Thursday, July 12, 2012

Penghinaan Rumah Allah di Kolej Kediaman Kedua, UM


Oleh: Mohd Faisal Bin Mustaffa

Wakil fakulkti APIUM

Berkenaan peristiwa yang berlaku beberapa hari yang lepas, yang menggemparkan Universiti Malaya. Surau kolej kediaman kedua telah diceroboh.Pencerobohan ini berlaku 2 kali dalam masa seminggu. Saya menyakini bahawa pencerobohan tersebut merupakan satu provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan mahu mencetuskan huru-hara dan menimbulkan sentimen perkauman. Soal siapa yang mencipta isu ini yang menjadi tanda tanya setiap warga kampus. Tetapi jari telunjuk tidak perlu ditunding kepada orang lain kerana perkara ini boleh mencetuskan rasa syak wasangka yang mendalam.

Pencerobohan yang pertama berlaku sekitar jam 3.30 sehingga 4.50 petang pada 25 Januaari 2008. Dalam pencerobohan tersebu, keseluruhan barang-barang di dalam surau bertaburan. Papan tanda terbalik dan kain sejadah juga berselerak.

Manakala pencerobohan yang kedua berlaku pada 29 Januari 2008, sekitar jam 6.40 – 7.20 Ptg. Di dalam kejadian ini, seluruh dinding surau diconteng (dispray) dengan cat berwarna merah. Barang-barang berterabur. Yang amat menyedihkan adalah kerana beberapa naskah Al-Quran juga dibiar berterabur. Hal demikian adalah penghinaan yang terbesar terhadap kitab suci Islam itu sendiri.

Saya memuji tindakan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) kerana cepat tampil untuk mencari jalan penyelesaian. Terfikir juga diminda, di mana letaknya peranan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), yang senyap dalam memperjuangkan isu ini. Saya melihat isu ini bukanlah isu yang berkaitan dengan sentimen agama itu sendiri, tetapi ianya melibatkan hak yang diperuntukkan di dalam perlembagaan terhadap mana-mana agama. Setiap rumah ibadat semua kaum wajar dijaga dan tidak boleh diceroboh.

Saya tertarik dengan kata-kata Prof Dr Ahmad Hidayat B Buang, beliau menyampaikan pesanan Naib Canselor, Datuk Rafiah Salim kepada para pelajar Universiti Malaya yang membuat perhimpunan aman disurau kolej kediaman ke 2. Dalam ucapannya, beliau menegaskan kes ini adalah satu provokasi yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan huru-hara.Kita tidak boleh cepat melenting kerana ianya akan menjadikan suasana lebih tidak tenteram.

Dalam hal ini, saya berpandangan bahawa isu ini perlu diberi perhatian yang serius bagi mengelakkan komplikasi yang lebih besar. Kami di peringkat mahasiswa Islam mahukan proses penyiasatan dilakukan secepat mungkin.

Tuesday, July 10, 2012

Respon kenaikkan yuran pengajian APIUM


Pagi tadi saya sempat menyebarkan sms kepada sahabat-sahabat Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), berkenaan kenaikkan yuran pengajian yang dijangkakan akan berlaku pada semester akan datang. Ini adalah berdasarkan kepada surat yang ditujukan kepada saya dan saudara Izzat Amin selaku wakil fakulti APIUM bagi sesi ini.

SMS saya kepada rakan-rakan pada awalnya berbunyai, "Maklumat terbaru. Apa respon anda dengan kenaikkan yuran APIUM daripada RM 27.20 kepada RM 47.60 seper jam kredit. Wakil APIUM sedang berunding dengan pihak pentadbiran." Pada mulanya, saya meminta sahabat-sahabat saya merespon kembali kepada saya, namun selepas itu saya menukarkan kepada saudara Izzat pula. Banyak respon yang kami perolehi dan rata-ratanya tidak bersetuju.

Beberapa respon yang saya perolehi ialah:

SMS 1

"Mana boleh gitu, Ore lain bljr free jer.. Apa2 hal pun.. AKU TAK SETUJU..Naik yuran aku buat DEMO.."

SMS 2

"Kenaikkan ini membebankan pelajar aku tak bersetuju dengan kenaikkan yang mendadak ini. Aku rela berdemonstrasi untuk mempertahankan hak kita. Dulu yuran untuk 21 jam kredit RM 571.20, tetaoi sekarang dah jadi RM 999.60. Mati!! kita nak makan apa?"

SMS 3

"Kami tak bersetuju kerana kenaikkan terlalu membebankan. Duit PTPTN pun tak cukup, nak nak belanja makan duit apa?.."

SMS 4

"Ya Allah! Kenapa tiba-tiba naik, jgn menzalimi pelajar..Ya Allah, bantulah para penuntut ilmu dari kerakusan, ketamakan, dan kezaliman para pentadbiran"

Daripada respon yang saya perolehi ini, saya dapat menyelami hati sahabat-sahabat saya ini. Rata-rata dikalangan mereka berasal daripada keluarga yang miskin dan sederhana. Perbelanjaan mereka di Universiti semata-mata bergantung kepada pinjaman PTPTN. Saya pernah merespon isu sebegini di dalam artikel yang lalu.

Walaupun pihak APIUM memberi alasan bahawa kenaikkan ini disebabkan oleh kenaikkan kos perkhidmatan yang disediakan, namun begitu ianya harus mengambil kira kebajikan mahasiswa juga.

Saya merupakan salah seorang mahasiwa yang berlatar belakangkan keluarga sederhana, dan saya dapat menyelami hati sahabat-sahabat yang senasib dengan saya. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana nasib sahabat-sahabat saya.

Sebelum ini saya pernah termenung memikirkan nasib sahabat-sahabat yang terpaksa keluar kolej kerana tidak mampu menanggung yuran kolej yang tinggi walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko bagi pelajar muslimat. Saya juga termenung memikirkan berkenaan nasib sahabat-sahabat yang terpaksa mengikat perut dihujung semester. Cukup nikmat bagi mereka diketika itu walaupun hanya merasai "meggi" segera.

Kepada pihak akademi fikir-fikirkanlah. Dengarilah suara hati kami mahasiswa yang rata-rata dianaiyai ini. Tiada lagi alasan yang dapat kami berikan melainkan:

1. Kadar pinjaman PTPTN masih lagi ditahap yang lama dan ianya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan pelajar bagi setiap semester.

2. Para pelajar yang dibebani dengan yuran kolej kediaman. Bagi kolej yang mempunyai makanan adalah RM1400 dan bagi kolej yang tiada makanan adalah RM1200. Kos ini adalah lebih tinggi berbanding dengan kampus lain seperti UKM dan UIAM yang rata-rata yuran kolej mereka sekitar RM400 sehingga RM 500.

3. Para pelajar dibebani dengan kenaikkan harga makanan dan kos sara hidup juga semakin meningkat sehingga menyebabkan ada dikalangan pelajar APIUM yang mengambil pendekatan tinggal menumpang disurau dan masjid sekitar lembah pantai kerana tidak berkemampuan untuk membayar yuran.

4. Akademi Islam merupakan fakulti yang tidak memerlukan kepada alatan yang berbentuk makmal dan bahan kimia yang memerlukan kepada kos yang tinggi.

5. Terdapat dikalangan pelajar yang berlatar belakangkan keluarga miskin dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada duit pinjaman PTPTN untuk tujuan pengajian.

6. Kami menjangkakan kesan kenaikkan tersebut akan menyebabkan ramai dikalangan pelajar APIUM akan tersekat untuk mengambil peperiksaan pada semester akan datang disebabkan hutang mereka melebihi RM 500 dengan pihak Universiti Malaya. Dengan kadar yuran yang sedia ada pun sudah ramai dikalangan pelajar akademi yang berhutang melebihi RM500.

7. Menyebabkan para pelajar tidak dapat memfokuskan diri untuk meningkatkan kecemerlangan akademik kerana memikirkan masalah keewangan yang dihadapi. Seperti yang pihak tuan maklumi, terdapat ramai dikalangan pelajar akademi yang bekerja secara sambilan kerana kesempitan wang untuk perbelanjaan seharian.

Program Anak-anak Bernas Zon Tengah



Program Bersama Anak-anak Bernas
Nur Lembah Pangsun
3-6 Jun 2009

Sunday, July 8, 2012

Kini Star Bucks, Dulu Mac Donald


Logo Star Bucks

Pertama kali saya mendengar istilah Star Bucks adalah selepas sahaja Tsunami melanda negara. Sebelum ini, saya agak ketinggalan kerana tidak mengetahui istilah-istilah sedemikian. Ketika itu seorang pensyarah jurusan Sains Sosial dan Politik berbangsa India daripada Universiti Sains Malaysia telah membuat satu ulasan yang agak menarik hati saya.

Antaranya beliau menyentuh berkenaan iktibar daripada kisah Tsunami. Ujar beliau, pengajaran daripada Tsunami ini rakyat Malaysia seharusnya kembali memperkasakan amalan keagamaan dalam kehidupan seharian mereka. Tambah beliau lagi, anak-anak muda yang sering menghabiskan masa di Bukit Bintang, Star Bucks seharusnya bertaubat dan kembali kepada penghayatan Agama yang sebenar.

Di kala itu saya tercari-cari apakan itu Star Bucks. Sehinggalah saya menghuni bumi Kuala Lumpur, barulah saya mengenali apa itu Star Bucks. Sebuah kedai yang agak ekslusif dan hanya di masuki oleh anak-anak muda dan golongan yang berada. Walaupun mengenali apa itu Star Buck, namun begitu saya tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki untuk merasai secawan kopinya yang dikatakan agak mahal harganya.

Apabila Datuk Idris Harun, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi membuat pengumuman bahawa pihak kementerian akan membenarkan kafe francais yang agak mahal harganya seperti Star Bucks, Kopitiam, Donkin Donut untuk beroperasi di semua kampus seluruh negara. Beliau menyatakan hal ini bagi mengatasi masalah mahasiswa yang kebanyakkan memilih Star Bucks untuk menyiapkan tugasan mereka kerana mempunyai perkhidmatan wireless yang mudah.

Apa yang saya hairankan adalah, mengapa cadangan sebegini dibuat tanpa mengkaji kesan kepada para pelajar terlebih dahulu. Apakah perkara ini merupakan pandangan peribadi beliau ataupun keputusan diperingkat KPT sendiri. Sebelum ini saya pernah mengkritik tindakan Datuk Harun yang membuat kenyataan seolah-olah memperlekehkan pelajar jurusan pengajian Islam dengan menyatakan bahawa mereka adalah golongan sukar untuk mendapat pekerjaan. Pelajar-pelajar bidang agama ini di samakan dengan pelajar jurusan IT. Ketika itu saya mendapat maklum balas daripada seorang insan yang agak tinggi jawatannya mengatakan ucapan Dato Harun adalah merupakan pandangan peribadi beliau.

Begitu juga di dalam hal ini, adakah pandangan yang diberikan oleh Datuk Harun adalah pandangan peribadi beliau semata-mata. Di saat-saat kerajaan melaung-laungkan supaya rakyat mengubah cara hidup, adakah wajar diwujudkan kedai mewah seumpama ini kepada para pelajar.

Sekiranya ketiadaan wireless dijadikan alasan, ianya terlalu rapuh untuk dipatahkan. Sudah tiba masanya semua kampus diseluruh negara dilengkapi dengan kemudahan wireless di semua tempat. Bahkan di Universiti Malaya sendiri perkhidmatan wirelessnya adalah secara menyeluruh dan boleh diguna pakai oleh seluruh mahasiswa. Apa gunanya sekiranya pihak pentadbiran universiti mengenakan cas yuran yang tinggi, namun begitu tidak mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada warga kampus.

Pandangan beliau yang mengatakan bahawa terdapat dalam kalangan mahasiswa yang menghabiskan malam-malam mereka untuk menyiapkan tugasan Star Buck, ianya merupakan kes yang terpencil. Sekiranya dibuat kajian secara mendalam, jumlah yang berbuat sedemikian peratusan tidaklah terlalu besar dan boleh dijadikan alasan sebagai faktor pendesak mewujudkan Star Buck di dalam kampus negara kita.

Oleh yang demikian, saya bersama-sama sahabat di dalam PMIUM akan berusaha memperjuangkan isu ini sehingga ke peringkat atasan. Mungkin ianya bakal mengulangi sejarah lampau dimana PMIUM berhadapapan dengan francais Mac Donald, namun kali ini Star Bucks pula bakal menjelma. Antara perancangannya, bantahan isu ini berserta cadangan jalan penyelesaian akan dibawa terus ke peringkat KPT dan pihak pentadbiran Universiti . Tunggu dan lihat apakah maklum balasnya.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri


Bismillahirrahmanirrahim,

Puji dan syukur itu hanya ke hadrat Allah yang menguasai langit dan bumi, daratan dan lautan, bahkan seluruh jumantara alam ini. Dia yang mengurniakan nikmat dan rezeki, hikmat dan kebijaksanaan buat warga dunia dalam menyusuri sebuah denai bernama “kehidupan.” Segala pengabdian dan keserahan selayaknya milik Allah semata. Selawat dan kasih juga buat Junjungan Rasul tercinta; tidak pernah jemu dan lelah membimbing umat ini cara pendakian ke syurga, agar kelak kita dapat bersama-sama menghirup dingin dan enaknya secangkir minuman dari telaganya.

Alhamdulillah, kita masih lagi diberi nafas buat menyedut udara segar hari raya yang penuh keberkatan. Hari ini sewajarnya didendangi dengan alunan hamdalah sebagai tanda kesyukuran kita kepada-Nya. Sebagaimana yang dinukilkan oleh Ar-Rahman dengan firman-Nya:

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman supaya dia bersyukur kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

Hari raya merupakan hari kebesaran orang Islam. Ia diraikan sebagai hari kemenangan kita dalam menewaskan hawa nafsu dan perkara-perkara keji dalam tempoh sebulan Ramadan yang baru berlalu. Justeru, umat Islam telah diperintahkan untuk membesarkan hari ini dengan cara keluar beramai-ramai menunaikan sembahyang hari raya. Sabda baginda Nabi:

Diriwayatkan daripada Ummi ‘Atiyyah r.a., katanya: “Kami telah diperintahkan supaya keluar pada hari raya sehinggakan anak-anak pingitan dan diperintahkan juga wanita-wanita yang sedang haid supaya keluar, lalu berada di belakang kaum lelaki dan bertakbir mengikut takbir mereka serta berdoa dengan doa mereka dengan mengharap keberkatan pada hari raya serta kesuciannya.”

Bergelar seorang mahasiswa, kita seharusnya menyambut Aidilfitri ini dengan suasana penuh intelek dan adab. Hal ini kerana gelaran ‘mahasiswa’ itu sendiri telah meletakkan kita pada suatu taraf keilmuan yang tinggi. Perkara ini tidak harus dipandang enteng kerana segala kekhilafan dan salah tingkah yang kita lakukan akan terus mencorak pemikiran dan persepsi masyarakat terhadap mahasiswa secara keseluruhannya. Sebagai contoh, seorang mahasiswa haruslah tidak menyambut Aidilfitri ini sebagai seorang hedonis. Meskipun diakui bahawa darah muda sentiasa terpikat pada fenomena penuh hiburan, namun bukanlah dengan cara melolong, melakak dan berdansa sehingga mengkesampingkan nilai-nilai Islam dan adat-adat ketimuran yang penuh sopan dan adab. Ia bukan selayaknya dilakukan oleh seorang mahasiswa yang memiliki ilmu yang tinggi.

Seorang mahasiswa yang menanam ilmu di dadanya ialah seseorang yang mempraktikkan adab dan akhlak seperti yang disarankan oleh al-Quran. Ketibaan Aidilfitri disambut penuh syukur dan keinsafan, sopan-santun dan berkasih sayang. Allah berfirman dalam Surah al-Nahl, ayat 90:

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Mahasiswa yang memerhati serta menghayati firman Allah ini pasti akan memenuhi detik-detik Aidilfitri dengan sentiasa berbuat kebaikan kepada kaum keluarga, tolong-menolong pada hari raya, bersedekah kepada orang yang memerlukan meski kepada kanak-kanak yang berkunjung ke rumah semata-mata menuntut duit raya, serta dalam masa yang sama tidak lalai dan leka dengan hiburan-hiburan yang mengalpakan, bahkan juga tidak mengikut hawa nafsu, terutamanya nafsu makan yang sentiasa memuncak ketika menghadap sajian yang enak dan lazat.

“Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” Al-A’raf: 31

Justeru, hiasilah Aidilfitri yang berkunjung sekali dalam setahun ini dengan amalan-amalan yang bermanfaat. Pulanglah ke kampung berhari raya bersama keluarga dan saudara-mara bagi mengeratkan silaturrahim. Walau sesibuk mana pun kita, usahlah menjadikan kesibukan itu sebagai alasan, kerana Rasulullah sendiri menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga dan sahabat-handai baginda, sedangkan baginda merupakan orang yang lebih sibuk; sebagai utusan Allah dan seorang pemimpin negara. Apatah pula kita yang hanya menyandang jawatan-jawatan kecil di kampus sahaja?

Untuk akhirnya, nikmatilah Hari Raya Aidilfitri ini sebagai suatu tanda kemenangan kita menewaskan hawa nafsu dalam Ramadan yang telah berlalu. Semoga kunjungannya kali ini menjadikan kita sentiasa insaf dan bermuhasabah serta lebih bersyukur.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Friday, July 6, 2012

Petronas paling untung, Rakyat Makin Bingung

Semalam, terpampang di muka akhbar “Petronas ke-8 paling untung didunia”. Menurut laporan ini, Petronas berada di dalam ranking kelapan syarikat paling untung di dunia tahun lalu berdasarkan senarai Fortune Global 500 majalah perniagaan Fortune.
Di Asia pula, ia muncul syarikat paling untung, mengambil tempat pengeluar kereta terbesar dunia, Toyota Motor dari Jepun, yang mendahului senarai itu pada 2006.

Dalam senarai keseluruhan Fortune Global 500 yang menyenaraikan 500 syarikat terbesar dunia berdasarkan jumlah pendapatan pula, Petronas berada di kedudukan ke-95.
Di kalangan syarikat Asia, Petronas yang meraih pendapatan dalam nilai dolar Amerika Syarikat AS$66.218 bilion dan keuntungan AS$18.118 tahun lalu, berada di kedudukan ke-16 senarai berkenaan.

Perkara ini mungkin menjadi kebanggaan pemimpin negara, namun begitu keuntungan ini langsung tidak memberikan kelegaan kepada seluruh rakyat di negara kita. Hal demikian kerana, dalam kita berbangga Petronas mencapai keuntungan yang berlipat kali ganda ini, rakyat dibebankan dengan kenaikkan harga minyak yang melampau. Makin bingung rakyat dibuatnya.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Wednesday, July 4, 2012

Khasiat Madu Lebah

Masuk minggu ini, sudah dua minggu saya mengamalkan minum madu yang di bancuh dengan air gau. Selepas membaca tulisan Dr Danial Zainal Abidin di dalam buku beliau, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden barulah saya tahu bahawa Rasulullah S.A.W gemar minum air kosong yang dicampur madu. Sabda baginda, “Sesiapa yang meminum madu di waktu pagi, tiga kali pada setiap bulan, dia tidak akan menghidap penyakit berbahaya”.

Kebetulan minggu ini juga saya berkeupayaan untuk memiliki sebuah buku terjemahan Tib An-Nabawiy ataupun Berubat Mengikut Cara Nabi karangan Ibnu Qayyim Al-Jauziah.Sebelum ini, saya sendiri belum mendalami apakah isi kandungan buku ini. Namun begitu, selepas ianya sering disebut oleh Tuan Guru Haron Din di dalam siri-siri kelas perubatan di Darus Syifa’, hati saya tertarik untuk mendapatkan buku ini. Tuan Guru selalunya menyebut tajuk buku ini yang diterjemahkan di dalam bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Medicine of Prophet’. Pernah suatu ketika saya terjumpa karya tersebut. Namun apabila dibelek herganya, saya melupakan hasrat tersebut sehinggalah menjumpai karya terjemahan di dalam bahasa melayu yang jauh lebih murah.


Saya tidak kisah berapa pun harga buku tersebut, kerana sudah menjadi “kewajipan” bagi diri saya untuk membeli sekurang-kurangnya sebuah buku sekiranya melewati kedai-kedai buku. Hal demikian kerana, sudah menjadi tabiat saya sejak kecil menggilai buku untuk diisi ke dalam rak buku saya dan dibaca apabila mempunyai masa yang terluang. Setidak-tidaknya buku tersebut menjadi rujukan apabila saya hendak menyampaikan kuliah atau tazkirah di surau. Namun begitu disebabkan kekurangan dana, saya menangguh dahulu pembelian di peringkat awalnya.

Berkenaan madu ini, pernah Tuan Guru Haron Din memberi petua kepada kami di dalam kelas. Katanya madu ini berkhasiat bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang tidak sempurna atau tidak tersusun. Caranya ialah dengan minum sesudu madu bersama seulas bawang putih. Sekiranya di amalkan secara berterusan nescaya akan pulih kitaran haid seperti sedia kala.

Mungkin ini hanya sekadar petua, namun begitu sekiranya di amalkan saya yakin ianya mempunyai khasiat yang tersendiri. Mungkin coretan ini terlalu ringkas jika hendak dibandingkan dengan kandungan kedua-dua buku perubatan yang saya baca ini. Untuk mengetahui lebih lanjut bolehlah sahabat-sahabat membacanya sendiri dengan mendapatkan buku tersebut.

Sunday, July 1, 2012

‘Nur’ Yang Mencerahkan Kehidupan Jacko

Ibarat cahaya yang menyuluh gelita, begitulah perumpamaan hidayah yang menyentuh daun hati seseorang hamba. Lorong hidupnya seolah terang benderang, di samping rasa tenang yang mendakap diri. Tiada pula rasa galau dan resah yang mencekup hati.

Ya, hidayah itu milik Allah. Dia berhak memberikannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan, di antara hamba pilihan-Nya ialah Michael Jackson atau dikenali dengan ‘Jacko’, seorang penyanyi kontroversi Amerika Syarikat yang telah memilih nama Islamnya sebagai ‘Mikaeel,’ nama malaikat pemberi rezeki. Super star muflis berusia 50 tahun itu dilaporkan memakai jubah dan kopiah ketika mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan seorang imam dalam sebuah majlis yang diadakan di rumah seorang rakannya. Majlis tersebut diadakan beberapa hari sebelum Jacko dihadapkan ke Mahkamah Tinggi London terhadap tuntutan saman berjumlah RM 25.3 juta yang dikenakan oleh Putera Abdulla Al-Khalif dari Bahrain.


Jacko hidup membesar sebagai penganut Kristian, kemudian mula mendakap iman ketika beliau menggunakan studio di rumah kawan rapatnya untuk merekodkan album baru. Rakannya, seorang penulis lagu Kanada, David Wharnsby yang telah memeluk Islam dengan nama Islamnya ‘Dawud Wharnsby Ali,’ dan juga produser Philip Bubal dengan nama barunya ‘Idris Philips’ merupakan antara orang yang bertanggungjawab terhadap pengislaman Jacko. Penyanyi Britain, Yusuf Islam, 60, atau nama asalnya ‘Cat Stevens’ juga mengalu-alukan Jacko sebagai saudara baru.


Hidayah harus dicari. Cara mencarinya adalah dengan tekun menggali ilmu, kerana semakin banyak ilmu, maka kita akan semakin produktif dalam beramal dan hati kita akan semakin bening dan tenang. Semoga Allah menjaga kita daripada dicabutnya nikmat-Nya yang mahal, iaitu hidayah.