Saturday, January 12, 2013

Penghinaan terhadap ISLAM

Selepas menjengah beberapa buah blog, saya menjumpai beberapa fakta berkenaan penghinaan yang berlaku terhadap Islam. Mungkin fakta-fakta ini boleh dijadikan pedoman oleh sahabat pengunjung untuk mengetahui dengan lebih jelas berkenaan hal ini:

Antara isi kandungan 'The Satanic Verses' karya Salman Rushdie :

1-Wahyu yang diturunkan ke atas Rasulullah (saw) telah dihantar oleh syaitan malah Rasulullah (saw) tertipu dengan wahyu tersebut. Kemudian Rasulullah (saw) menyampaikan wahyu tersebut sebagai ayat atau surah dalam al-Quran.

2-Pusat pelacuran di kota Mekah diuruskan oleh semua isteri Rasulullah.

3-Salahuddin al-Ayyubi, panglima perang Islam dalam Perang Salib dikatakan sebagai syaitan.

*Ini antara sebab Salman Rushdie dijatuhkan hukuman mati oleh Imam Khomeini.
*Sedikit maklumat mengenai Salman Rushdie :

1-Kerajaan British telah menganugerahkan pingat 'Knight Bachelor' (yang membawa gelaran 'Sir') kepada penulis novel 'Surah Syaitan' kelahiran India itu. Salman yang menghina Islam dan Rasulullah (saw) menerima anugerah tersebut dalam satu majlis sempena ulangtahun kelahiran Ratu Elizabeth II yang ke-81. Salman Rushdie, 60 tahun, anak seorang Muslim dilahirkan di Bombay pada 19 June 1947 dan bersekolah di Gereja John Conon kemudian di King College, Cambridge. Pada tahun 1988, ia menulis novel 'The Satanic Versus' (surah Syaitan) yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Pada 14 Febuari 1989 pemimpin Republik Islam Iran, Imam Khomeini mengeluarkan fatwa supaya Salman Rushdie dihukum bunuh. Sejak itu, Salman tidak muncul di khalayak ramai dan bersembunyi di Britain.

*Kronologi Penghinaan Terhadap Rasulullah (saw) :

1-1969 : Salman Rushdie menghina Nabi (saw) dalam karyanya 'The Satanic Verses'.

2-1990-an : Taslima Nasreen (warga Bangladesh) menghina Nabi (saw) dalam karyanya dan hidup mewah hasil jualan karyanya.

3-Haidar Bin Haidar (rakyat Syria dan bermastautin di Mesir) telah memasukkan Ahli Keluarga Nabi sebagai watak dalam novelnya dan menghina mereka.

4-Seorang editor akhbar 'Nigeria This Day' telah menghina Nabi (saw) dalam kolumnya dengan menyatakan Nabi (saw) akan membenarkan pertandingan ratu cantik di Nigeria dan memilih salah seorang pemenang sebagai isterinya.

5-1997 : Tatyana Suskin (wanita Yahudi) membuat dan menyebarkan 20 poster yang menghina Islam dan Nabi (saw) , antaranya gambar seekor babi.

6-2000 : Farish Noor menulis artikelnya 'Let Islam Lead The Way With Its Progressive View On Sexuality' dalam New Straits Times dengan menghina Nabi (saw).

7-2002 : Islama Daniel (wartawan Nigeria) menulis tentang Rasul (saw) dan Miss World. Pertandingan itu adalah untuk memperlekehkan pelaksanaan syari'ah Islam di Nigeria.

8-2004 : Theo Van Gogh (penerbit filem) menghina Islam dan Nabi (saw) dalam sebuah dokumentari atas dasar kebebasan berkarya.

9-2005 : Akhbar Denmark 'Jylands Posten' menerbitkan watak kartun Nabi (saw) sebagai pengganas yang tidak berakhlak. Akhbar-akhbar dari Jerman, Perancis, Belanda, Itali dan Sepanyol turut menghasilkan kartun yang sama untuk menyokong tindakan akhbar Denmark itu.

10-Akhbar 'Sarawak Tribune' menyiarkan kartun yang menghina Nabi (saw) .

11-Akhbar 'Guang Ming Daily' turut menyiarkan foto akhbar yang menyiarkan karikatur itu.

12-Akhbar 'New Straits Times' menyiarkan kartun lain yang menghina Islam dan Nabi (saw).

13-2007 : Salman Rushdie mendapat gelaran 'SIR' daripada kerajaan Britain atas karyanya 'The Satanic Verses'.

* Artikel ini sekadar untuk dijadikan bahan kajian oleh semua pihak.

ihsan dari: Ummu Abiha

Surat Terbuka PERSADA: Isu PPSMI

Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA)
No. 8, Jln. 19/13
46300 Petaling Jaya
Selangor.

6 Oktober 2008

Kepada:
Menteri Pelajaran
Timbalan Menteri Pelajaran
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Menteri Pengajian Tinggi
Ketua Pengarah Pengajian Tinggi

Yang Berhormat Menteri-menteri,

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) WAJAR DIMANSUHKAN


Merujuk perkara di atas, kami selaku Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) telah mengkaji dan mempertimbangkan perihal isu berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Seperti yang kita sedia maklum, ia mula dicadang dan dilaksanakan pada tahun 2003 dan tahun 2008 ini merupakan tahun kelima pelaksanaannya. Jika diikutkan, PPSMI untuk kumpulan perintis akan berjalan selama lima tahun. Menurut Menteri Pelajaran, Hishamuddin Tun Hussein, projek perintis inilah yang menjadi keputusan dasar sama ada untuk mengekalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau sebaliknya. Justeru, kami merasakan adalah amat wajar sekiranya PPSMI dimansuhkan di kesemua sekolah rendah dan sekolah menengah jika diteliti kepada kesan dan hasilnya setelah lima tahun pelaksanaannya.

Jika melihat kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini, dengan terhentinya pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, maka ini juga bererti bahawa bahasa Melayu itu sendiri telah dikhianati dan dicabuli. Menurut Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Ismail Hussein, zaman ini merupakan zaman penghinaan kepada seluruh bangsa Melayu, zaman cabaran dan pancaroba terhadap tamadun dan budaya Melayu. Sekiranya kerajaan masih terus-terusan meminggirkan bahasa Melayu, hal ini akan menjadi bom jangka dan akan mencetuskan satu keadaan seperti yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Daripada aspek pencapaian pelajar pula, kita mendapati bahawa berlaku kemerosotan yang serius terhadap pencapaian pelajar dalam subjek-subjek berkenaan. Hal ini demikian kerana kurangnya minat pelajar untuk belajar subjek-subjek berkenaan kerana kesukaran untuk memahaminya. Jika merujuk kajian yang dilakukan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008, lebih 80 peratus murid menyatakan bahawa guru Matematik dan Sains mereka menggunakan campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70 peratus murid menyatakan mereka ‘tidak faham atau kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan 80 peratus terhadap pengajaran subjek Sains dalam Bahasa Inggeris dan mereka ‘sukar atau agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini. Prestasi mereka dalam Ujian Matematik dan Sains juga rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Dapatan daripada kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai. Ia telah menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu sedikit pula meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris mereka. Maka, tidakkah keadaan ini akan mengakibatkan kemunduran pelajar Melayu kita?

Selain itu, keadaan ini turut menambahkan bebanan guru kerana mereka terpaksa menggandakan usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar menggunakan bahasa asing, khasnya pelajar sekolah rendah. Tidak dapat tidak, guru-guru terpaksa belajar ilmu nahu atau ilmu tatabahasa dan perbendaharaan kata bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum memulakan pengajaran, kerana bukan semua guru tersebut mahir berbahasa Inggeris. Keadaan ini akan merumitkan para guru dalam memberikan kefahaman kepada pelajar, sekaligus memberi tekanan kepada mereka. Dalam pada itu, mereka terpaksa pula menghadiri kursus-kursus bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, supaya dengannya para guru berupaya menyampaikan pengajaran dengan berkesan. Hal ini perlu dilakukan secara berterusan, dan tentunya memakan masa yang lama. Jika seorang guru pun sukar untuk memahami dan menyampaikan pengajarannya dengan baik, maka tentulah pelajar akan lebih memerlukan masa yang lama dalam memahami subjek yang dipelajari.

Jika difikirkan secara terperinci, pelaksanaan sesuatu dasar jika sekadar mahu mencuba dan melihat dahulu impaknya merupakan dasar yang tidak menjamin masa depan rakyat. Rakyat seolah-olah menjadi bahan uji kaji. Jika dasar ini tidak berjaya, apakah kerajaan mampu mengembalikan masa depan pelajar-pelajar kita yang telah gagal dalam pengajian dan terjerumus ke lembah sosial?
Satu tinjauan yang dijalankan oleh UNESCO untuk laporan Bank Dunia pada tahun 1997 telah menyimpulkan bahawa apabila sesuatu pembelajaran itu menjadi suatu matlamat, termasuklah pembelajaran bahasa kedua, (seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, dan lain-lain di Malaysia), penggunaan bahasa ibunda seseorang pelajar itu harus digunakan sebagai medium pengajaran dalam tahun-tahun awal persekolahannya. Di samping itu, UNESCO juga memetik daripada ‘Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef’) sebagai berkata: “Dalam keadaan di mana ibu bapa pelajar itu buta huruf, jika medium pengajaran di sekolah ialah bahasa yang tidak digunakan sebagai bahasa pertuturan di rumah, ditambah pula dengan masalah pembelajaran dalam suasana kemiskinan, maka peluang untuk berlaku keciciran dalam pembelajaran akan meningkat dengan mendadak.” Maka, tidakkah kerajaan melihat kepada rumusan dan kajian yang dilakukan oleh UNESCO ini sebagai prinsip sebelum mengambil keputusan melaksanakan dasar PPSMI di negara ini?

Justeru, kami dengan tegasnya memohon supaya kerajaan memansuhkan dasar PPSMI di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) demi memartabatkan semula bahasa Melayu dan sebagai inisiatif untuk mengembalikan kecemerlangan pencapaian para pelajar kita. Hal ini kerana para pemimpinlah yang harus membela bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda di negara kita. Sesuatu bangsa adalah dinisbahkan kepada bahasa yang dituturkannya. Jika hilang bahasa Melayu dari lidah kita, maka di manakah identiti kita sebagai bangsa Melayu yang suatu ketika dahulu begitu gah dengan kekayaan berbahasa dan kehalusan budi pekerti? Zaman yang semakin mencabar ini telah menyaksikan tamadun Melayu semakin lama semakin hilang identitinya, maka janganlah bahasa Melayu yang satu ini turut mengalami nasib yang sama.

Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) sangat berbesar hati sekiranya YB Menteri-menteri dapat memberi perhatian yang sewajarnya terhadap perkara yang kami utarakan ini.
Sekian. Dengan salam hormat.

Yang benar,
MOHD FAISAL MUSTAFFA
Presiden Penaja
Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA)
http://faisalmustaffa.com/v2/

Friday, January 11, 2013

Hadiah Sempena Memperingati Hari Al-Quds Sedunia

Jarum jam yang berdetik terus berputar laju tanpa berpatah lagi ke belakang; kecuali jam yang rosak, barangkali. Sedar tak sedar, sejarah telah merakamkan usia 39 tahun pembakaran Masjid Al-Aqsa, iaitu pada 21 Ogos 1969 yan lalu, oleh seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan. Api yang marak telah membakar tembok serta mimbarnya yang besar, iaitu Mimbar Solahuddin.

Penduduk Islam Palestin berusaha keras memadamkan kebakaran tersebut. Melihatkan situasi kebakaran yang begitu dahsyat, di samping tiada langsung bantuan daripada pihak bomba, maka tiada lain yang terlintas di hati rakyat Palestin tika itu selain mengharapkan pertolongan Allah semata-mata. Mungkin daripada segi logik akal, dengan api yang marak sebegitu lazimnya pasti akan menghancur-lebur dan meluputkan langsung Masjid Al-Aqsa dari bumi Palestin. Namun Allah itu Maha Hebat, lagi Maha Perkasa, maka siapakah yang mampu melawan Kuasa-Nya yang Agung? Dengan kehendak-Nya, terselamatlah Masjid Al-Aqsa daripada hangus terbakar ditelan api.

Ternyata, peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam merupakan suatu agenda jahat rejim Zionis Yahudi terhadap umat Islam. Buktinya, Dennis Michael Rohan yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas kebakaran tersebut telah dibebaskan oleh Yahudi atas alasan bahawa dia ‘gila’ meskipun Rohan merupakan seorang doktor perubatan yang taatkan agamanya kerana dia sendiri telah mengakui melakukan pembakaran tersebut, bersesuaian dengan berita daripada Kitab Zakaria.

Disebabkan tiada pembelaan terhadap Masjid Al-Aqsa yang telah dibakar dan dihina sedemikian rupa, maka negara-negara Islam di seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa. Sejak itulah tanggal 21 Ogos pada setiap tahun telah diangkat sebagai Hari Memperingati Al-Quds Sedunia (Rememberance Of Al-Quds) bagi memperingati tragedi kebakaran tersebut. Ia merupakan sebuah gagasan yang menjadi simbol solidariti umat Islam di Malaysia terhadap umat Palestin.

Justeru, sempena Hari Memperingati Al-Quds Sedunia ini, apakah peranan kita selaku umat Islam? Apakah sekadar mengingati tarikh penting ini sahaja sambil bergoyang kaki tanpa adanya sebarang sensitiviti di hati? Perlu diingatkan, isu Masjid Al-Aqsa ini ada hubung kait dengan hal-hal Palestin. Maka selayaknya, isu Palestin ini merupakan isu yang dipertanggungjawabkan kepada seluruh umat Islam. Satunya kerana, kedudukan Masjid Al-Aqsa sebagai Tanah Suci ketiga dalam Islam. Selebihnya ia merupakan kiblat pertama umat Islam selain menjadi bumi didiami para Nabi serta pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Maka, ‘hadiah’ yang selayaknya diberikan oleh kita selaku umat Islam terhadap isu-isu berhubung Palestin ini, khasnya sempena Hari Memperingati Al-Quds Sedunia ialah beruaha melahirkan iltizam, sensitiviti, kecenderungan untuk terus membela dan memajukan umat Islam, khususnya bagi membantu saudara-saudara kita yang tertindas di tanah air mereka yang dirampas secara kejam sehingga menjadi pelarian di negara sendiri. Seterusnya, kita hendaklah bermuhasabah dengan menjadikan tragedi pembakaran Masjid Al-Aqsa dan segala penindasan yang berlaku ke atas umat Islam sebagai suatu peringatan, pengajaran serta motivasi untuk bersiap sedia dengan segala kelengkapan dan pertahanan bagi menghadapi sebarang kemungkinan daripada pihak musuh yang senantiasa berusaha menindas dan menjatuhkan empayar Islam.

Oleh itu, marilah bersama-sama menjadikan Hari Al-Quds Sedunia sebagai medan memuhasabah dan memperbaiki diri sendiri.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


Tuesday, January 8, 2013

Selamat Menghadapi Peperiksaan



Selamat menghadapi peperiksaan kepada seluruh mahasiswa yang bakal menghadapi peperiksaan. Semoga kita dirahmati Allah sentiasa.

Saturday, January 5, 2013

Kematian Perancangan Allah, Letak Jawatan Perancangan Manusia


Seawal 7.56 pagi saya menerima SMS daripada Daniel, “Di maklumkan ADUN Manek Urai Kelantan (PAS), dibawah parlimen Kuala Krai (Dr Hatta) Hj Ismail kembali ke rahmatullah jam 5.55 pagi”.

Ketika itu saya baru saja usai solat Fardhu Subuh bersama peserta Kem Nilai Solat di dalam konsep R.A.K.Y.A.T di kalangan para pekerja Bank Rakyat cawangan Terangganu. Program bermula semalam di Residen Resort ini merupakan program pertama saya bersama Fitrah Perkasa.

Selepas mendapat sms tersebut, saya terus memaklumkan kepada Ust Sayuti dan Ust Hashim yang merupakan ketua Fasilitator di dalam kumpulan ke Paka ini iaitu seramai 3 orang.

Sedih bercampur terkejut mengenangkan pemergian Arwah walaupun saya tidaklah mengenali beliau secara dekat, namun begitu saya yakin kami diikat diatas satu akidah perjuangan.

Perginya arwah ke rahmatullah memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil di DUN Manek Urai ini. Begitu hebatnya perancangan Allah, di saat-saat Barisan Nasional enggan meletakkan calon di PRK Menanti, mereka diuji sekali lagi.

Di dalam isu ini, saya melihat dikala Barisan Nasional melakukan kezaliman melalui rampasan kuasa di Perak, mereka dikejutkan dengan kematian Ust Roslan Shahrom yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat. Begitu juga disaat-saat Barisan Nasional seolah-olah kecut perut dan tidak bertanding di dalam PRK Penanti, sekali lagi Allah S.W.T mengambil nyawa salah seorang pejuang Islam. Keadaan ini sekali menggusarkan mereka.

Mungkin akan ada akta yang digubal bagi menghalang seseorang wakil rakyat meletakkan jawatan tanpa sebab. Hal demikian berbekalkan alasan ada pihak sewenang-wenangnya meletakkan jawatan semata-mata mahu melihat situasi politik di dalam negara ini terus bergelora. Daripada beberapa siri PRK yang dijalankan ini, hanya 3 sahaja PRK yang melibatkan perletakkan jawatan manakala 4 lagi adalah di sebabkan kematian.

Perkara ini juga perlu difikirkan oleh golongan penindas ini. Tiada akta atau kuasa yang mampu melawan kuasa Illahi. Tiada siapa yang dapat menghalang seseorang untuk menghadapi mati. Semuanya adalah kuasa Allah.

Seharusnya, pemimpin-pemimpin yang melakukan kefasadan ini sedar akan perkara yang berlaku. Sekiranya selepas ini, 3 ADUN Perak yang menjadi katak puru diambil nyawanya, nescaya akan bertambah kelam kelibut dibuatnya. Betullah letak jawatan itu perancangan manusia, namun begitu kematian itu adalah perancangan Allah S.W.T. “Mereka merancang, Allah juga merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang”.

Kamar 222

Residence Hotel & Resort,

Paka, Terangganu.

Wednesday, January 2, 2013

Selamat Menghadapi Peperiksaan


Upin dan Ipin pun nak exam juga ea?


Kepada semua sahabat-sahabat selamat menghadapi peperiksaan. Semoga diberkati Allah SWT. Jangan lupa layari umisisweb untuk maklumat pertukaran tempat peperiksaan. Doakan semoga kecemerlangan kita memberi manfaat kepada agama yang kita dokongi.