Friday, October 12, 2012

Warkah buat Menteri Besar



Daripada anak-anak Kedah

"Alhamdulilah, segala pujian milik Allah jua. Kesyukuran kepada Allah swt yang telah memberikan kemenangan kepada pihak MB. Semoga dengan kemenangan ini akan menambahkan lagi rasa syukur kita kepadaNya di samping sentiasa berwaspada dengan ujian dan cabaran di masa mendatang.

Diharapkan kemenangan ini membuka lembaran baru untuk rakyat negeri MB untuk mengamalkan Islam dan memperdalamkan lagi pengetahuan Islam dengan lebih terbuka lagi. Di harapkan agar surau - surau di negeri MB kembali dipenuhi jemaah sama ada untuk bersolat, belajar serta menambahkan lagi pelbagai skop kefahaman tentang Islam

Ubahlah minda dan fikiran rakyat negeri MB ke arah kemajuan Ilmu bukan kemajuan harta benda dan wang pangkat. Fokuskan ke arah rasa hormat dan kasih kepada mereka yang berilmu pengetahuan bukan kepada yang berpangkat dan berharta. Tampilkanlah seramai mungkin alim ulamak untuk mengajar rakyat negeri MB berkaitan dengan Kehidupan yang kekal abadi iaitu kehidupan selepas mati iaitu akhirat. Ingatlah MBku dengan mengingati mati jiwa dan peribadi seseorang mudah terbentuk dan di bentuk.

Wahai MBku, Kemajuan yang sebenar ialah mampu melahirkan kawan dan lawan yang memahami tentang Islam. Kawan menjadi sahabat hanya dengan agama menjadi penghubungnya. Lawan menjadi lemah dengan adanya Allah menjadi pendindingnya. Amanah yang diberi oleh Allah gunakan sebaiknya untuk mengabadikan kepada Allah. Lemah atau gagahnya kita juga bergantung kepada Iman di hati. Sahabat, rakan taulan hatta rakyat di bawah MB juga demikian sifatnya. Seandainya Iman sudah teguh dihati mungkin lahir nanti pengebom berani mati di negeri MB. Islam itu memerintah bukan diperintah.

Wahai MBku, Belilah jiwa - jiwa muda negeri MB dengan Islam. Islam menggalakkan kita bersukan tetapi mesti mematuhi peraturan tentang sukan. Jangan terlalu lalaikan remaja dengan sukan (bola) sebaliknya gunakanlah senjata sukan ini sebagai medan mengembangkan agama. Penuhilah stadium dengan papan tanda dan kain rentang mengingatkan rakyat MB tentang alam selepas mati. Contohnya 'Bola Kita Kuat, Sembahyang Kuat Juga', 'Kedah Maju Sukan, Kedah Maju Islam'. Ingatlah kita bergerak tidak sehaluan dengan pemimpin terdahulu.

Gerakkan YB - YB di negeri MB untuk bergerak seluruh daerah setiap Jumaat, Jelajahlah setiap kampung dan Pekan. Tonjolkanlah yang kepimpinan agama mampu segalanya. Berdirilah setiap YB - YB di mimbar - mimbar masjid, kenalilah rakyat, dalami masalah mereka. Ingatlah hanya pemimpin yang berjiwa rakyat yang mampu bertahan di alaf ini. Rasanya majoriti rakyat di negeri MB belum terkejut dari tidur sejak merdeka lagi. Sebaiknya sedarkanlah mereka tentang mengingati mati.

Wahai MBku, Judi dan arak rasanya lumrah di negeri ini. Sebenarnya kebanyakkan rakyat masih jahil tentang kefahaman Islam. Rasanya bukan 100% salah diletakkan pada mereka. Tarbiahlah, tazkirahlah mereka, sayangilah mereka kerana mereka juga makhluk yang dijadikan oleh 'Tuan' yang sama seperti MB dan YB - YB. Pihak berkuasa tempatan boleh memasang banner - banner untuk menghalang kemungkaran ini. Contohnya 'Hasil judi Umpama Babi', 'Judi memusnahkan ekonomi Islam' dll.

Pintu - pintu sempadan jangan dilupa. Maksiat yang dilakukan di seberang jangan di pandang enteng. Cara yang sebaiknya ialah memasang kain - kain rentang untuk mengingatkan rakyat negeri MB. 'Zina itu Haram', 'Rejam sehingga Mati Hukuman Yang layak Untuk Penzina' boleh dipasang. Ingatlah kebanyakkan anak - anak muda di negeri MB jahil benar agamanya. Punca inilah menyebabkan mereka tidak takut untuk melakukan maksiat.

Bidang ekonomi rasanya mudah diatasi. Tanah terbiar memenuhi negeri. Sayur dan buahan mudah dikendati. Fakir dan miskin cubaan Ilahi, fikiran di beri penyelesaian di cari, Zakat dan sedekah kaedah di beri. Pendidikan agama dilupa jangan dari buaian ke liang lihad bidang ini MB terpaksa perhati, jangan tercicir walau satu generasi.

Maaflah MBku, harapan menggunung ini hanya seorang dari rakyatmu, mungkin beribu lagi harapan membuku, InsyaAllah dengan semangat dan azam di hati iaitu untuk Islam segalanya pertolongan Allah datangnya pasti. Kalau di muka bumi yang sempit ini kita ada halaman sendiri, Syurga Allah di akhirat tidak mungkin hidup kongsi - kongsi. So bersama - samalah kita berharap agar segala manusia yang beragama Islam sama - sama kita tinggal di sana. InsyaAllah...

Ihsan dari sahabat

PMIUM & NUSMS; Antara Dua Dunia

Bergambar bersama Nani sebelum pulang

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan National University of Singapore’s Muslim Society (NUSMS) kembali bersatu! Asalnya persatuan yang sama, tetapi terpaksa berpisah kerana Universiti Malaya (UM) Singapura berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1959. Semasa UM di Singapura PMIUM mula diasaskan oleh Syed Naquib Al Attas pada tahun 1956. Agenda faham Islam yang digagaskan oleh beliau berkembang selari dengan umur PMIUM yang sudah berusia 52 tahun.


Semalam (21 Ogos 2008) pmium berkesempatan untuk berjumpa dengan seorang pimpinan baru NUSMS, Nani Iryani yang memegang jawatan Bendahari Agung. Selain saya, pimpinan PMIUM yang lain iaitu Mohd Faisal, Nik Razak, Fariza dan Aisyah turut hadir perjumpaan ini. Nani yang baru seminggu memegang jawatan Bendahari Agung datang ke Malaysia untuk menghadiri ‘Global Youth Symposium’ yang diadakan di UM.

Dalam perjumpaan tersebut banyak perkara telah dibincangkan mengenai PMIUM dan NUSMS. NUSMS yang sekarang berada bawah pimpinan Saudara Harun sedang berusaha untuk menaikkan kembali imej NUSMS dikalangan mahasiswa Islam di NUS. Situasi dan pendekatan NUSMS dan PMIUM sudah jauh berbeza, walaupun objektif faham Islam kepada mahasiswa tetap sama. Perkara ini berlaku kerana pentadbiran negara Singapura dan umat Islam di sana adalah minoriti. Beberapa perkara telah dicadangkan kepada Nani untuk meningkatkan kembali imej NUSMS di sana. Perbincangan lebih tertumpu kepada kaedah untuk mewujudkan dan memberi kesedaran Islam kepada Muslim di Singapura.

sumber: minda-mahasiswa.blogspot.com

Wednesday, October 10, 2012

Coretan kenangan Muktamar BADAR siri 1


Saff kepimpinan bersama pihak pentadbiran KISAS

Telah 2 tahun meninggalkan bumi waqafan, namun aura tarbiah yang diperolehi disana masih dirasai.Bersyukur rasa kerana diberi peluang untuk merasai nikmat dipimpin oleh senior-senior yang kebanyakkan berjiwa “ulama”.

Antara keunikan bumi waqafan antaranya gerakan Badan Dakwah Dan Rohani (BADAR).Terkejut rasanya, sebuah intsitusi yang sedah berusia “emas” ini sebenarnya merupakan rahim melahirkan pemimpin berjiwa tarbiah.

Bersama guru penasihat BADAR KISAS dan pemerhati dari UIA

Muktamar thanawi BADAR yang dianjurkan setiap tahun merupakan satu kejutan buat saya sendiri.Tidak pernah saya melihat muktamar diperingkat sekolah yang semantang itu.Bahkan apabila masuk ke Universiti, kemanisan muktamar sebegini tidak dapat dirasa.

Suasana perbahasan pelajar yang rata-rata boleh digelar golongan “cream of the cream” ini seringkali menimbulkan kekecohan dengan pelbagai isu yang ditimbulkan.Usikan lucu Ustaz Kamal Mahdi selaku pengerusi tetap muktamar masih lagi tengiang-ngiang di telinga.


Saff kepimpinan BADAR 04/05 sedang bermuktamar


Dari kiri Hakimi (UM), Azuan (Al-Azhar),saya dan Taufik Adib (Al-Azhar)

Tuesday, October 9, 2012

Babi yang menggemparkan


Sebelum ini tidak pernah terfikir "babi' akan menginap di dalam Universiti Malaya. Namun begitu, baru-baru ini pada 16 Januari, tanpa disangka-sangka telah muncul kepala babi di dalam surau Akademi Pengajian Islam.

Entah angkara siapa yang melakukan perkara yang keji ini. Babi yang begitu menyentuh sensitiviti umat Islam ini diletakkan di dalam surau yang suci.

Sama-sama kita doakan, mudah-mudahan siapa yang membuat kerja terkutuk ini diberi hidayah oleh Allah S.W.T.

Sunday, October 7, 2012

CAKE jadi KACE

Jam menunjukkan 1.04 pagi. Mata masih belum mengantuk. Kebetulan petang tadi saya tidur selepas pulang dari kelas. Agak keletihan ditambah pula dengan kesejukan hujan. Guruh berdentan dentum.Malam ini, sahabat-sahabat seusrah mengadakan Qiamullail bersama di Masjid. Jadi beramai-ramai meninggalkan Baitul Taubah (nama rumah kami) untuk tidur di masjid. Kawan-kawan semua sudah tidur, memberikan saya peluang memetik kekunci lap top Daniel atapun lebih di kenali sebagai Pok Nya. Sahabat yang saya kira cukup komited dengan gerak kerja tarbiah di kampus.

Ketika berusrah bersama Abang Dzul dahulu, beliau menggelar Pok Nya dengan gelaran nama seorang sahabat. Hal demikian kerana tubuhnya yang kecil dan kerjanya cukup komited. Walaupun lahir dipenghujung tahun 1984, namun begitu akibat kelewatan didaftarkan, maka di surat beranak Pok Nya tercatat 1985 sebagai tahun kelahiran.


Saya membelek artikel berkenaan PPSMI yang diletakkan diatas tabung diluar masjid. Apabila membaca artikel tersebut, fikiran saya melayang kembali ke alam kanak-kanak. Entah kenapa, memori yang sudah lama terpadam kembali bermain difikiran. Saya tersenyum sendirian.

Hal demikian kerana ketika di sekolah rendah saya seorang yang lemah di dalam mata pelajaran matematik dan bahasa Inggeris. Pernah suatu ketika, semasa berada di darjah dua, guru matapelajaran bahasa inggeris (kami panggil teacher) memberikan kami soalan untuk dijawab. Soalan tersebut berupa abjad-abjad dimana kami diminta untuk menyusun abjad tersebut menjadi perkataan. Masih ingat, pada ketika itu saya bersama Nizam (sahabat sepermainan), berbincang untuk mengisi jawapan pada kertas tersebut.

Antara abjad yang diberikan kepada kami adalah, A.E.C.K dengan menunjukkan sebiji kek. Selepas berbincang dengan sahabat saya, kami dengan yakin mengisi jawapan tersebut dengan menulis KACE. Kami yakin pada ketika itu bacaannya adalah kace yang menyerupai kaca.

Setelah menginjak dewasa baru saya tahu bahawa jawapan saya itu salah. Entah mengapa memori silam boleh diingati kembali. Sedangkan peristiwa tersebut berlalu lebih dari 10 tahun lamanya.

Walaupun lemah dalam matematik dan bahasa inggeris, tetapi saya dapat menguasai dengan baik matapelajaran sains dan kajian tempatan. Di mana 3 tahun berturut-turut saya mendapat anugerah pelajar matapelajaran sains terbaik. Bahkan ketika peperiksaan hujung tahun, pernah suatu ketika saya menjawab hanya dalam masa 30 minit, berbanding 1 jam yang diperuntukkan. Isu ini dibincangkan sehingga sampai ke pengetahuan PIBG, namun begitu saya sedikit kelegaan apabila keputusan yang dikeluarkan menggembirakan hati saya. Sehinggalah saya berjaya menamatkan pegajian di peringkat UPSR dengan keputusan 4A1B. Walaupun pada ketika itu saya cukup lemah di dalam penguasaan matematik dan bahasa inggeris, tetapi saya dikurniakan anugerah oleh Allah untuk merasai nikmat mendapat A dalam matematik dan B dalam bahasa inggeris. Padanlah dengan usaha saya yang hanya mengulangkaji pelajaran dengan lastik di dalam hutan. Itu pengalaman saya sebagai seorang budak kampung. Mengalami kesukaran untuk menguasai Bahasa Inggeris, tetapi berjaya menguasai sains dengan baik kerana di ajar dalam bahasa melayu.

Namun begitu, situasi ini tidak berlaku kepada adik saya, Nasuha. Dia sekarang bergelut sedaya upaya untuk memahami pelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris. Sudahlah subjek Bahasa Inggeris berterabur, dibebani pula dengan dua subjek yang cukup berat ini.

Pernah dia mengadu yang dia tidak memahami apa yang diajar oleh guru. Emak dan ayah hanya mampu mengeluh. Hendak diajar, mereka sendiri tidak faham. Saya tidak menyalahkan emak dan ayah. Saya yakin guru di sekolah tidak akan menyalahkan mak dan ayah saya. Hal demikian kerana mereka tahu bahawa rata-rata dalam kalangan peneroka felda tidak boleh berbahasa inggeris. Setakat menyebut perkataan market yang sudah menjadi percakapan harian orang kedah mungkin boleh. Tetapi untuk menterjemahkan perkataan dan teori sains dan matematik yang agak kompleks mungkin mustahil.

Tetapi saya yakin, pejuang bangsa yang mahukan sistem PPSMI ini diteruskan, mereka mungkin tetap akan menyalahkan ibu bapa. Hal demikian kerana mereka tidak mampu untuk membantu anak-anak menguasai bahasa inggeris. Dengan sumber keewangan yang kurang mencukupi untuk menampung kehidupan menyebabkan rata-rata mereka gagal menghantar anak-anak ke pusat tuisyen untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa inggeris ini.

Dari kenyataan sombong mereka setiap kali mengeluarkan kenyataan, membayangkan akan keegoan yang tersemat di dalam hati menteri pendidikan ini. Saya tidak hairan mengapa anak-anak mereka mampu menguasai bahasa inggeris dengan baik. Antaranya disebabkan budaya dirumah yang menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pertuturan. Bagi anak-anak yang lembab pula dihantar ke pusat pengajian bahasa inggeris dan akhirnya dihantar ke luar negara untuk belajar atas pembiayaan peribadi. Sudah tentu apabila pulang ke tanah air sudah mampu bertutur menggunakan bahasa inggeris dengan baik.

Saya terfikir sendirian, sekiranya adik-adik saya di felda yang sedang membangun sukar untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa inggeris, bagaimana pula dengan masyarakat orang asli dan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak? Pengalaman bermalam di kampung orang asli Kuala Mu, meninggalkan kesan mendalam pada jiwa saya. Bukan setakat menggunakan bahasa inggeris, menggunakan bahasa melayu untuk memahami sains dan matematik pun belum tentu boleh atau tidak.

Persoalannya, mengapakah PPSMI yang di laksanakan ini tidak mengambil kira berkenaan keseluruhan masyarakat di dalam Negara kita? Hanya disebabkan idea seorang yang sudah lanjut usianya, ianya terus dilaksanakan tanpa mengambil kira pendapat cendiakawan dan tokoh pemikir tanah air.

Mungkin niatnya murni untuk memartabatkan bangsa melayu dengan penguasaan bahasa inggeris, namun begitu sehingga hari ini saya melihat anak-anak melayu terutama diluar bandar sudah kehilangan selera untuk belajar. Mereka lebih gemar untuk ponteng kelas dan melakukan aktiviti yang tidak sihat. Keadaan ini jelas jika diperhatikan dalam kalangan anak-anak muda di kampung-kampung dan felda-felda.

Lebih jelas lagi syarikat percetakkan buku-buku teks mendapat laba yang banyak kerana mendapat tender mencetak buku teks bertimbun-timbun dalam masa yang singkat. Kesannya anak-anak melayu di kampung terus liat untuk membelek buku tersebut walaupun sudah berjuta ringgit dihabiskan untuk mencetaknya.

Sewajarnya, pihak kerajaan perlu memikirkan kaedah yang terbaik baik bagi menyelesaikan masalah pelajar yang malas untuk belajar. Di tambah pula dengan jenyayah dalam kalangan pelajar yang menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Pihak kementerian tidak seharusnya lepas tangan di dalam menangani isu ini.

Tindakan Dato Seri Hishamuddin, selaku menteri pelajaran yang membuat kenyataan melulu dengan mengatakan bahawa Dato’ Hassan Ahmad, A. Samad Said dan beberapa tokoh lain dipergunakan untuk kepentingan politik pembangkang cukup memalukan. Adakah golongan cerdik pandai ini terlalu naïf didalam membuat pertimbangan di dalam memperjuangkan hak bangsa. Hanya kerana memperjuangkan isu bangsa terus dilabelkan sebagai pembangkang.

Mengapa lontaran sebegini harus keluar daripada mulut seorang menteri yang kononnya memperjuangkan bangsa dan agama. Dengan gaya percakapan yang agak sombong, dia tetap mempertahankan PPSMI yang dipolopori oleh bekas ketuanya.

Saya memuji tindakan pimpinan PAS, PKR dan sebahagian daripada pimpinan UMNO. Walaupun ramai pimpinan UMNO bersatu mempertahankan PPSMI, namun begitu Khairy Jamaluddin dan Dato’ Puad Zarkhasyi jelas menolak perlaksanaan PPSMI ketika di wawancara oleh wartawan baru-baru ini.

Persoalannya kepada DS Hishamuddin, Adakah kedua-dua pemimpin UMNO ini turut termakan dengan hasutan pembangkang? Atau adakah mereka sedar bahawa PPSMI ini merugikan bangsa sendiri.

Saturday, October 6, 2012

Jururawat dan Ghulam Dakwah

Baru-baru ini saya dijemput oleh seorang junior sekolah lama untuk memberi sedikit pengisian di Kolej tempat dia belajar. Dalam perbincangan dengannya, dia hanya menjelaskan kepada saya apakah harapan dia dan sahabat-sahabatnya. Saya juga agak “blur” memikirkan apakah kaedah terbaik untuk memberi penerangan kepada mereka. Memang mudah untuk berteori, tetapi bagaimana untuk mempraktikkan dalam kehidupan seharian mereka sebagai seorang jururawat. Bagaimana saya hendak menerangkan kepada mereka, apakah kaitan jururawat dengan dakwah.Bagi yang membaca artikel ini anda jangan tersalah anggap, junior saya merupakan jururawat lelaki.(^^,). Ini membuatkan saya lebih mudah mendampingi mereka.

Apabila difikirkan metod apakah yang paling sesuai untuk digunakan, pada ketika itu saya mendapat idea untuk membincangkan kisah ashabul ukhudud ataupun dikenali juga dengan kisah ghulam dakwah. Lebih mudah untuk saya terangkan kepadanya memandangkan dia sendiri merupakan bekas pelajar KISAS. Bahkan berjaya dengan cemerlang dalam STPM dan mendapat tawaran dalam jurusan Syariah di Akademi Pengajian Islam, Univeristi Malaya. Oleh kerana minat yang mendalam untuk menceburi bidang kejururawatan, maka dia memilih bidang yang mula diteroka oleh golongan lelaki ini.

Selalunya bidang kejururawatan ini dikaitkan dengan wanita sahaja. Bahkan Tokoh Jururawat tersohor daripada kalangan kaum wanita. Tanggal 12 Mei setiap tahun, diseluruh dunia para jururawat akan mengadakan sambutan Hari Jururawat Sedunia, yang diambil sempena kelahiran tokoh jururawat Florence Nightingale. Dikisahkan bahawa pada tahun 1854, Nightingale bersama sekumpulan jururawat merawat mangsa Perang Crimea. Hasil daripada kisah inilah tercetusnya idea untuk menubuhkan sebuah institusi kejururawatan yang khusus.

Dengan lahirnya Jururawat lelaki yang berjiwa Islam, secara tidak langsung ianya memberikan ruang yang lebih luas untuk dakwah Islam bergerak. Tambahan pula jururawat merupakan orang yang lebih dekat dengan pesakit. Sekurang-kurangnya dengan adanya jururawat sebegini urusan hal ehwal orang Islam di dalam wad lebih terjaga. Maruah orang lelaki juga terjaga. Sekiranya sebelum ini jururawat wanita yang bertugas untuk membersihkan alat sulit pesakit, namun begitu tugas ini boleh diambil alih oleh kaum lelaki.

Saya sendiri mengidamkan, suatu hari nanti semua jururawat yang beragama Islam melaksanakan tugas mengikut ajaran Islam itu sendiri dengan berbekalkan semangat berdakwah. Sekiranya wujud pesakit yang tidak bersolat, maka merekalah yang akan memberi tunjuk ajar. Setiap rawatan yang diberikan kepada para pesakit dimulakan dengan nama Allah dan doa. Mudah-mudahan dengan keberkatan tersebut akan memudahkan para pesakit yang selama ini jauh daripada mengamalkan ajaran Islam untuk terbuka menerima hidayah Allah.

Kepada junior saya ini, saya bekalkan kisah Ghulam Dakwah ini supaya dapat memotivasikan dia dan sahabatnya untuk berdakwah. Insya Allah, saya akan nukilkan kisah ini berserta pengajaran di dalam ruangan maya ini untuk dikongsi bersama rakan-rakan. Untuk menghurai cerita ini, saya merujuk kepada buku Iman dan Harakah, tulisan Hashim Soor dan Ashabul Ukhdud pedoman dijalan dakwah, tulisan Sheikh Rifa’e Surur. Saya juga merujuk kepada tulisan tesis sahabat karib saya, iaitu Ustaz Idris B Yusoff Al-Hafiz, yang bertajuk “ Metodologi dakwah dalam kisah ashabul ukhdud”.

Insya Allah, saya akan cuba mendokumenkan hasil ceramah saya di dalam blog ini secara bersiri untuk berkongsi intipati pengajaran Kisah Ashabul Ukhdud. Perbahasan kisah ini saya akan masukkan ke dalam blog secara bersiri dan setiap siri mempunyai pengajaran yang tersendiri.

Friday, October 5, 2012

Golongan Belia Perlu Sensitif Terhadap Sosialisasi Politik Negara

Oleh: Mohd Faisal Bin Mustaffa


Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada awal tahun ini pernah mengumumkan bahawa terdapat seramai 4.9 juta penduduk yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pengundi. Daripada jumlah tersebut, 80 peratus terdiri daripada mereka yang berumur 21 hingga 30 tahun. Fakta ini dapat ditafsirkan, iaitu sejumlah 3.9 juta belia yang layak belum mendaftar sebagai pengundi. Sementara menurut laporan oleh Merdeka Centre baru-baru ini, 1/3 golongan belia berumur 20 hingga 35 tahun tidak mendaftar sebagai pengundi. Antara alasan mereka ialah undian mereka tidak mampu mempengaruhi dasar-dasar kerajaan dan masa depan negara, tiada masa untuk mengundi, tidak berminat, malas, tidak penting, malah ada yang mengatakan tidak tahu di mana hendak mengundi!

Keseluruhan sikap generasi muda ini benar-benar menunjukkan bahawa mereka tidak peka dan sensitif terhadap sosialisasi politik negara. Jika belia kita terus demikian pasif serta tiada ‘cakna’ dalam aktiviti sosialisasi politik, nescaya kita akan ketandusan pemimpin-pemimpin berkaliber dalam proses pengurusan dan pentadbiran negara pada masa hadapan. Kajian Indeks Belia Malaysia 2006 turut membuktikan kenyataan ini, di mana hasil kajian mereka mendapati sosialisasi politik dalam kalangan belia adalah di peringkat sederhana baik sahaja kerana ramai belia yang tidak membabitkan diri dalam aktiviti sosialisasi politik.

Sosialisasi politik seperti yang didefinisikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Prof. Dr. Samsudin A. Rahim, bermaksud bagaimana kita menerima norma, nilai dan pengalaman politik dalam kehidupan kita. Sosialisasi politik dipengaruhi oleh ibu bapa, ahli keluarga, rakan sebaya, malah media dalam menerima atau menolak sesuatu parti politik. Namun keentengan generasi muda terhadap perkara ini menyebabkan mereka menunjukkan sikap berkecuali dengan persekitaran yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka menganggap bahawa tugas kerajaan adalah untuk melakukan sesuatu yang dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka, namun mereka tidak membantu dari segi kestabilan politik negara dengan tidak mendaftar sebagai pemilih, atau telah mendaftar, tetapi tidak membuang undi. Kajian juga melaporkan bahawa generasi muda berumur 21 hingga 25 tahun (seperti yang diketahui pada usia ini lazimnya terdiri daripada golongan mahasiswa di IPTA atau IPTS) adalah paling ramai belum mendaftar, bahkan menyatakan tidak mengundi dalam pilihan raya yang lalu sekalipun telah mendaftar. Ternyata ia merupakan fenomena yang merugikan negara.

Antara faktor golongan belia hari ini kurang sensitif terhadap aktiviti sosialisasi politik negara mungkin disebabkan hidup mereka dikaburi keselesaan hidup yang sedang mereka nikmati. Selagi mana makan dan minum mereka tidak terputus, selagi itulah mereka akan terus bersikap sambil lewa terhadap kesedaran berpolitik. Memetik kata-kata seorang tokoh: “Orang Melayu ini hanya memikirkan kesenangan hidup, tidak fikir tentang hak Melayu, demokrasi, isu kemiskinan, pemimpin korup dan lain-lain…” Selain itu, persepsi generasi muda yang sempit terhadap politik turut mempengaruhi sikap berkecuali mereka dalam sosialisasi politik negara. Mereka beranggapan bahawa keterlibatan dalam politik adalah berusaha untuk menjadi pemimpin parti politik di peringkat tempatan dan nasional. Di samping itu, kelekaan golongan muda dalam arus hiburan dan keseronokan menyebabkan mereka mengabaikan hal-hal lain yang lebih besar dalam kehidupan mereka, khususnya dalam berpolitik.

Langkah drastik perlu diambil oleh kerajaan dan semua pihak perlu menggembleng tenaga ke arah yang sama. Kerajaan mungkin boleh menyuntik kefahaman dalam kalangan belia dengan mewujudkan satu subjek khas di sekolah atau di institut pengajian tinggi tentang struktur dan pentadbiran kerajaan Malaysia supaya golongan belia akan sedar dan memahami tanggungjawab mereka dalam kepentingan politik negara. Pelbagai kursus untuk menimbulkan kesedaran berpolitik juga wajar dilaksanakan oleh semua pihak bertanggungjawab. Di samping itu, pihak IPT juga perlu memainkan peranan untuk mencetuskan kesedaran dalam kalangan para mahasiswa serta menggalakkan mereka keluar mengundi dengan mengisytihar cuti umum ketika pilihan raya berlangsung.

Kesimpulannya, golongan belia perlulah sedar untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang akan berlangsung tidak lama lagi demi kebaikan agama, bangsa dan negara. Kita tidak sepatutnya berfikiran negatif terhadap sosialisasi politik kerana kepemimpinan masa hadapan tetap akan tergalas di bahu kita. Persediaan ilmu dan pengalaman pada masa sekarang adalah amat penting dalam melicinkan pentadbiran politik negara pada masa hadapan. Semoga pilihan raya pada kali ini menyaksikan pilihan raya yang lebih telus dan adil seperti mana hasil kajian oleh TNS dan Gallup International, iaitu Malaysia adalah negara paling bebas dan adil dalam kalangan negara Asia. Sebarang usaha untuk meningkatkan ketelusan dalam pilihan raya perlu disokong meski terpaksa menandakan jari dengan dakwat bagi yang telah mengundi. Biarlah ia dianggap kolot asalkan bersih. Dengan itu, mungkin negara kita akan tersenarai pula sebagai negara paling adil dan bersih dalam pilihan raya dalam kalangan negara-negara dunia! Siapa tahu?

Tuesday, October 2, 2012

Awas untuk Muslim!! Kasut Kulit Babi



Di kala orang sibuk berbicara berkenaan kandang Babi di negeri Selangor, saya ada menerima email daripada seorang sahabat berkenaan kasut daripada kulit babi. Saya tertarik melihat kasut tersebut. Rupanya lebih comel daripada seekor Babi. Jika ianya menyerupai Babi sudah tentu orang ramai jijik untuk membelinya, namun begitu setelah di jadikan kasut, saya rasa ramai dikalangan umat Islam terbeli barangan ini.


AWAS!!! KASUT DIPERBUAT DARI KULIT BABI MURAH & TERHANGAT DI PASARAN… BANYAK TERDAPAT DI KOMPLEX2 MEMBELI BELAH TERUTAMANYA :

KALAU ADA 3 TITIK DALAM SATU TOMPOK TU, JANGAN BELI! TU KULIT BABI.


1.PERANGIN MALL
2.BUKIT JAMBUL
3.GURNEY PLAZA
4.KOMTAR
5.SUNSHINE
6.GAMA
7.PACIFIC
8.SOGO
9.QUEENSBAY

CARA NAK SYAK KASUT KULIT BABI IALAH:

1.HARGANYA LEBIH MURAH DARI KASUT KULIT LAIN
2.BIASANYA KULIT BABI NI DI PASANG DI DALAM BAHAGIAN KASUT SEBAB DIA LEMBUT
3.PALING BANYAK PADA KASUT KANAK-KANAK PEREMPUAN
4.KASUT WANITA PUN BANYAK (YANG SALE GILER TU...PERATI BETUL2)
5.SANDAL LELAKI
TOLONG PESAN KAT ORANG RUMAH ATAU SAPA2 SAJA KAUM MUSLIM KITA

Monday, October 1, 2012

Tudung Datin Siti???

Inilah imej terbaru Datuk Siti Nurhaliza. Siti memilih mengenakan tudung yang nampak ringkas, mudah dipakai, tersendiri dan menarik. Konsep tudungnya hasil ilham sendiri yang dibincang dengan pereka terkenal Datuk Bernard Chandran.

Perhatikan pada bahagian depan sekeliling tudung. Tudung Siti dihiasi labuci yang menyerlahkan lagi kejelitaan wajahnya. Sekali imbas persis tudung Benazir Bhuto, tapi milik Siti ada sentuhan glamor. Tunggu... selepas ini banyaklah timbul rekaan tudung baru yang menyerupai tudung Siti di pasaran.
Sebelum ini banyak tudung yang dinamakan Tudung Siti Nurhaliza. Dengan guna nama Siti tanpa fesyen yang tersendiri, tudung tersebut laris terjual pada musim perayaan lalu. Kali ini benar-benar ada tudung jenama Siti Nurhaliza.
"Siti tak tahulah apa nama tudung ini," kata Siti. Siti muncul di khalayak ramai pertama kali selepas mengerjakan Haji apabila memenuhi undangan Chef Wan yang mengadakan majlis ulang tahunnya di Restoran Tarbush, Starhill Gallery, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Ahad (6 Januari) lalu.

Tentu peminat tertunggu-tunggu bagaimanakah imej Siti sekembali daripada mengerjakan Haji. Yalah... sebab dia pernah meluahkan hasrat mahu mengenakan tudung selepas menunaikan fardhu Haji. Kini Siti sudah mengotakan janjinya.
Rombongan Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa selamat tiba di tanah air pada 27 Disember lalu. Mereka berangkat pada 13 Disember. Siti bersyukur kerana niat mengerjakan Haji terlaksana. Apatah lagi ibadatnya berjalan lancar dan dipermudahkan. Dia juga sihat sepanjang di tanah suci.
"Inilah imej Siti... Siti harap peminat menyukainya. Siti sampaikan bagaimana bentuk tudung yang Siti mahu kepada Datuk Bernard dan dia yang reka tudung ini. Siti sudah tempah beberapa pasang tudung dengannya, kebanyakannya berwarna hitam. Belum ada banyak koleksi kerana Siti belum keluar ke mana-mana majlis lagi. Kalau menyanyi nanti pun beginilah lebih kurang bentuk tudung Siti.
"Sesuailah untuk Siti yang akan bergerak apabila menyanyi di atas pentas nanti. Sebenarnya bahagian depan yang ada labuci ini berat sikit, kainnya pun keras pada bahagian depan, jadi tudung ini akan sentiasa melekat di atas kepala. Cara pakai pun mudah, serkup sahaja di kepala.
"Kalau untuk show coraknya mungkin lainlah sikit, akan disesuaikan dengan baju yang Siti pakai," kata Siti lagi.



Allahumma solli a'la saiyidina Muhammad. Waa'la aali saiyidina Muhammad.

Nabi Muhammad SAW bersabda:
'Barangsiapa yang kesukaran pada menunaikan hajat/cita-citanya maka hendaklah dia memperbanyakkan membaca selawat untukku kerana sesungguhnya selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.'