Friday, November 9, 2012

Hari Interaksi PMIUM (IN-TEAM ’08)

Kepimpinan PMIUM bergambar bersama pimpinan Persatuan Mahasiswa Kelantan

Tanggal 2 Ogos 2008, bertempat di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah mengadakan Hari Interaksi PMIUM bagi sesi 2007/2008 yang diberi nama “IN-TEAM ’08.” Program yang diadakan saban tahun ini antara lain bertujuan untuk mengumpulkan ahli-ahli PMIUM yang berdaftar, memupuk persaudaraan dalam kalangan ahli baru dan lama, memperkenalkan PMIUM sebagai persatuan mahasiswa berdaftar di kampus Universiti Malaya, serta untuk memperkenalkan barisan kepimpinan PMIUM bagi sesi 2007/2008 kepada semua ahli PMIUM.

IN-TEAM ’08 telah dirasmikan oleh wakil Timbalan Naib Canselor (TNC) bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya, iaitu Prof. Madya Dr. Ahmad Salihin bin Haji Baba. Beliau menyampaikan sedikit amanat dalam menjalankan gerak kerja dakwah, khasnya melalui platform PMIUM. Majlis seterusnya diikuti oleh pelancaran perasmian tayangan multimedia berkenaan badan mahasiswa PMIUM.

Kemuncak IN-TEAM ’08 ialah pengenalan kepada barisan kepimpinan PMIUM dan sesi dialog bersama pimpinan, yang mana dipimpin oleh Setiausaha PMIUM, Mohd Faisal bin Mustaffa, selaku moderator bagi sesi dialog tersebut. Seterusnya majlis diteruskan dengan perasmian kelab-kelab PMIUM, seperti Kelab Fasilitator, Kelab Khidmas (khidmat masyarakat), Kelab Rakan Media, Kelab Sukan, dan Kelab Penyayang.

Melalui IN-TEAM ’08, warga Universiti Malaya, khususnya ahli-ahli PMIUM dapat mengenali PMIUM dengan lebih dekat dan berpeluang terlibat secara aktif dalam persatuan ini. Segala pendapat dan harapan ahli-ahli PMIUM juga dapat disalur dan diperdengarkan menerusi sesi dialog yang diadakan untuk tindakan dan perhatian oleh barisan kepimpinan PMIUM.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Tuesday, November 6, 2012

Bunga-bunga bahasa Ibu Ayah

“Buah Rambutan dah masak, buah durian pun dah masak”, ujar emak semasa saya menelefonnya sebentar tadi. Emak sempat bertanya kepada saya ke mana saya akan pergi selepas ini. Saya menjawab, esok ke Perak, program untuk isteri-isteri pegawai tentera.

Akhirnya terpacul juga dari emak bertanya, “bila nak balik”. Serba salah saya dibuatnya. Dengan lemah-lembut saya menjawab, “insya Allah cuti terdekat baliklah nanti”.

Alhamdulillah, apabila dikeluarkan jadual bulan julai, tiada program dalam minggu pertama. Inilah peluang saya untuk pulang bertemu emak dan ayah. Saya tahu emak teringin mahu melihat pasu dan beras yang dihadiahkan oleh pihak Bernas semasa ke Sarawak tempohari.

Inilah bahasa seorang Ibu atau Ayah. Saya mula memahami apabila setiap kali slot penghalang dalam kehidupan Ust Hashim sering mencerita bunga-bunga bahasa yang selalunya digunakan oleh Ibu dan Ayah.

Untuk memberi signal menyuruh si anak pulang kerana terlalu rindu antara alasan yang sering digunakan oleh kedua Ibu Bapa ialah, “Buah rambutan dah masak”, “Durian dah luruh” dan sebagainya.

Anak-anak kebiasaannya sukar memahami bahasa Ibu Bapa kerana mereka terlalu berkias. Namun begitu seharusnya si anak perlu faham bahawa Ibu Bapa sering merindukan mereka.

Seringkali ditayangkan dikaca TV, kedua orang tua diabaikan oleh anak-anak mereka sehingga sanggup dihantar ke rumah orang tua. Ada juga yang ditinggalkan di kampung berseorangan tanpa pembelaan. Namun begitu, berapa ramai yang mengambil pengiktibaran daripada kisah tersebut.

Sebagai seorang anak, seharusnya kita memahami bunga-bunga bahasa kiasan yang digunakan oleh Ibu Bapa kita yang membayangkan mereka merindui kita sebagai seorang anak. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan anak yang soleh.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri


Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang mengenali diri. Mudah-mudahan kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang.

Monday, November 5, 2012

Filem Dunia Baru The Movie Hina Islam




Perhatikan dan perhalusi, suatu penghinaan secara halus terhadap agama Islam yang kita pegang selama ini. Yang amat menyedihkan lagi, perkara ini dilakukan oleh saudara kita yang mengaku beragama Islam dan beriman kepada Allah S.W.T. Renung-renungkan.

Saturday, November 3, 2012

Berhati-hati Memberi Hati



Alhamdulillah selepas seminggu membelek-belek buku The 7 Habit Of Highly Effective People karangan Stephen Covey, semalam saya berjaya juga menghabiskan buku tersebut. Sebelum ini Ust Phahrol Md Juoi ada menyuruh saya menghadamkan buku tersebut bagi memboleh enjin carian saya bergerak cerdas seterusnya memahami modul-modul di Fitrah Perkasa dengan lebih

Sebaik sahaja menghabiskan bacaan 7 habit ini, saya mula menelaah terjemaahan makna-makna al-Quran. Selepas 10 tahun, barulah saya menunaikan hasrat Allahyarham Ust Ahmad Puad Helmi ketika saya berada di SMKAK suatu ketika dahulu. Setiap kali memberi tazkirah, beliau sering mengingatkan kami supaya membaca terjemahan al-Quran di dalam bahasa melayu sehingga habis 30 juz. Mudah-mudahan pahala saya membaca al-Quran ini akan mengalir kepada Allahyarham yang berada di akhirat sana.

Antara perkara yang menarik yang melekat dikepala saya adalah dialog diantara Allah S.W.T dan Malaikat semasa hendak diciptakan Nabi Adam A.S, kisah golongan Bani Israel yang derhaka kepada Allah S.W.T dan sebagainya. Di dalam juz 1 ini, saya ketemui banyak perumpamaan yang sinis yang difirmankan oleh Allah S.W.T bagi orang-orang yang ingkar. Misalnya perumpaan tentang nyamuk, perumpaan berkenaan orang yang menyalakan api dan beberapa perumpaan yang lain. Namun begitu, kupasan saya pada kali ini hanya akan menumpukan kepada Hati.

Persoalan Hati

Apa yang menariknya, semasa proses membaca tersebut mengimbau kembali saya kepada siri-siri ceramah di dalam kursus terutamanya berkaitan dengan pengurusan hati. Penulisan saya ini tidaklah menyeluruh kerana saya hanya menyentuh berkenaan masalah-masalah yang berlaku terhadap makhluk bernama hati ataupun “al-qalb” ini.

Di dalam ayat ke 7, persoalan berkenaan hati ini ditujukan khas kepada golongan-golongan munafik yang telah dikunci hati mereka oleh Allah S.A.W.


“Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka telah mendapat azab yang berat”.

Antara sebab hati mereka dikunci adalah kerana sifat mereka yang bermuka-muka ataupun dalam bahasa yang mudah bersifat talam dua muka. Hanya menyatakan keimanan pada luaran, tetapi hati mereka kufur dengan Allah S.W.T. Andai kata hati seseorang itu telah dikunci oleh Allah S.W.T ini, maka untuk membuka kunci tersebut, seseorang itu mestilah kembali kepada pemilik kunci tersebut. Hanya dengan kembali kepada pemilik kunci tersebutlah barulah akan terbuka hati yang telah dikunci. Untuk apa hati yang terkunci perlu dibuka? Kerana dengan kunci ini jugalah akan menjadi “kunci” untuk kita memasuki syurga suatu hari nanti.

Seterusnya pada ayat ke 10, surah Al-Baqarah ini Allah S.W.T membawakan perumpaan yang jelas berkaitan dengan hati orang-orang yang munafik dan diistilahkan sebagai “hati sakit”.

“ Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya itu. Dan mereka mendapat azab yang pedih, kerana mereka berdusta”.

Hati yang sakit ini bukanlah bukanlah boleh diubati di mana-mana hospital ataupun Farmasi. Tidak boleh juga dirawat oleh pawang ataupun bomoh. Andai kata ada pakar hati sekali pun, belum tentu dapat merawat penyakit hati sebegini.

Andai kita ingin merawat hati yang sakit ini, kembalilah kita kepada pemilik hati. Hanya pemilik hati inilah yang mengetahui ramuan dan bahan-bahan yang boleh digunakan untuk merawat hati yang sakit. Sekiranya tidak dirawat, Allah S.W.T sudah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka.

Seterusnya saya terus membaca dan meneliti, akhirnya sampai ke ayat yang ke 74. Di dalam ayat tersebut, Allah S.W.T membawa perumpaan yang menunjukkan betapa kerasnya hati manusia.


“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu. bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (air) memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan”.

Apabila membaca ayat ini, teringat saya kepada perbandingan yang selalu dibuat oleh Ust Nasib apabila membuat perbandingan diantara kerasnya batu dan kerasnya hati manusia semasa slot belajar dari alam. Beliau sering membawa bandingan bahawa kerasnya batu, air boleh memancar daripadanya. Kadang-kadang batu tersebut pecah dan menghasilkan batu-batu yang kecil. Tetapi hati manusia apabila sudah keras, maka tiada siapa yang dapat mengubahnya. Bertambah keras sehingga membawa kekufuran kepada Allah S.W.T.

Selain itu, Ust Hashim juga seringkali mengulangi kisah perjalanannya melalui lereng-lereng bukit untuk masuk ke sempadan China selepas negara tersebut membuat dasar pintu terbuka. Semasa melalui lereng-lereng bukit tersebut untuk naik ke puncak bagi mendapatkan cop visa, kelihatan pemandu land rover sentiasa memerhatikan ke atas. Perkara ini merisaukan ke semua penumpang di dalam Land Rover tersebut. Apabila ditanya mengapa beliau berpaling ke atas, beliau terus menunjuk ke arah batu-batu kecil yang sentiasa mengalir jatuh ke bawah.

Sekali imbas mungkin tiada apa-apa erti. Namun begitu, apabila kita memahami ayat ini, ternyatalah batu tersebut jatuh ke bawah kerana takutkan Allah S.W.T. Tetapi hal ini tidak berlaku kepada hati manusia yang telah buta hatinya.


Buta Mata Vs Buta Hati

Semasa melalui Dataran Fakulti Sains, salah seorang sahabat saya telah membantu Seong, seorang siswa berbangsa Cina yang buta matanya untuk melintas jalan. Seong pada ketika itu merupakan pelajar tahun akhir, jurusan TESL di Fakulti Pendidikan. Walaupun dia seorang siswi, namun begitu atas dasar kemanusiaan dia membantu menarik tongkat Seong melintas jalan bagi mengelakkan dia dilanggar oleh kenderaan yang lalu lalang disitu.

Betapa gembiranya hati Seong selepas mendapat bantuan daripada siswi tersebut. Tidak putus-putus beliau mengucapkan terima kasih kepada siswi tersebut. Bahkan berhari-hari beliau menghantar sms mengucapkan terima kasih di atas pertolongan tersebut. Betapa gembira orang buta menerima pertolongan orang yang celik ini.

Mari kita melihat situasi kedua, iaitu orang yang buta hatinya. Cuba kita bayangkan suatu hari kita bertemu dengan sahabat kita yang meninggalkan perintah Allah iaitu tidak bersolat, tidak berpuasa dan sering berkepit dengan pasangannya ke sana sini. Andai pada ketika itu kita mendekatinya dan memberi nasihat, agak-agak apa reaksinya pada ketika itu. Mungkin ada sesetengah orang yang menerima teguran sedemikian dapat menerima teguran tersebut dan terus berubah. Tetapi ramai juga yang melenting. Silap-silap kasut naik kepala kita dibuatnya. Sedangkan nasihat kita adalah untuk menolongnya.

Inilah realiti di dalam kehidupan kita seharian. Hanya orang yang Buta Mata sahaja suka akan pertolongan, manakala orang Buta Hati menolak apabila ditolong. Bagi orang buta mata ini, pertolongannya adalah untuk di hidup di dunia Manakala orang yang buta hatinya, pertolongan tersebut adalah untuk dunia dan akhirat.

Oleh itu, kepada semua pemilik hati termasuk diri saya supaya berhati-hatilah dalam menjaga hati. Berikanlah hati sepenuhnya kepada empunya hati. Hanya empunya hatilah yang bisa menenangkan hati. Renung-renungkan.

Friday, November 2, 2012

Harga Minyak Naik, Bagaimana Nasib Mahasiswa?


Pagi tadi selepas balik daripada menyelesaikan kes di Mahkamah, saya bercadang untuk menulis berkaitan dengan ura-ura kenaikan harga minyak yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada petang ini. Namun begitu saya hanya pendamkan sahaja niat tersebut memandangkan ianya perkara yang belum pasti. Kebetulan pula kerja-kerja yang bertimbun yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu.

Namun begitu, kira-kira jam 6.15 petang tersirap darah muda saya apabila membaca berita kenaikkan harga minyak yang melampau. Menurut laporan tersebut, harga petrol dinaikkan RM0.78 seliter kepada RM2.70 seliter berkuat kuasa mulai esok. Ia merupakan kenaikan harga hampir 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sekarang. Harga diesel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.50 seliter daripada RM1.58 sekarang. Aduh, makin berat bebanan perbelanjaan.

Penguatkuasaan kenaikkan ini sekali lagi menonjolkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah menteri yang seolah-olah mahu menipu rakyat. Di dalam akhbar utusan online pagi tadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menegaskan bahawa kenaikan harga minyak tidak akan berkuat kuasa serta-merta seperti yang dilaporkan sebelum ini. Kenyataan menteri tersebut jelas bercanggah dengan pengumuan yang dibuat pada hari petang tadi. Mungkin sesetengah pihak menganggap kenyataan tersebut merupakan kenyataan peribadi beliau, namun begitu saya merasakan ianya tidak wajar dikeluarkan kerana seolah-olah mempermain-mainkan rakyat.

Kenaikkan ini secara tidak langsung akan menambah kesengsaraan kepada rakyat jelata khususnya yang berpendapatan rendah. Walaupun kerajaan mencadangkan untuk menjalankan sistem subsidi berbentuk rebet, tetapi saya melihat ianya bukanlah suatu langkah yang praktikal. Hal demikian kerana kenaikkan ini akan menyebabkan harga barangan dipasaran akan melambung naik seterusnya memberikan tekanan kepada rakyat terutamanya yang tinggal dibandar besar.

Golongan mahasiswa tidak terkecuali terkena tempias ini. Di saat-saat mahasiswa tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi terutamanya kampus-kampus yang berada dibandar besar. Kenaikkan ini sekali lagi menyusutkan lagi pemikiran mereka. Bagi yang berlatarkan belakangkan keluarga yang sederhana, hidup mereka hanya berbekalkan wang pinjaman PTPTN semata-mata. Sudahlah tidak pernah dikaji kenaikannya, menyebabkan golongan ini terus dibiarkan tanpa sebarang pembelaan. Isu bayaran 3 peratus PTPTN belum selesai, dibebankan lagi dengan kenaikkan harga minyak ini. Mungkin mahasiswa kini akan terus biol memikirkan nasib mereka selepas bergelar seorang graduan.

Mungkin sesetengah pihak melihat perkara ini secara positif, namun begitu sejauh mana nasib rakyat kita akan terbela sekiranya semua pihak berpendapat sedemikian. Dasar itu baik, dasar ini baik. Akhirnya nasib rakyat yang tidak terbela. Di jangkakan kenaikkan harga minyak ini akan menyebabkan sesetengah golongan masyarakat yang akan naik minyak. Namun begitu masih ramai lagi yang mengangguk umpama belatuk menunjukkan persetujuan.

Begitu juga golongan mahasiswa, hanya segelintir sahaja yang akan “naik minyak” apabila mengetahui hal ini. Kebanyakkan daripada mereka akan menyokong bulat-bulat kenaikkan ini kerana masih lagi dijangkiti sindrom “Aku Tidak Pedulisme”. Itulah mahasiswa generasi kelahiran era AUKU ini. Sudahlah ditindas, masih lagi berrdiam diri tanpa memperjuangkan hak mereka. Fikir-fikirkan

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com
4 June 2008/ 7 Petang


p/s:artikel ini dibuat sebaik sahaja kenaikkan harga minyak diumumkan. Sebarang penambahan maklumat tidak dibuat kerana akan diulas didalam artikel akan datang.

Thursday, November 1, 2012

Perutusan Wakil Fakulti APIUM


Alhamdulillah dengan sepenuh wadah kesyukuran dirafa’kan kepada Rabbul ’Alamin di atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita terutamanya nikmat yang paling besar, iaitu nikmat Iman dan Islam, seteguh ingatan kasih buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Semoga kita tergolong di dalam golongan yang mendapat redha dan rahmatNya..Amin...

Mahasiswa dan mahasiswi harapan agama…

Sedar ataupun tidak, kita semakin hampir memasuki awal Muharam yang hanya segelintir mahasiswa mengetahui dan menantikan tahun baru, berbanding bulan Muharam, persoalan di sini adakah kita selaku mahasiswa yang beragama Islam tergolong dalam golongan tersebut? Fanatik terhadap tahun baru?, sehingga tidak mengetahui apa yang dimaksudkan bulan Muharam..Muharam adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan

Mahasiswa dan mahasiswi dirahmati Allah

Perpindahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri. Dalam tahap kedudukan Islam pada kedudukan yang mulia, mahasiswa tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada takdir. Umat Islam dahulu telah berjihad secara habis-habisan, maka sebab itulah mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan segala apa yang ada padanya adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan orang Islamlah selayaknya ia harus ditadbirkan.

Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri. Maal Hijrah atau Awal Muharram ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam. Roh Ma’al Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa mahasiswa sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap agar tidak terpesong dari landasan agamanya.

Jika kita meneliti apa yang berlaku sebelum ini, kenapa Allah menurunkan bala dan ujian kepada umat Islam, seperti tsunami, gempa bumi dan yang terbaru banjir teruk melanda Malaysia. Hal ini adalah sebagai peringatan buat kita daripada terus melakukan kemungkaran di atas muka bumi ini. Sudah menjadi lumrah manusia yang mempunyai sifat pelupa dan sentiasa perlu diingatkan, tetapi kerana sifat ego mereka mengabaikan amaran dan peringatan dari Allah.. Usahlah kita memandang masyarakat luar, kita muhasabah kembali situasi kita sebagai mahasiswa pelajar Akademi Pengajian Islam, adakah kita menjalankan peranan kita kepada sahabat-sahabat kita, adakah kita sudah menunjukkan contoh akhlah yang terbaik? Adakah kita telah mengamalkan ajaran Islam dengan landasan yang benar? Semua jawapan ada pada IMAN sahabat-sahabat sekalian. Hanya orang yang benar-benar mahukan Islam tertegak akan berusaha sepenuh tenaga dalam memperjuangkan yang hak, dan mencegah kebatilan, tetapi berapa ramaikah yang sanggup berbuat sedemikian? Ramai umat Islam tidak sedar mereka menjadi fitnah dalam agama mereka sendiri. Na’uzubillah..

Mahasiswa dan mahasiswi penggerak ummah..

Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka mahasiswa perlu melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan gerak kerja yang teratur. Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Mahasiswa juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Tanpa pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakan-Nya.

Di samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh mahasiswa untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah dengan batas-batas syarak. Mahasiswa juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka dan juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Mahasiswa tidak dapat tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini.

Mahasiswa dan mahasiswi fillah..

Bersempena awal Muharram dan peristiwa Maal Hijrah ini, marilah kita bersama-sama tajdidkan niat kita. Perkukuhkan Azam kita, merancang strategi dan menzahirkan dengan tindakan. Strategi amat penting untuk mencapai kejayaan .Hal ini dapat diperkuatkan lagi dengan kata-kata daripada sahabat nabi:” kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan dengan kebatilan yang tersusun”.Mahasiswa yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Mahasiswa pada hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Sesungguhnya Ma’al Hijrah merupakan titik tolak kepada penghijrahan diri ke arah yang lebih positif .Moga-moga ia menjadi medan tarbiyah kepada kita untuk lebih taqarrub kepada Allah.

Wallahu’alam..

Mohd Faisal & Izzat Amin