Tuesday, September 11, 2012

Mahasiswa sokong tawaran kursus pengajian blog


Cadangan pihak pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk memperkenalkan kursus berkaitan pengajian blog dilihat sebagai suatu langkah positif ke arah melahirkan lebih ramai penulis-penulis blog di negara kita. Melalui kursus yang ditawarkan ini, sekurang-kurangnya dapat membantu pengendali blog yang baru dan berkeinginan untuk berkecimpung di arena blog ini.

Walaupun perkembangan blog dinegara kita bergerak dengan pantas, namun begitu ianya hanya bergelegar dikalangan golongan yang berminat dengan dunia politik sahaja. Tetapi kehangatan dunia blogger ini kurang menyerap masuk ke dalam diri mahasiswa. Kebanyakkan daripada mereka masih kurang sedar mengenai kepentingan blog. Hal demikian kerana kebanyakkan daripada mereka tidak mempunyai ilmu dan kepakaran untuk membina dan mengendalikan blog.

Sebab itulah saya melihat cadangan memperkenalkan kursus berkaitan pengajian blog ini suatu cara untuk mengatasi masalah ini. Perlaksanaannya bukan sekadar dilakukan di UiTM bahkan di seluruh universiti dan dijadikan sebagai subjek elektif untuk semua pelajar. Melalui pembelajaran ini secara tidak langsung mutu dan etika penulisan dikalangan blogger muda ini dapat diterapkan dengan baik.

Sekiranya ianya dijadikan sebagai subjek elektif bagi semua pelajar, sekurang-kurangnya pihak unversiti telah membantu mahasiswa supaya celik IT. Hal demikian kerana ramai dikalangan mahasiswa di negara masih lagi lemah dari sudut penguasaan IT.

Selain daripada menulis hal-hal yang berkaitan isu semasa, blog juga dilihat sebagai medium yang terbaik bagi golongan mahasiswa berkongsi ilmu-ilmu yang diperolehi mereka dibilik-bilik kuliah untuk disebarkan kepada masyarakat. Kebanyakkan kajian yang dibuat oleh golongan mahasiswa ini boleh dikongsi dengan golongan masyarakat dan bukannya disimpan didalam muzium peribadi mereka.

Melalui lapangan blog ini, golongan mahasiswa lebih bebas menulis tanpa terikat dengan etika kewartawanan tertentu yang diguna pakai oleh media tradisional. Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah ''Sesiapa sahaja (media alternatif) boleh menulis. Mereka tidak perlu mempunyai kepakaran dalam bidang pemberitaan, tidak tertakluk kepada etika pemberitaan dan jarang sekali didakwa di mahkamah. Kebebasan ini menakutkan,'' katanya.

Media alternatif ini juga boleh dijadikan ruang oleh golongan mahasiswa ini untuk menjadi pengimbang kepada media perdana yang dikatakan mempunyai banyak berita-berita yang berbentuk propaganda dan didakwa cenderung melakukan penipuan dan berat sebelah. Oleh itu melalui ruang yang ada mahasiswa sewajarnya memperbetulkan kesalahan tersebut melalui medium blog ini.

Monday, September 10, 2012

Kelahiran Rasulullah SAW




Salam...

Bersempena dengan Maulidur Rasul, ana mengambil satu artikel yang ditulis oleh Saudara Faizal sangat menarik isinya untuk dikongsi bersama di dalam blog beliau iaitu http://fullfilth.blogspot.com/2006/04/kelahiran-nabi-muhammad-saw.html. Semoga kita sama- sama mendapat sedikit ilmu yang dikongsi bersama...Sesungguhnya yang baik dan yang buruk itu dari Allah, cuma ia ditaklifkan kepada diri ana yang ini... Artikel ana insya Allah akan kunjung selepas ini.

Insya-Allah...Sama-samalah kita menbacanya...

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah di Mekah al-Mukarramah sebagai pembuka rahmat di pelosok alam semesta.

Kelahiran baginda menjadi seribu satu tanda bahawa baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyampaikan risalah Islam. Ia merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam.

Baginda mempunyai kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas dilahirkan. Peristiwa luar biasa ini disebut sebagai Irhas.

Irhas bermaksud satu perkara luar biasa bagi manusia yang normal dan hanya diberikan kepada bakal nabi. Irhas dikategorikan kepada tiga:


Irhas yang dinyatakan di dalam kitab yang tidak boleh diubah atau dipinda.
Alamat-alamat kerasulan yang dibuktikan melalui perkhabaran daripada orang alim melalui ilham dan sebagainya.
Kejadian luar biasa yang berlaku semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.


Sehubungan itu, masih ramai masyarakat Islam yang sebenarnya tidak mengetahui peristiwa di sebalik kelahiran baginda. Ini kerana masih banyak lagi rahsia yang belum tersingkap.

Oleh itu penulis terpanggil untuk menyingkap kembali peristiwa di sebalik kelahiran baginda Junjungan Besar s.a.w.

Sebenarnya banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Pertama, semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bondanya, Aminah, beliau tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang hamil.

Kehamilannya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia.

Selain itu kehamilannya ditandai dengan haidnya terputus dan berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke wajahnya.

Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi.

Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk membincangkannya.

Ketiga, peperangan tentera bergajah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentera bergajah dengan menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi.

Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah.

Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.

Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa.

Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata ``Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.''

Semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Aminah ditemani Asiah dan Maryam. Dalam hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Isa dan Musa.

Keadaan ini diterangkan dalam kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman.

Semasa baginda dilahirkan, bondanya menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria.

Ia dilihat seolah-olah seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat.

Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling awal yang menyatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan.

Aminah sendiri melihat baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa.

Kemudian bondanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar sebuah seruan ``Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik''.

Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah. Setengah riwayat menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk.

Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda, berhala-berhala yang terdapat di situ mengalami kerosakan dan kemusnahan.

Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib, ``Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, ``telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.''

Selain itu di tempat yang lain pula satu goncangan berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan di antara tanda -tanda keruntuhan kerajaan tersebut.

Namun, api di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah padam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan orang-orang Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.

Dalam waktu yang sama, pada malam kelahiran baginda, Tasik Sava yang dianggap suci tenggelam ke dalam tanah.

Setelah baginda lahir, tembakan bintang menjadi kerap sebagai tanda bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat.

Dalam riwayat yang sahih dan masyhur, ketika baginda diasuh oleh ibu susunya iaitu Halimatus Sa'diah, ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau.

Begitu juga binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak. Selain itu, Nabi tidak pernah diganggu walaupun oleh seekor lalat termasuk juga pakaian baginda.

Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas kepala melindungi baginda daripada panas matahari.

Ketika berusia empat tahun, sedang baginda bermain-main dengan saudara susuannya, tiba-tiba datang malaikat mendekati baginda iaitu malaikat Jibril dan Mikail.

Lalu membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah dan mencuci gumpalan darah itu dengan salji. Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya.

hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 : Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (wahai Muhammad)?

Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda adalah khatamun nubuwwah, penutup segala nabi.

Perkara -perkara luar biasa ini telah membuktikan kepada kita kemuliaan baginda di sisi Allah, sekali gus sebagai bukti kerasulannya.

Di samping itu, bukti -bukti tersebut juga dijelaskan di dalam kitab kitab terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil sebagai rasul yang terakhir.

Kem Solat Felda Bukit Tangga


Barisan Fasilitator bersama Guru SKFBT


Kolam ikan, kenangan sejak dulu

Sunday, September 9, 2012

Mahasiswi dan Perjuangan Hak Wanita


Terdapat 6 orang jururawat pelatih lelaki yang hadir pada kuliah pagi tersebut

Ramai lelaki sering mengeluh apabila berbincang soal wanita. Lazim kedengaran suara-suara kecil yang memperkecilkan wanita seperti wanita kuat merajuk, wanita kuat menangis, wanita itu dan ini. Rata-ratanya bercakap soal kelemahan kaum wanita.

Entah mengapa, seringkali dikaitkan wanita dengan sikap yang negatif. Seringkali saya fikirkan, sekiranya wanita itu kuat merajuk, ada juga lelaki yang kuat merajuk. Bahkan lebih teruk rajuknya dari wanita. Sekiranya wanita dituduh kuat menangis, tidak dinafikan lelaki juga ada yang kuat menangis.

Begitu juga lelaki. Sekiranya ditunding jari bahawa lelaki tidak kemas dan bersih, maka ada wanita yang bukan pengemas dan pembersih orangnya. Sekiranya di katakan lelaki itu kuat, ada juga wanita yang kuat. Begitulah perumpamaan yang cuba saya bawakan di dalam kisah permulaan berkenaan wanita ini. Saya tertarik untuk membincangkan berkenaan wanita ini kerana ianya adalah suatu perkara yang menarik. Bahkan ianya menjadi topik hangat yang dibincangkan secara serius di mana-mana sahaja.

Tidak dinafikan, sikap merendah-rendahkan kaum wanita ini sudah menjadi tradisi dan tertanam di dalam kehidupan masyarakat Melayu di negara kita. Bahkan secara tidak sedar, kadang-kadang kita sendiri melakukannya.


Jururawat Pelatih PPUM sedang mendengar kuliah

Apabila membincangkan berkenaan persoalan lelaki dan wanita, seringkali kita melihat kaum wanita selalu diperlekehkan. Mereka seringkali dianiyai dan di pergunakan. Antaranya penganiyaan dari sudut perlaksanaan (genital multination) ataupun penyiksaan terhadap alat kelamin anak perempuan, sexual and emotional harassment dan sebagainya. Apabila mereka cuba bersuara, seringkali hak mereka dinafikan.

Daripada situasi inilah lahirnya golongan-golongan feminisme yang memperjuangkan hak kebebasan wanita. Hal demikian kerana mereka bangun untuk menyatakan rasa hati mereka bahawa sebagai seorang manusia, mereka juga mempunyai hak kebebasan. Dari sini lahirnya golongan-golongan Feminisme Liberal, Feminisme Radikal, Feminisme Marxis.

Sengaja saya menyentuh secara ringkas berkenaan isu ini diperingkat permulaan saya menulis artikel ini. Hal demikian kerana saya akan cuba membincangkan isu ini sehingga selesai sehingga menyentuh dasar-dasar berkenaan dengan The Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW) yang cuba diserap masuk di dalam negara kita dengan beberapa pengubah suaian bertepatan dengan hukum syarak. Di dalam artikel ini saya hanya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan sikap mahasiswi-mahasiswi ahli Gerakan Mahasiswa Islam di negara kita.

Sudah hampir 50 tahun Gerakan Mahasiswa Islam mewarnai corak politik kampus dinegara kita, tidak dinafikan kebangkitan ini sering dikaitkan dengan kewujudan sayap kiri perjuangan iaitu golongan siswi itu sendiri. Di mana saja selalu di kumandangkan bahawa mahasiswi adalah sayap kiri perjuangan, tanpa mereka maka cacatlah perjuangan ini.

Saya tertanya-tanya adakah disebabkan doktrin sayap kiri perjuangan inikah yang menyebabkan golongan mahasiswi takut untuk ke hadapan memimpin perubahan dan mencorakkan gerakkan mahasiswi yang lebih bertenaga dan radikal.

Sebagai contoh dinegara barat, golongan-golongan radical feminisme ini dengan beraninya bangkit memperjuangkan hak mereka. Walaupun perjuangan mereka salah kerana mahukan kesamarataan yang melampau, misalnya sekiranya kaum adam boleh berjalan di bandar tanpa memakai baju mereka juga mahu melaksanakan perkara sedemikian.

Apa yang saya ingin tekankan disini, sewajarnya semangat memperjuangkan hak wanita yang ada pada golongan ini diambil oleh siswi GMI bagi memperkasakan gerakan mahasiswi. Tidak cukup dengan sekadar melaungkan slogan 3 B (Bijak, Berani dan Berdikari), tetapi mahasiswi seharusnya bergerak maju ke hadapan untuk memperjuangkan hak mahasiswi yang tertindas.

Banyak isu yang boleh diperjuangkan misalnya berkenaan gangguan seksual, manipulasi wanita dan sebagainya. Sewajarnya mahasiswi-mahasiswi GMI menghadam di dalam diri mereka berkenaan dengan peruntukkan dan dasar-dasar yang dibuat untuk menjaga hak wanita. Saya yakin dan percaya, sekiranya hal sedemikian dilaksanakan nescaya akan lahir generasi ahli gerakan yang mempunyai wawasan dan cita-cita yang besar tanpa terikat dengan kepompong pemikiran lama yang hanya suka menjadi follower, bukannya menjadi leader.

Saya mengharapkan suatu hari nanti, wujudnya golongan-golongan mahasiswi yang lebih agresif sehingga ketika itu mungkin mereka sendiri yang memacu perjuangan gerakan mahasiswa. Siapa tahu suatu hari nanti pengganti Ust Dzulkhairi di dalam GAMIS adalah seorang wanita. Tidak mustahil perkara ini berlaku, kerana perlunya pemerkasaan wanita di setiap peringkat gerakan Islam.

Sekiranya hari ini wanita sudah mampu bergelar Naib Canselor, sudah mampu menjadi Gabenor bank negara, maka sewajarnya ahli gerakan mahasiswi merencanakan hala tuju mereka untuk meletakkan tokoh-tokoh mahasiswi untuk mengisi jawatan-jawatan penting di masa akan datang.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


Friday, September 7, 2012

ASHAB AL-UKHDUD DALAM AL-QURAN

Allah merakamkan kisah Ashab al-Ukhdud seperti yang terdapat dalam Surah Al-Buruj ayat 4-8 yang bermaksud :

Celakalah kaum yang menggali parit. (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya. Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!

PERBEZAAN PENDAPAT MENGENAI ASHAB AL-UKHDUD

Terdapat perbezaan pendapat mengenai kisah Ashab al-Ukhdud. Berpandukan ayat tadi, terdapat beberapa penafsiran mengenai “yang menggali parit” dalam ayat keempat daripada surah al-Buruj.

Pendapat Pertama

Menurut satu penafsiran daripada Saidina Ali bin Abi Talib, yang empunya parit itu ialah salah seorang daripada raja-raja Parsi pada zaman purbakala yang mendesak ulama’-ulama’ supaya menghalalkan orang mengahwini mahramnya. Namun, ulama’-ulama’ tersebut tidak mahu menghalalkan perkara yang haram itu kerana yang empunya peraturan itu bukan mereka tetapi Allah. Oleh kerana ulama’-ulama’ itu tidak mahu berbuat demikian maka raja itu telah murka. Lalu baginda bertitah supaya digali parit dan dinyalakan api di dalamnya. Seterusnya, ulama’-ulama’ tadi dilemparkan ke dalam parit tersebut. Akhirnya, habislah ulama’-ulama’ yang mempertahankan kebenaran tadi mati terbakar.

Pendapat Kedua

Menurut satu riwayat pula daripada Saidina Ali bin Abi Talib juga, pada zaman purbakala, pernah terjadi di Yaman peperangan antara kaum yang beriman kepada Allah Yang Maha Esa dengan kaum yang mempersekutukan Allah (musyrikin). Oleh kerana golongan beriman sedikit dan golongan musyrikin ramai, maka kalahlah golongan yang beriman. Lalu dengan kejamnya golongan musyrikin itu menangkap, menawan dan menghukum golongan yang beriman tadi. Mereka menggali parit, menyalakan api di dalamnya dan seterusnya mereka melemparkan golongan beriman tadi satu persatu ke dalamnya.

Pendapat Ketiga

Ahmad Mustafa Al-Maraghiy dalam tafsirnya pula menjelaskan, kejadian ini telah berlaku di Yaman hingga ke Najran. Kisah tersebut adalah mengenai pemeluk agama Nabi Isa berdakwah kepada kaumnya yang masih beragama Yahudi. Dia memberitahu bahawa Allah telah mengutus Nabi Isa dengan syariat baru, bagi mengganti syariat mereka. Sebahagian kaum ini beriman. Kejadian ini sampai kepada Raja Dhu Nuwas, seorang yang beragama Yahudi. Baginda segera datang bersama tenteranya dari kota Himyar. Ketika orang itu ditangkap, mereka disuruh memilih antara tetap menganut agama Yahudi atau dibakar.

Mereka dibuatkan parit, lalu dipenuhi bahan bakar dan dinyalakan. Kemudian, seorang daripada orang yang beriman itu dibawa ke parit lalu disuruh membuat pilihan. Orang yang gentar melihat api dan takut akan seksaan, kembali menganut agama Yahudi. Akan tetapi, orang yang tetap teguh kepada nabi Isa dan menganggap ringan seksaan dunia kerana keyakinan mereka terhadap pahala yang telah Allah janjikan, mereka sanggup dilemparkan ke dalam api sampai binasa.

Pendapat Keempat

Terdapat dalam hadis yang menceritakan tentang seorang anak kecil yang kuat imannya dan telah menerima banyak pertolongan daripada Allah sehingga terlepas daripada pelbagai bahaya. Anak kecil tadi akhirnya mati dibunuh setelah raja yang menyuruh untuk membunuh anak kecil tadi membaca suatu pengakuan atas keesaan Allah.
Kisah tersebut berkisar mengenai anak kecil itu, rahib yang mengajarnya ilmu agama, dan ahli sihir. Ramai manusia ketika itu telah beriman setelah meyakini kebenaran yang dianuti oleh anak kecil tersebut. Sehingga akhirnya, berita keimanan mereka tadi telah sampai kepada raja. Akibat tidak mahu kembali kepada agama asal, mereka dihumban ke dalam parit yang dipenuhi dengan api yang marak menyala.

Pendapat Kelima

Ibnu Kathir pula menyatakan dalam tafsirnya, penggalian parit dan pembakaran terhadap orang yang beriman yang teguh pada keyakinannya itu bukanlah hanya berlaku sekali tetapi berkali-kali. Ibnu Kathir menyalinkan keterangan daripada Abi Hatim bahawa penggalian parit pembakaran itu pernah terjadi di Yaman pada zaman raja-raja Tubba’ serta di Constantinople pada zaman Konstantin memaksa orang Nasrani melepaskan kepercayaan mereka yang asli tentang Tauhid.

Kejadian tersebut juga pernah berlaku di Iraq iaitu di negeri Babil pada zaman Raja Buchtinashr (Nabukadnesar) yang membuat berhala dan memaksa orang menyembah berhala itu. Maka Nabi Danial tidak mahu mengorbankan kepercayaannya kepada Allah Yang Maha Esa bersama kedua temannya ‘Izriya dan Mikhail. Lalu dibuat parit dan dimasukkan kayu kering kedalamnya serta dihidupkan api. Ketiga-tiga mereka tadi kemudiannya dimasukkan ke dalam api tadi. Namun, sesampai mereka dalam api yang menyala tadi, mereka tetap hidup dengan segar dan keluar dengan selamat sedangkan bersama-sama ketiga mereka yang beriman tadi dimasukkan juga sembilan orang yang dianggap pemberontak kepada raja. Tetapi, kesemua sembilan orang yang dianggap pemberontak tadi hangus terbakar.

Saturday, September 1, 2012

3 Mac 1924 & Loket Emas Emak


Gambar Hiasan

Tadi saya apabila mendapat sms daripada naqib saya menyatakan bahawa esok 3 Mac 2008 merupakan genap 84 tahun jatuhnya kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah. Saya sendiri lupa kerana sibuk memikirkan tentang PRU 12.

Bila saya fakir kembali, 84 tahun bukannya suatu jangka masa yang terlalu lama. Nenek saya sendiri pun sudah menjangkau usia 90 tahun. Namun saya rasakan dia sendiri tidak tahu apa itu kerajaan Turki Uthmaniyah.

Ketika nenek sebelah ayah meninggal dunia, nenek ada meninggalkan 3 keping loket emas. Apabila saya meneliti loket tersebut rupa-rupanya ia adalah wang emas di zaman kerajaan Turki Uthmaniyyah. Salah satu daripada wang emas tersebut diberikan kepada emak. Namun emak sendiri pun tidak tahu bahawa itu adalah dinar emas zaman khilafah Turki Uthmaniyyah.

Kata mak dia hendak leburkan sahaja loket tersebut. Mujur saya menghalang. Kata saya pada mak, “ Mak tau tak, ni duit mas zaman kerajaan Turki.Mak jangan lebur, rugi mak.Nanti kalau mak tak mau, mak jual kat cek.Biaq cek simpan”.

Sehingga hari ini mak masih memakai duit tersebut dan dijadikan loket. Namun begitu saya yakin walaupun dia memaki loket tersebut, namun mak masih belum memahami sejarah loket tersebut. Yang mak tahu, nenek membeli wang emas tersebut di Mekah beberapa puluh tahun yang lalu. Tetapi mak tidak tahu tentang hebatnya kerajaan yang mengeluarkan mata wang emas yang mak pakai.Saya sendiri yakin, bukan orang kampung seperti emak saja tidak tahu, bahkan ramai dikalangan cerdik pandai di bandar juga tidak cakne hal ini.

Mudah-mudahan ulangtahun ini memberi semangat baru kepada generasi baru untuk mengembalikan kegemilangan Islam dan kembali berkuasa. Mungkin ia juga memberikan semangat baru kepada kita untuk menghadapi PRU 12 ini. Saya sendiri sentiasa mengharap, akan muncul kuasa baru Islam suatu hari kelak.