagahi juga untuk ke sana memandangkan inilah kali pertama saya berpeluang mengikuti kerja-kerja merawat bangunan bersama pihak Darus Syifa.

Sebelum-sebelum ini saya tidak mendaftarkan nama memandangkan bimbang bertidan dengan jadual kerja harian. Tambahan pula, keadaan tubuh badan yang kurang sihat disebabkan demam Chingkungkunya meletakkan diri saya terlalu berhati-hati untuk melakukan sebarang aktiviti yang berat.

Namun begitu, Alhamdulillah pada malam ini berkesempatan juga saya untuk bersama-sama dengan warga Darus Syifa. Sebagai seorang yang masih lagi mentah, saya memerlukan masa untuk memerhati dan meneliti gerak kerja merawat yang dilakukan oleh senior-senior di DS. Pembelajaran di dalam kuliah adalah bersifat teori dan untuk mengetahui pengaplikasiannya saya perlulah mengikui siri-siri rawatan yang dijalankan oleh pihak DS sendiri.

Saya sampai dihadapan bangunan DS tepat jam 6.30 petang. Kelihatan beberapa orang pelajar dan ahli Darus Syifa sudah menunggu berhampiran bas SMK Teknik Kajang. Kira-kira jam 6.50 petang, kami bergerak menuju ke destinasi.
Sepanjang perjalanan menuju ke sana, saya memejamkan mata untuk menghilangkan keletihan dan rasa pening yang berdenyut dikepala. Mujur saya duduk berseorangan, maka kuranglah sikit kepanasan yang dirasai.

Sebaik sampai di sana, kami disambut oleh guru-guru dan waris SMTK dan terus dibawa masuk ke dalam surau. Kemudiannya kami menunaikan solat Maghrib secara berjemaah dipimpin oleh Ustaz Haji Zulkiply Mohd Dahlan daripada DS. Usai solat Maghrib, sedikit ucapan daripada pihak SMTK dan Tuan Haji Abdul Rahman selaku wakil DS.

Kemudiannya, majlis diteruskan dengan solat hajat, bacaan yasin dan zikir beramai-ramai yang dipimpin oleh Ust Haji Zulkiply Mohd Dahlan. Setelah selesai solat Isya, wakil daripada DS menyampaikan sedikit tazkirah dan peringatan kepada warga SMTK supaya menjaga adab-adab dan tatatertib sebagai seorang pelajar. Kemudiannya, kami dijemput oleh pihak sekolah untuk menikmati sedikit jamuan di dewan makan sekolah berkenaan.

Selepas selesai makan, kerja-kerja merawat bangunan dimulakan. Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan meliputi kerja-kerja merawat di dalam dan diluar bangunan. Saya mengikuti kumpulan merawat di dalam bangunan asrama.

Kerja-kerja merawat selesai kira-kira jam 10.30 malam. Kami bertolak pulang dan sampai di DS kira-kira jam 11.30 malam.

Mudah-mudahan, dengan usaha yang dilakukan warga SMTK akan terus dilindungi dan hidup dengan aman dan sejahtera. Segalanya adalah dengan izin Allah S.W.T. Terima kasih kepada Ustaz-ustaz DS yang memberikan ilmu dan pengalaman kepada saya. Ini merupakan sebutir pengalaman yang berharga untuk diri saya.

Mohd Faisal Bin Mustaffa

SS14, Petaling Jaya.